Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia menerima banyak video penyertaan dari seluruh negara. Namun hanya enam peserta terbaik sahaja dipilih untuk hadir ke Kuala Lumpur bagi berentap merebut gelaran juara.
Nur Fatin Darwisyah binti Fadzli merupakan antara enam peserta terbaik yang dipilih. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, Tangkak, Johor ini merupakan peserta yang masih hijau dalam area pengucapan awam namun menonjolkan prestasi yang cemerlang.
Saat melangkah ke atas pentas bagi mempersembahkan pengucapan awam bertajuk Peranan Remaja Dalam Membentuk Masyarakat Berpendidikan, dia kelihatan cukup yakin. Butir bicaranya jelas tanpa jeda suara yang terlalu menekan. Dia seolah-olah bercerita dan disulam dengan isi yang menarik.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar SM Teknik Tuanku Jaafar Dinobatkan Sebagai Juara Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia
Hasil kerja keras dan penyampaian yang berbeza berbanding peserta lain, gadis manis ini berjaya merangkul tempat ketiga menjadikan hanya dia seorang pelajar perempuan berjaya bergelar tiga peserta terbaik.Mengakui dirinya seorang yang sangat introvert, Fatin bersyukur kerana mendapat sokongan yang hebat dari keluarga dan guru.
“Saya berasa sangat gembira dan lega kerana telah berjaya menyelesaikan pertandingan hari ini. Saya berterima kasih kepada ibu dan ayah kerana telah banyak memberi sokongan. Saya juga berterima kasih kepada guru-guru di sekolah kerana banyak memberi sokongan terutamanya guru pembimbing, Cikgu Norazila yang banyak membantu saya dalam pertandingan ini,” ujar pelajar berusia 15 tahun ini.
Fatin Darwisyah bersama kedua ibu dan bapa saat ditemu bual.
Setia menemani anaknya, Puan Ayumalasari Ahmad berkongsi kisah tentang sikap Fatin yang introvert. “Saya sebagai ibu tidak sangka kerana saya kenal dia bagaimana orangnya. Dengan sifat introvert dan ada anxiety, ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana dia berjaya membuktikan kebolehan dirinya.
“Terutamanya membuktikan kepada diri dia sendiri kalau yakin pasti dia boleh buat. Saya harap ini dapat menjadi contoh kepada remaja di luar bahawa introvert bukan satu perkara yang membuatkan anda rasa down, kalau berusaha pasti akan berjaya,” ucapnya memberi nasihat.
ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang! Pelajar SMK Wangsa Maju Seksyen 2 Dinobatkan Sebagai Naib Juara Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia
Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia merupakan anjuran REMAJA dan Ideaktiv dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rakan strategik. Selain Fatin yang berada di kedudukan ketiga, johan pertandingan ini jatuh kepada Ammar Hazim Mohd Syafawi dari SM Teknik Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan manakala tempat kedua jatuh kepada Aisy Basri Mohd Bakri dari SMK Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur,
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.