Semangat juang pasangan beregu Pearly Tan dan M. Thinaah berjaya membuktikan yang mereka adalah kuasa baharu dunia badminton di Malaysia apabila berjaya memenangi saingan Terbuka Perancis sebentar tadi.
Menerusi kemenangan tersebut, pasangan beregu ini mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia memenangi acara tersebut yang telah pun diadakan sejak 1908.
Pasangan nombor 11 dunia itu menewaskan juara dunia dua kali dari Jepun iaitu Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara dengan catatan mata 21-19, 18-21 dan 21-15 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Paris.
ARTIKEL BERKAITAN: Emas Pearly & Thinaah Pastikan Malaysia Lepas Sasaran Sukan Komanwel 2022
Pada aksi yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin itu, Pearly Tan dan M Thinaah tidak memberi peluang kepada beregu Jepun dan berlawan habis-habisan biarpun diheret sehingga pusingan ketiga.
Kali terakhir Malaysia menang emas dalam acara Terbuka Perancis adalah pada tahun 2015 menerusi Datuk Lee Chong Wei. Prestasi tertinggi pasukan beregu wanita negara pula sebelum ini menerusi gandingan Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui yang menggondol gelaran naib juara pada 2008.
Kejuaraan di Paris kali ini adalah gelaran kedua buat Pearly Tan dan M. Thinaah dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Switzerland, tahun lalu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.