Untuk tahun ketiga di Malaysia, jelajah pertunjukan kereta terbesar dunia Hot Wheels™ Legends Tour kembali semula dengan kerjasama Art of Speed Malaysia dalam misi pencarian kenderaan rekaan khas terbaru yang layak ditransformasi kepada model kereta mainan (die-cast) skala 1:64 Hot Wheels®.
Pada tahun ini, Malaysia telah mencatatkan 204 penyertaan iaitu 25 peratus peningkatan berbanding tahun lalu.
Setelah diadili barisan pereka Hot Wheels® yang terdiri daripada Bryan Benedict (Pengarah Rekaan Kenderaan Die-Cast Hot Wheels®), Brendon Vetuskey (Ketua Pereka kenderaan Hot Wheels® Monster Trucks dan Red Line Club), Tengku Djan, DEV JBC, dan Ahirine Ahirudin; akhirnya wakil Malaysia telahpun dipilih!
Tahun ini, juruteknik trak treler dari Negeri Sembilan bernama William Chong telah dipilih menerusi rekaan unik Proton Suprima S sekaligus akan mewakili Malaysia di peringkat Separuh Akhir Global.
William dipilih setelah juri tertarik dengan ketulenan idea, paparan identiti Hot Wheels®, kreativiti, keunikan yang tersendiri; dan ‘Garage Spirit’ pada jenteranya.
Ulas Brendon Vetuskey berkenaan rekaan Chong, Proton Suprima S miliknya mewakili jenama kereta yang jarang dilihat di peringkat dunia.
”Terdapat jenama unik seperti Proton dan Perodua yang tiada di AS serta keunikan perubahan yang dipersembahkan menjadikan ia amat menarik.
”Rekaan ini sangat unik dan cool. Dengan kit badan kenderaan (body kit), badan kereta rendah hampir mencecah lantai (slammed to ground stance), dan spoiler; ciri-ciri ini menjadikan ia sebuah kereta Hot Wheels® yang hebat. Identiti asli sepenuhnya Hot Wheels®”, katanya.
*
Dalam pada itu, William yang bertugas sebagai pegawai teknik treler di Negeri Sembilan merupakan pemilik jentera 2015 Proton Suprima S dan olahan keretanya diinspirasikan daripada Subaru STI kerana pilihan bodykit bagi model Proton Suprima S tidak banyak.
“Jadi, saya dapat konsep ini dan dapatkan bodywork yang bersesuaian agar ia menjadi satu-satunya model sepertinya di Malaysia.
“Apabila saya dapat kereta ini, memang ia ‘stock’ lagi. Jadi saya hantarkan untuk bodywork untuk mula lakukan widebody dan bodykit. Paling susah memang widebody kerana ia mengambil masa empat bulan untuk disiapkan. Siap bahagian itu, saya hantar untuk kerja mengecat pula di mana saya memilih Khaki Deserta daripada Subaru XV. Warna ini memang kurang dipakai pada Suprima S, sebab itu saya memilihnya.
“Jika kereta ini mendapat die-cast daripada Hot Wheels, ia adalah satu kejayaan dalam hidup saya. Terima kasih Hot Wheels Legends Tour Malaysia,” katanya.
Sebagai pemenang Hot Wheels™ Legends Tour siri Malaysia, rekaan Proton Suprima S 2015 bakal bersaing di peringkat Separuh Akhir Global Hot Wheels® Legends secara virtual pada 11 November 2022.
Chong akan bersaing dengan para pemenang lain dari seluruh dunia untuk merebut slot di Peringkat Akhir Global pada 13 November 2022.
“Saya rasa bagai bermimpi apabila terpilih mewakili Malaysia ke peringkat Separuh Akhir Global Hot Wheels™ Legends Tour. Ia satu penghargaan! Saya mencurahkan idea dan tenaga sepenuhnya dalam rekaan ini dan mendengar penilaian juri yang ia unik dan cool membuatkan saya berasa terharu,” kongsi William Chong. “Saya berharap dapat membanggakan Malaysia!”
Jom berikan sokongan kepada wakil Malaysia ini dan rekaan Proton Suprima S 2015-nya di Separuh Akhir Global Virtual Hot Wheels™ Legends Tour 2022 secara langsung (livestream) pada Jumaat, 11 November 2022, 9am untuk menjadi sebahagian daripada momen bersejarah ini!
2022 menandakan tahun kelima penganjuran pertandingan global penuh mengujakan ini. Para peminat kereta rekaan khas Malaysia menyertai mereka dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Sepanyol, Brazil, Australia, New Zealand, Jepun dan penyertaan baru dari Indonesia dan Filipina bersaing untuk menjadikan kenderaan rekaan khas masing-masing terpilih sebagai model yang bakal dipasarkan di lebih 150 buah negara seluruh dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.