Bukan calang-calang orang boleh terpilih untuk menerima anugerah khas yang diberikan universiti di Majlis Konvokesyen. Hanya mereka yang cemerlang dan membawa nama institusi dengan baik akan dinobatkan.
Muhammad Ammar Sahazubir yang merupakan pendebat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tunku Abdul Razak pada majlis konvokesyen universiti tersebut yang ke-50, Sabtu lalu. Anugerah tersebut telah disampaikan kepadanya oleh Canselor UKM, DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Ammar yang merupkan graduan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Psikologi) telah berjaya mengekalkan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik malahan menerusi kokurikulum juga. Sepanjang pengajian selama enam semester dia berjaya memperoleh empat kali Anugerah Dekan.
Selain itu anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini telah mewakili dan mengharumkan nama UKM dipelbagai peringkat. Di antara kejayaan yang paling bermakna buatnya adalah membawa nama institusi tersebut menjadi Naib Johan dalam Pertandingan Debat Diraja Antara Institut Pengajian Tinggi Malaysia 2022.
Manakala peringkat antarabangsa pula, Ammar juga merupakan wakil UKM dalam ASEAN University Student Network dan telah dijemput untuk mewakili Malaysia sebagai panelis sempena AUSN Cross-Cultural Exposure.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua Tahun Berturut-Turut Bergelar Pendebat Terbaik, Muhammad Ilham Hafiz Azmi Cemerlang Bersama Pasukan Debat UIAM
Ammar bersama rakan sepasukan ketika menjadi naib johan Debat Diraja Antara IPT 2022.
“Sejujurnya, saya langsung tidak pernah terfikir bahawa saya akan menerima anugerah ini. Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap orang yang telah membantu saya, mendorong saya ke hadapan dan memberikan semangat kepada saya apabila saya rasa ingin berhenti.
“Anugerah ini tidak pernah menjadi satu matlamat. Saya hanya ingin menikmati kehidupan di universiti, melakukan apa yang saya minati dan membantu orang semampu mungkin. Walaupun begitu, anugerah ini amat penting bagi saya. Ia menjadi tanda penghargaan kepada apa yang telah saya lakukan,” ujarnya dalam satu catatan di Instagram peribadinya usai menerima anugerah tersebut.
Dia berkongsi lagi bahawa anugerah yang diterima itu merupakan saksi kejayaan sepanjang tiga tahun bergelar pelajar di UKM, dan dalam apa sahaja perkara yang diceburi, lakukan dengan baik. Jika mencapai tahap cemerlang, perkara seperti ini datang dengan sendirinya.
Bersama-sama kedua orang tuanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka Sabah Terima Anugerah Naib Canselor UKM. Cemerlang Akademik & Kokurikulum
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, menurut penjelasan laman sesawang Yayasan Tun Razak, anugerah yang diterima Ammar merupakan anugerah tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 1995. Ia dianugerahkan kepada pelajar terbaik Universiti Kebangsaan Malaysia UKM yang dipilih oleh Senat UKM.
Anugerah diberi untuk memperingati Tun Abdul Razak sebagai Canselor Pertama UKM. Setiap penerima akan dianugerahkan dengan sebutir pingat bersalut emas dengan ukiran wajah Tun Abdul Razak, sekeping sijil penghargaan dan sejumlah wang tunai yang ditentukan oleh Lembaga Yayasan Tun Razak.
Tahniah Ammar, semoga terus cemerlang!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Facebook UKM, Instagram Ammar Sahazubir
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.