Melenggang Perut, Ada Yang Masih Amalkan, Kalau Salah ‘Teknik’ Boleh Bahayakan Nyawa

Adat melenggang perut yang diamalkan dalam masyarakat Melayu merupakan sebahagian daripada amalan dalam perbidanan tradisional. Amalan ini biasanya dilakukan pada wanita yang bakal melahirkan anak sulung mereka ketika kandungan berusia tujuh bulan.

Melenggang Perut, Ada Yang Masih Amalkan

Antara tujuannya amalan melenggang perut ini dilakukan kononnya ialah untuk menjauhkan malapetaka dan segala bahaya terhadap ibu mengandung dan yang akan bakal melahirkan anak.

Melenggang perut: Antara budaya, khurafat dan fakta sains

Bagaimanapun masih signifikankah adat melenggang perut? Jika tersalah urut boleh membahayakan nyawa ibu. Jika disertai jampi serapah dikhuatiri khurafat. Upacara tersebut hanyalah semata-mata kepercayaan masyarakat melayu lama sahaja. Islam melarang perbuatan yang menjurus kepada syirik.

Kalau Salah ‘Teknik’ Boleh Bahayakan Nyawa

Berikut perkongsian Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak yang merupakan pegawai perubatan, obstetrik & ginekologi, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai adat/budaya melenggang perut.

ADAT RESAM: MELENGGANG PERUT BAHAYA?

Melenggang perut adalah ritual tradisional yang dilakukan bila wanita hamil genap tujuh bulan. Ritual ini bertujuan untuk memastikan kepala bayi pada posisi normal dengan harapan memudahkan proses bersalin.

Melenggang perut lebih terkenal di bahagian selatan Malaysia, di bahagian Utara, disebut dengan kirim perut, sementara di bahagian barat dan timur Malaysia, tidak terdapat data yang menjelaskan istilah yang berkaitan dengan upacara adat melayu ini.

BAGAIMANA MELENGGANG PERUT DILAKUKAN?

*Kain sebanyak 7 helai dengan 7 warna dibentangkan, sebagai alas untuk si ibu berbaring.

*Kemudian, perut si ibu diurut perlahan-lahan dengan minyak urut yang telah disediakan.

*Selanjutnya, kelapa yang sudah dikupas digulingkan secara perlahan di atas perut isteri secara bolak-balik dari atas ke bawah sebanyak 7 kali. Pada kali yang ke 7, buah kelapa tersebut sengaja dilepaskan dan dibiarkan bergolek golek hingga berhenti.

*Kemudian bidan memerhatikan bagaimana posisi muka atau mata buah kelapa tersebut bila berhenti bergolek. Jika mata kelapa menghadap ke atas, maka isteri akan melahirkan bayi lelaki, jika sebaliknya, maka isteri akan melahirkan bayi perempuan.

*Kemudian, kedua tangan bidan memegang hujung lapisan kain yang paling atas, lalu ia mengangkat sedikit hujung kain tersebut, dengan tujuan untuk melenggangkan perut si ibu. Setelah itu, maka bidan menarik kain tersebut helai demi helai secara perlahan hingga semua lapisan kain terlepas dari bawah pinggang si ibu.

*Kemudian lapisan kain yang paling bawah beserta buah kelapa, beras, damar, sirih-pinang yang terdapat di dalam tepak sirih diserahkan pada bidan.

*Tak dilupakan, setiap langkah ini disertai dengan jampi dan mantera tertentu.

Jadi apa signifikannya berlengang perut? Nak tahu jantina bayi dalam kandungan – kita boleh buat scan tengok bayi perempuan atau bayi lelaki. Sejauh mana benarnya kelapa yg bergolek-golek itu memberikan gambaran jantina bayi?

Urutan sebarangan untuk memusingkan kepala bayi boleh membawa bahaya kepada ibu. Tiada monitoring CTG – jantung anak – maka kita tidak tahu bayi berada dalam keadaan baik atau tidak.

Kalau di hospital, ECV (prosedur nak pusingkan baby songsang) dibuat oleh doktor yang bertauliah dan di bawah pengawasan CTG. Jika berlaku komplikasi, ibu terus dihantar segera ke dewan bersalin untuk pembedahan caesarean.

Kalau masa berlenggang berlakunya masalah pada bayi – macam mana nak kesan? 
Dikhuatiri adat melenggang perut ini dicemari oleh unsur-unsur khurafat yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.

Bagaimanapun untuk menjaga hati dan perasaan orang-orang tua yang tegar nak buat juga adat ini mungkin boleh tegur secara berhemah. Cadangan membuat kenduri doa selamat untuk memohon kesejahteraan kehamilan dan proses bersalin yang selamat adalah jauh lebih baik dan bermanfaat

Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan, Obstetrik & Ginekologi
Kementerian Kesihatan Malaysia


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply