Kejayaan beregu badminton negara, Aaron Chia – Soh Wooi Yik untuk muncul sebagai juara dunia di Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun pada hari ini dianggap sebagai hadiah bermakna menjelang Hari Kebangsaan, Rabu ini.
Begitulah respon keluarga Aaron dan Wooi Yik selepas menyaksikan beregu tersebut menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk merebut gelaran dunia.
Menurut bapa Wooi Yik, Soh Goon Chup yang menyaksikan siaran langsung perlawanan itu dari kediamannya di Kuala Lumpur bersama seluruh keluarga, kemenangan 21-19, 21-14 ke atas bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia adalah detik bermakna yang akan sukar dilupakan olehnya serta rakyat Malaysia.
Sumber Foto : BERNAMA
Katanya sewaktu dihubungi oleh BERNAMA, “Seluruh keluarga kami sangat gembira dan bersyukur. Saya betul-betul mahu ucapkan terima kasih kepada anak saya dan Aaron kerana dapat menang Kejohanan Dunia ini. Detik terindah buat keluarga,” kata Goon Chup, 65 yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan pada era 70-an hingga 80-an.
Kongsinya lagi, Wooi Yik, 24 telah mula berlatih dalam sukan badminton sejak usia enam tahun dan dia sendiri merupakan jurulatih pertama anaknya itu.
“(Wooi Yik) akan ikut sekali apabila saya mengajar badminton di kawasan seperti Cheras dan Selayang untuk belajar dan main bersama-sama,” tambahnya.
Untuk pengetahuan, Wooi Yik dan Aaron akan terus berentap dalam kejohanan Terbuka Jepun pada minggu hadapan. Namun sama ada mereka akan pulang dahulu ke tanah air atau meneruskan latihan di Jepun masih tidak dapat dipastikan.
Perbaiki Kelemahan Diri
Dalam pada itu, bekas pemain beregu badminton kebangsaan, Koo Kien Keat berpesan kepada beregu juara dunia terbaru itu untuk kekalkan keyakinan pada tahap tertinggi selalu dan jangan berhenti memperbaiki kelemahan diri.
Sumber Foto : BHarian
Kien Keat sudah sinonim dengan bagaimana kejayaan besar seperti ini akan mengundang rasa ingin tahu pihak lawan Malaysia. Menurutnya, sudah tentu pihak lawan akan ingin mengkaji corak permainan Wooi Yik – Aaron demi menewaskan mereka pada perlawanan seterusnya. Oleh itu, beliau menasihati mereka agar tidak terlalu dibuai kejayaan ini dan teruskan momentum sekarang.
Koo Kien Keat (kanan) dan rakan seperjuangan, Tan Boon Heong merupakan nama lagenda dalam acara beregu sukan badminton Malaysia.
“Bagi saya, mereka masih belum ada satu ‘senjata’ tertentu. Tapi dalam kejohanan kali ini, mereka bermain dengan sangat jelas. Mereka ada satu kaedah permainan yang kedua-dua pemain memahami tugas masing-masing di dalam gelanggang.
“Nasihat saya, jangan berhenti menjadi pemain yang lebih baik. Kekalkan kepercayaan kepada jurulatih dan maju ke hadapan untuk kejohanan lain yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Olimpik,” ujar pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 dan juara All England 2007 itu.
Terdahulu, pencapaian terbaik Wooi Yik-Aaron dalam kempen kejohanan dunia adalah sehingga ke peringkat suku akhir sewaktu ia dilangsungkan di Nanjing, China pada tahun 2018.
BACA LAGI : Strategi ‘Lupakan’ Sukan Komanwel Demi Kejohanan Dunia Tidak Menjadi Untuk Lee Zii Jia – REMAJA
SUMBER : BERNAMA (1)
SUMBER Foto Utama : The Sun Daily
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.