Setiap orang di dunia ada impian untuk berjaya dalam hidup. Seperti Dang Suria Zainal Abidin, gadis berusia 26 tahun yang kini merupakan pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) memiliki kisahnya tersendiri dalam mengejar kerjaya yang diidamkan.
Saat ditemu bual oleh REMAJA, Suria cukup bersahaja orangnya. Kalau bahasa pasar, orang panggil sempoi. Cukup mudah berbicara dengannya dan dia tidak lokek berkongsi kisah bagaimana dia boleh berjaya bergelar seorang pramugari pada percubaan kali ke-13!
Amazing! Kalau orang lain percubaan ketiga atau keempat sudah mengalah.
Berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, Suria menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan kemudiannya memilih untuk terus bekerja. “Niat untuk sambung belajar tu ada, tetapi saya lebih suka bekerja sebab saya suka adventure life dan bebas seperti arwah ayah saya,” kongsinya.
Bergelar pramugari membawa Suria ke pelbagai negara.
Suria kemudiannya menambah yang dia memang sudah lama bercita-cita untuk bekerja di awan biru. Ujarnya, “Memang cita-cita saya hendak menjadi pramugari. Saya masih ingat lagi ketika ditanya cikgu apa cita-cita saya ketika di sekolah, saya list down pramugari, model dan askar! Sebelum bergelar pramugari, saya pernah bekerja sebagai barista di Starbucks dan kalau nak tahu saya pernah juga menghadiri temu duga untuk menjadi tentera darat di Port Dickson.”
Bekerja di Starbucks selama lebih kurang dua tahun menjadikan dia seorang yang berdisiplin dan semestinya tahu etika melayan pelanggan. Dalam masa sibuk menjalankan tugas sebagai barista, gadis manis ini mengambil inisiatif untuk menghadiri temu duga sebagai pramugari.
Dia berkongsi cerita, “Saya pergi ke temu duga bermacam-macam jenama syarikat penerbangan seperti penerbangan dari timur tengah dan juga AirAsia. Kalau nak tahu saya pergi temu duga sebanyak 12 kali namun tidak berjaya. Percubaan kali ke-13 di Malaysia Airlines sebenarnya percubaan pertama saya untuk syarikat tersebut. Alhamdulillah! Saya diterima.”
ARTIKEL BERKAITAN: Tunggang Motosikal Kriss Seorang Diri Untuk Mendaftar Di Universiti Malaya, Lau Lai Kiat Tekad Mahu balas Jasa Ayah
Suria juga berkongsi kalau bukan disebabkan emaknya mungkin dia tidak bergelar pramugari MAS. Ini kerana pada hari yang sama, ada juga temu duga di AirAsia dan dia ingin ke sana. Namun ibunya menyuruh dia menghadiri temu duga di MAS. “Kalau ibu tak suruh, mesti saya tak jadi kot pramugari hari ini. Waktu tu saya dalam dilema, saya nak ke AirAsia dan ibu suruh ke MAS. Memang agaknya itu berkat seorang ibu, saya berjaya dalam sesi temu duga bersama MAS,” tambahnya. Kini sudah hampir lima tahun Suria bergelar pramugari.
TAK KENAL ERTI KALAH
Kagum dengan sikap tidak mengalah, REMAJA cuba menggali karakter dan juga sikap positif yang dimiliki oleh Suria. “Apa yang membuatkan saya tak mengalah sebab saya suka berangan. Orang kata berangan tidak elok, namun bagi saya lain orang lain pendirian. Saya jenis berangan dan agan-angan itu saya cuba jadikan realiti.
“Dahulu saya sangat plain jane tak macam sekarang, sehingga kini pun saya masih tidak begitu mahir bersolek. Saya belajar untuk terus brush up skill saya. Ketika saya ditolak oleh salah satu syarikat penerbangan pun kerana saya tidak pandai bersolek,” kongsinya panjang lebar.
Menghadiri temu duga sebanyak 12 kali sebelum berjaya sebagai pramugari MAS, Suria akui dia pernah berkecil hati dengan maklum balas yang diberikan kepadanya.
“Tapi dalam banyak perkara yang terjadi, tiada satu pun membuatkan saya mengalah. Bagaimana mereka beri feedback sampai saya kecil hati saya tak mengalah, sebab saya tahu kalau rezeki saya pasti akan jadi milik saya. Kita akan ada peluang yang sangat cerah kalau kita tak mengalah lebih-lebih lagi dalam perkara yang baik nak capai cita-cita. Allah SWT akan permudahkan. Bak kata pepatah kalau nak seribu daya tak hendak seribu dalih,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Cerita Kebaya Ikonik Malaysia Airlines. Rekaan UiTM Rupa-Rupanya
Suria juga berkongsi yang bergelar pramugari memberi dia peluang untuk menonton konsert BTS secara langsung di Singapura. Ia merupakan satu hasrat yang sudah lama dia pendam, akhirnya tercapai. Kalau pembaca REMAJA nak tahu, Suria cukup gemarkan muzik K-pop.
ABAI KATA-KATA NEGATIF
Suria turut berkongsi ada sahaja kata-kata sinis yang sebelum ini tidak percaya dia boleh bergelar seorang pramugari. Apabila ditanya tentang hal ini, dia berkata, “Memang ada, saya dulu pakai braces dan ada masalah gigi. Ada yang tak percaya pramugari sebab saya plain jane. Orang tengok pun mcm mehh. Tapi saya jenis tak kisah, saya tahu yang diri saya boleh buat dan saya akan capai dan jayakan apa yang perlu dengan restu dariNya.”
Suria menambah lagi bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk kita pedulikan kata-kata negatif orang. Life is big, walaupun dunia ini kecil, kita perlu berfikir secara luas dan berpandangan jauh serta berfikir di luar kotak.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.