Kalah sekali bukan bererti kalah selamanya…
Ungkapan di atas sesuai penulis tuju kepada Ammar Hazim Mohd Syafawi, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan. Tahun lalu dia mencuba nasib menyertai Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia namun tidak berjaya mara sebagai enam peserta terbaik untuk berentap di peringkat akhir.
Tidak mengalah, tahun ini sekali lagi dia mencuba nasib menghantar klip pengucapan awam untuk dinilai. Tuah menyebelahinya, dia berjaya menempah tiket ke peringkat akhir. Menampilkan persembahan yang mantap dengan pengisian yang bernas, Ammar Hazim muncul sebagai juara keseluruhan mengalahkan lima lagi peserta lain.
Ammar menerima sebuah trofi, wang tunai bernilai RM1000.00, sijil dan buku sumbangan DBP.
“Apa yang membuatkan saya tidak mengalah adalah apabila saya dapat melihat juara tahun lepas. Dia sangat yakin dan setiap kata-katanya meyakinkan orang. Saya tertarik mendengar penyampaiannya, itu yang membuatkan saya terpukau dengan caranya. Saya ingin menjadi sama taraf atau lebih daripadanya. Namun itu tidak penting, kita dapat merealisasikan cara penyampaian dengan stail tersendiri,” kongsi jejaka berusia 16 tahun ini.
Satu fakta menarik tentang remaja tinggi lampai ini, pertandingan ini merupakan pertandingan pertama yang disertainya sebagai seorang orator. Sebaliknya dia masih hijau dalam pertandingan sebegini. “Kalau nak tahu, saya tak pernah menyertai pertandingan seperti ini ketika di sekolah. Selalunya memang ada wakil lain yang akan mewakili sekolah,” ujarnya ringkas.
ARTIKEL BERKAITAN: Terus Konsisten, Azeem Fahmi Catat Masa Bawah 21 Saat Bagi Acara 200m Di Jepun
“Apabila saya menyertai Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia, sebaik sahaja berjaya tersenarai sebagai peserta peringkat akhir, guru ketua bidang di sekolah membantu melatih saya untuk memperbaiki gaya penyampaian.
“Guru-guru dan rakan-rakan di sekolah seperti tidak percaya yang saya menyertai pertandingan pengucapan awam. Mereka memberi sokongan penuh kepada saya,” tambahnya lagi sambil menunjukkan gambar rakan-rakan di sekolah yang menonton siaran langsung pertandingan yang dipancarkan di YouTube dan juga Facebook.
Seolah-olah mendapat suntikan semangat baharu apabila muncul juara, Ammar Hazim tidak mahu berhenti menyertai pertandingan-pertandingan lain pula, walaupun tahun depan dia bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia. Dia percaya dalam setiap pertandingan akan ada perkara positif yang boleh dia pelajari.
Selain Ammar, tempat kedua dimenangi oleh Aisy Basri Mohd Bakri dari SMK Wangsa Maju 2, Kuala Lumpur manakala tempat ketiga jatuh kepada Nur Fatin Darwisyah dari SMK Temenggong Ahmad, Tangkak, Johor. Dayang Nurbazliah Iman dari SMK Kota Marudu, Kota Kinabalu, Sabah, Afzan Nuradlynn dari Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor dan Nur Qumairah Ayuni dari SMK Dato’ Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam, Johor melengkapkan senarai enam peserta akhir dan memenangi hadiah saguhati.
ARTIKEL BERKAITAN: Naib Juara Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia, Pelajar SMK Wangsa Maju Seksyen 2 Tampil Cemerlang
Pertandingan ini telah diadili oleh pempengaruh media sosial dan guru Bahasa Melayu, Cikgu Zack Kirana, Ketua Bahagian Buku Sastera DBP, Nurul Julia Alani Henry dan Editor Pengurusan REMAJA, Fiezreen Ahmad selaku ketua juri. Keenam-enam peserta telah mempersembahkan pengucapan awam bertajuk Peranan Remaja Dalam Membentuk Masyarakat Berpendidikan.
Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia merupakan anjuran REMAJA dan Ideaktiv dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rakan strategik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.