Bukan mudah membuka bicara, bukan mudah berhujah penuh ilmu, bukan mudah berucap pintar jika tiada latihan yang jitu. Kejayaan pasti hadir untuk mereka yang berusaha. Seperti Aisy Basri bin Mohd Bakri, remaja berusia 17 tahun ini merupakan seorang pelajar yang gigih berusaha serta cintakan bahasa kebangsaan.
Terpilih sebagai salah seorang daripada enam peserta akhir pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur ini hadir penuh semangat menyampaikan hujah-hujah bernas untuk diamati ramai.
Paling menarik, mengambil semangat cintakan negara, Aisy Basri tampil tampan dalam persalinan baju melayu rona hitam siap dengan pemakaian sampin, tanjak dan juga pending. Dia nampak bagaikan pahlawan Melayu sambil menyampaikan pengucapan awam bertajuk Peranan Remaja Dalam Membentuk Masyarakat Berpendidikan.
“Alhamdulillah saya bersyukur walaupun mendapat tempat kedua, ini boleh jadi pembakar semangat untuk saya menyertai pertandingan lain. Sebenarnya ayah yang banyak memberi galakan, dia banyak memberikan semangat dan menolong saya berlatih. Tidak kurang juga pihak sekolah dan rakan-rakan turut memberikan semangat untuk menyertai pertandingan,” ujarnya saat ditemu bual REMAJA.
Mengambil sikap tidak gentar untuk mencuba, Aisy Basri ada mesej penting untuk disampaikan kepada para pelajar lain agar selalu mencabar kebolehan diri. Ujarnya, “Cuba sahaja, jangan takut! Yakin yang diri anda boleh.”
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar SM Teknik Tuanku Jaafar Dinobatkan Sebagai Juara Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia
Kejayaan seorang anak pasti ada orang tua yang memberi sokongan. Ayahnya, Mohd Bakri merupakan figura yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan Aisy. Dalam satu hantaran di laman Instagram miliknya, dia yang juga merupakan seorang guru menitip kata-kata semangat untuk anaknya.
“Pertaruhan anakanda tersayang, Aisy Basri bin Mohd Bakri membuahkan kejayaan. Semua berkat kesungguhan dan doa restu semua. Semoga hadiah lumayan bernilai RM800, piala, sijil dan buku, serta platform ini menjadikan abang lebih bersemangat dalam memburu kejayaan masa depan. Banggakan kami wahai heroku!” tulisnya.
Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia merupakan anjuran REMAJA dan Ideaktiv dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rakan strategik. Selain Aisy yang berada di kedudukan kedua, johan pertandingan ini jatuh kepada Ammar Hazim Mohd Syafawi dari SM Teknik Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan manakala tempat ketiga jatuh kepada Nur Fatin Darwisyah dari SMK Temenggong Ahmad, Tangkak, Johor.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.