Saya #RemajaMalaysia : Grace Wong Penyambung Legasi Emas Sukan Olahraga Malaysia – Isu Digital Ogos 2022

 

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Keinginan untuk menyambung legasi bapa saudaranya yang pernah bergelar jaguh sukan olahraga pada era 90-an hingga awal 2000 begitupun tidak datang bergolek. Kudrat terpaksa dikerah dan minat sentiasa perlu ditanam agar semangat tidak mudah luntur dari hari ke hari. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Grace Wong Xiu Mei

arahan seni FZ AIMMAN teks RUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN susunan grafik AZNIZA AZIZ persalinan NEW BALANCE

Nama Grace Wong Siew Mei mungkin masih kedengaran baharu dalam kepompong dunia sukan negara. Meskipun begitu, kelibat anak kelahiran Sarikei, Sarawak ini perlahan-lahan mula menagih perhatian ramai setelah dia mula menyinari sukan olahraga menerusi bakat dan kebolehannya dalam acara lontar tukul besi.

Grace, 22 pada pengiraan REMAJA ialah di antara penerus legasi kejayaan olahraga; certainly a fresh face to watch! Tidak ramai yang mengetahui akan sejarah keluarga Grace dalam dunia sukan. Bapa saudaranya, Wong Tee Kui merupakan atlet lagenda moden yang pernah menabur jasa dan mengharumkan nama negara di peringkat Sukan SEA secara berturut-turut. Pada edisi 1991, 1993, 1995, 1999 dan 2001, Tee Kui merupakan pemenang pingat emas bagi acara sama yang diwakili Grace iaitu lontar tukul besi.

Tidak hairanlah apabila Grace memenangi pingat emas di Sukan SEA ke-31 di Hanoi pada tahun ini, pemerhati sukan negara mulai sedar akan persamaan yang wujud di antara Tee Kui dan gadis yang diberi panggilan Amazing Grace ini.

“Pakcik saya pernah memenangi lapan pingat emas di peringkat Sukan Sea namun pada usia muda, saya tidak tahu-menahu mengenai kehebatan beliau itu. Saya perlahan-lahan bergiat dalam sukan olahraga di bangku sekolah rendah disebabkan saiz badan saya.

“Ya, badan saya lebih besar berbanding rakan-rakan sedarjah yang lain dan cikgu saya pada waktu itu ingin membantu saya pergi lebih jauh. Saiz badan ini adalah satu kelebihan, kata mereka. Jadi, ibu bapa pun membenarkan saya menyertai olahraga menerusi acara lontar peluru. Barulah saya sedar selepas beberapa tika yang pakcik saya juga pernah bergelar jaguh olahraga sebelum ini,” kongsinya sewaktu di set penggambaran.

Kehilangan Ibu

Di sebalik kejayaan meraih emas pertamanya di Sukan SEA sewaktu edisi Kuala Lumpur 2017, Grace terpaksa menelan lumrah kehidupan pada usia semuda 17 tahun apabila dia kehilangan insan paling disayanginya.

Ibu Grace, Lina Awaru yang berasal dari Papua New Guinea menghembuskan nafas terakhirnya empat bulan sebelum kejohanan tersebut. Berita pemergian beliau itu diterima Grace sewaktu dia berada di Korea Selatan bagi menjalani kem latihan selama dua bulan.

Dalam nada sebak, Grace mengakui tugasnya sebagai seorang atlet negara hadir dengan pengorbanan besar yang perlu ditanggungnya iaitu faktor masa bersama keluarga yang semakin menipis.

“Saya rasa semua (atlet) ada pengalaman seperti saya. Kami kekurangan masa untuk bersama dengan keluarga. Saya kehilangan ibu saya pada tahun 2017 dan saya rasa sedikit bersalah kerana tidak dapat menemaninya pada waktu tersebut.

“Atas faktor kehilangan itu juga, saya rasa saya perlu bekerja lebih keras untuk ke peringkat yang lebih tinggi agar dia tidak akan rasa kecewa.

“Saya rasa mendiang ibu saya berbangga kerana hingga sekarang, saya tidak berputus asa untuk memberikan yang terbaik untuk negara,” ujarnya. Berkat kesabaran dan kecekalan hati Grace itu juga, dia terus memacu langkah ke hadapan dan baru-baru ini telah lolos ke saingan akhir temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, awal Ogos lalu.

 

Isu Pemotongan Elaun Atlet

Menyentuh mengenai rungutan pemotongan elaun atlet kebangsaan yang pernah diungkitkan tahun ini, penulis sempat mendapatkan pendapat pemegang rekod kebangsaan ini sama ada isu peruntukan dana ini benar-benar menyekat momentum seseorang atlet itu.

Grace melihat isu potongan elaun ini mempunyai efek domino yang akhirnya akan mempengaruhi prestasi di gelanggang.

“Disebabkan elaun rendah, ramai atlet tidak berkesempatan menyertai program PODIUM (program persediaan atlet elit berdedikasi negara di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dengan objektif keseluruhan untuk mencapai kecemerlangan sukan untuk negara) dan menyebabkan mereka berputus asa atau mereka tersepit dengan faktor penurunan prestasi.

“Grace bertuah kerana mendapat bantuan daripada pihak IPT dan Kementerian Belia & Sukan. Namun tidak semua atlet mendapat peluang yang sama. Seseorang atlet memang sangat-sangat memerlukan bantuan wang berjaya. Kami korbankan masa kami demi sesi latihan sekaligus tiada peluang melakukan inisiatif lain untuk menjana pendapatan.

“Kerajaan sewajarnya mencari jalan terbaik untuk menyediakan peruntukan dana secukupnya untuk menampung keperluan atlet-atlet negara selain mendapatkan lebih banyak peluang bagi menyertai pertandingan di luar negara bagi mengukuhkan prestasi serta pengalaman kami,” tegasnya.

Tiga lagi penghias hadapan Remaja Ogos 2022 Edisi Digital terdiri daripada (dari kiri) Khai Bahar, Dr. Lavanya Sivaji dan Hawa Rizwana.

Makna Kebebasan

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 esok, penulis bertanya kepada Grace mengenai makna dan nilai kebebasan buat dirinya.

“Bagi saya, kebebasan itu sangat penting. Tanpa kebebasan bersuara, sukar untuk anak muda menjadi lebih ekspresif dan bersifat terbuka. Cumanya, janganlah kita bertindak di luar batasan dalam apa jua situasi,” jawabnya ringkas.

Ikuti makna menjadi seorang #RemajaMalaysia bersama Grace Wong dalam pautan video temubual REMAJA bersamanya. 

Sertai pertandingan Penulisan Esei & pertandingan Pengucapan Awam yang dianjurkan oleh REMAJA dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka bermula 8 Ogos 2022 hingga 18 September 2022. Klik pada pautan Peraduan untuk maklumat lanjut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply