#GirlPower: Khairina Alisha Terus Cemerlang, Kini Bergelar Pelajar Sains Aktuari Dan Pemegang Tunku Scholar

Kisah yang dikongsinya sekitar tahun 2017 menjadi tular kembali hari ini. Menceritakan tentang pengorbanan arwah ayahnya, Razali Ahmat menjaga ibu,Noor Haslinda Daud dan adik-beradiknya cukup meruntun perasaan, ditambah pula dengan insiden kemalangan yang mengorbankan ayahnya di saat dia sedang menyertai pertandingan debat di sekolah.

Nur Khairina Alisha,22, merupakan seorang anak yang sangat taat kepada allahyarham ayah dan juga ibunya, dia juga cukup cakna terhadap kedua-dua adiknya. REMAJA yang berjaya menghubungi anak sulung dari tiga beradik ini mendalami kisahnya selepas perkongsian tersebut mula-mula tular lima tahun lalu.

Agak terkejut apabila penulis menghubunginya, Khairina tidak lokek bercerita. Dia berkongsi, “Sebenarnya ibu saya juga sudah meninggal dunia, dia meninggal dunia pada tahun 2019 akibat penyakit pneumonia. Selepas ayah meninggal dunia kaki ibu perlu dipotong, ketika itu dia juga perlu menjalani rawatan dialisis.”

Berikutan ibunya sudah meninggal dunia adik bongsunya Muhammad Uwais, 7, kini dijaga oleh ibu saudaranya sementara dia masih lagi menyambung pengajian di universiti. Manakala adik keduanya, Cleverest Hyffny,14, sedang mengikuti pengajian di sebuah madrasah yang terletak di Batu Pahat, Johor.

Menjadi yatim piatu pada usia yang masih muda, Khairina tidak menjadikan hal ini sebagai satu perkara yang menghalangnya untuk berjaya. Dia yang merupakan alumni Maktab Rendah Sains Mara Mersing dan Maktab Rendah Sains Mara Imtiaz YT KETENGAH menyambung pengajian dalam bidang Diploma Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara Tapah selepas memperoleh keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

Khairina bersama adik beradiknya dan ibu saudara.

“Selepas SPM, saya sambung Diploma in Actuarial Science di UiTM Tapah dengan biasiswa daripada JPA (dermasiswa B40). Saya memang pilih bidang ini sebab yang pertama saya minat matematik, yang kedua saya pilih sebab sebelum saya sambung diploma, saya ada uruskan berkaitan insuran dan hal-hal kematian ayah saya. Jadi jurusan yang saya ambil memang berkaitan risiko dan insuran, Alhamdulillah, tanggal 1 Disember 2022 nanti saya akan menghadiri majlis konvokesyen untuk menerima sijil diloma saya,” kongsinya panjang lebar.

Perjalanan akademiknya tidak terhenti di situ sahaja, mendapat keputusan cemerlang dengan gred purata keseluruhan 3.70, Khairina kini meyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pula. Kongsinya, “Selepas tamat pengajian diploma saya terus ambil penerapan ke jurusan yang sama dengan biasiswa daripada Yayasan Tunku Abdul Rahman. Kini saya berada di UiTM Shah Alam pula. Sekarang saya berada di semester keenam dan semester hadapan saya akan mula menjalani latihan industri.”

Untuk menjadi seorang penerima biasiswa bukanlah muda, tambahan pula biasiswa berprestij seperti Biasiswa Yayasan Tuanku Abdul Rahman. Apabila ditanya tentang bagaimana dia boleh menjadi sebahagian daripada pelajar bertuah seluruh negara. Jawapannya cukup ringkas dan merendah diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang Sukan & Akademik, Azeem Fahmi Akhirnya Pilih Auburn University Sebagai Destinasi Pengajian

Ujarnya, “Biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman lebih tertumpu kepada kepimpinan. Saya memang aktif sejak di bangku sekolah lagi dalam bidang kepimpinan. Dan saya juga menamatkan pengajian diploma saya keputusan gred purata keseluruhan 3.70 yang mana bagi saya quite okay. Dalam masa yang sama, yayasan ini juga menawarkan biasiswa untuk pelajar yang kurang bernasib baik.

“Jadi sewaktu saya memohon, saya juga cerita tentang kehidupan saya yang saya dah tiada ayah dan sepanjang diploma saya menjaga ibu dan adik2 saya sambil belajar. Saya rasa pengalaman saya yang membuatkan saya dipilih sebagai salah seorang dari Tunku Scholar.”

Anak jati Johor Darul Takzim ini bercita-cita suatu hari nanti untuk menjadi pensyarah dalam bidang Matermatik bagi memastikan generasi muda dapat belajar subjek tersebut dengan efektif. Dia berharap dapat memberi peluang kepada komuniti kurang bernasib baik untuk belajar dan memajukan diri dalam bidang akademik. Walaupun begitu sebelum menjadi pensyarah, dia terlebih dahulu mahu menimba ilmu berkerja di dalam industri. Menurutnya lagi, dia mahu mendalami bidang pengurusan risiko dan kewangan.

Sebagai pelajar aktif, Khairina turut serta dalam pelagau aktiviti termasuklah aktiviti kesukarelawanan. Dia suka melakukan perkara yang memberi energi positif kepada dirinya. Dalam kehidupan, pasti ada figura tertentu yang dijadikan contoh. Begitu juga dengan Khairina, idola dalam hidupnya dalah orang yang paling dekat di hati.

“Orang yang saya paling pandang tinggi  dalam hidup adalah kedua ibu bapa saya sebab saya membesar merlihat bagaimana mereka bersusah payah membesarkan saya, Allahyarham mak dan ayah sentiasa memberi sokongan dalam segala hal yang saya lalukan. Walaupun mereka sendiri sudah dan sakit. Jadi setiap kali saya nak rasa berputus asa, saya akan ingat kepercayaan dan sokongan yang mereka berikan kepada saya sejak kecil,” ucapnya.

Sebelum menutup tirai perbualan kami, penulis bertanya tentang semangat yang ada pada dirinya. “Mostly seumur hidup saya memang mak dan ayah sahaja yang selalu beri sokongan kepada saya. Jadi apabila mereka meninggal dunia, saya tiada pilihan lain selain meneruskan kehidupan. Kemudiannya sebab adik-adik saya masih kecil jadi saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk sediakan yang terbaik untuk mereka. Dan untuk melakukan itu, saya perlu menghabiskan pelajaran untuk membantu mereka di masa akan datang,” ujarnya mengakhiri perbualan kami.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply