Pada usia 15 tahun, Loo Yie Bing selayaknya berbangga dengan pencapaiannya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Ini setelah perenang dari Sabah itu mencatatkan kejayaan hatrik ppingat emas menerusi acara renang 100 meter gaya bebas wanita, 50 meter kuak kupu-kupu wanita dan 200 meter gaya bebas wanita; sekaligus mengenepikan saingan perenang yang jauh lebih berpengalaman daripadanya.
Menariknya, atlet kelahiran Kota Kinabalu ini mendedahkan kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil bahawa dirinya pernah menerima tawaran menyertai skuad renang kebangsaan sebanyak dua kali walaupun masih berusia belasan tahun.
“Kali pertama adalah pada tahun 2019. Dan kali kedua beberapa minggu lepas tapi saya tolak.
“Saya mahu fokus kepada pengajian dahulu dan jika berpeluang, (saya) mahu pergi sambung pengajian (dalam jurusan) veterinar di UK (United Kingdom), Australia atau US (Amerika Syarikat),” kata Yie Bing.
Minatnya dalam bidang veterinar ini tercetus setelah pemergian anjing peliharaannya yang diberi nama Chunky pada Jun 2021. Begitupun, Yie Bing tidak serik untuk terus beraksi dalam sukan renang dan akan terus memperbaiki catatan masanya dengan berlatih secara lebih gigih.
Bercakap mengenai pencapaian hatrik emas pada temasya kali ini, Yie Bing gembira apabila dapat menghadiahkan emas kepada negeri Sabah. Namun dia tetap menyimpan sedikit rasa kecewa kerana tidak berjaya memecahkan rekod kebangsaan untuk acara 100 meter gaya bebas wanita yang dilakukannya ketika Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan, Jun lalu.
“Saya rasa saya terlalu menarik nafas dan mengakibatkan pergerakan menjadi perlahan. Mungkin disebabkan saya juga terlalu gementar. Saya tahu saya mempu melakukannya dengan lebih baik,” tambahnya.
Yie Bing kini berbaki tiga lagi acara renang di SUKMA 2022 iaitu acara 50 meter gaya bebas wanita, 50 meter kuak dada wanita dan 100 meter kuak kupu-kupu wanita.
Mampukah Yie Bing untuk terus melakar kejayaan di kolam renang SUKMA ini? Sama-sama kita nantikan.
Sumber : BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
”.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.