Raih Anugerah Dekan Sepanjang Pengajian, Naib Juara Dewi Remaja 2022 Terima Anugerah Naib Canselor UiTM

Naib juara Dewi Remaja 2022, Siti Nur Aishah Bee binti Md Nor atau lebih mesra dipanggil Bee Aishah.

Gadis berusia 22 tahun ini baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Perfileman di Kolej Pengajian Kreatif, Universiti Teknologi MARA. Minatnya dalam dunia penyiaran dan seni hiburan mendorong Bee untuk mendalami bidang tersebut. Tidak sia-sia, dia dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dalam majlis konvokesyen UiTM ke-95 baru-baru ini.

Bukanlah mudah untuk mendapat anugerah ini kerana setiap pelajar perlu konsisten mendapat keputusan Anugerah Dekan setiap semester, tambahan pula dia merupakan antara pelajar yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyasarkan untuk mencapai keputusan Anugerah Dekan setiap semester. Tetapi apabila satu satu tugasan diberikan oleh pensyarah saya sangat mengambil berat terhadap hal tersebut.

“Oleh itu, saya akan memastikan bahawa saya memahami setiap perkara yang diperlukan supaya saya boleh mencapai markah tertinggi untuk tugasan itu. Jika ini tugasan kumpulan, saya akan pastikan saya memilih orang yang boleh saya bekerjasama dan memastikan mereka juga selesa dengan gaya kerja saya.

“Apabila bercakap tentang tugasan bertulis, baca pruf adalah satu kemestian, semak tiga kali sebelum menghantar. Apabila saya rasa tidak pasti tentang satu-satu perkara, saya selalu mendapatkan nasihat daripada pensyarah. Saya rasa itulah cara saya berjaya mengekalkan keputusan saya,” ujarnya berkongsi amalan yang dilakukan sepanjang pengajian.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka Sabah Terima Anugerah Naib Canselor UKM. Cemerlang Akademik & Kokurikulum

Setelah menamatkan pengajian dan baru-baru ini menyertai pertandingan Dewi Remaja 2022 sehingga berjaya bergelar naib juara, gadis tinggi lampai ini mahu menumpukan perhatian kepada kerjayanya terlebih dahulu. Kini, Bee merupakan pengacara dan juga content creator untuk platform media sosial Sinar Daily yang merupakan sebuah portal berita berbahasa Inggeris. Selain itu dia juga sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri arahan pengarah terkenal tempatan.

Apabila ditanya soal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dia berkongsi pandangan. “Bagi saya pembelajaran tidak mempunyai tarikh luput, jadi saya sentiasa boleh kembali ke dunia akademik. Sebenarnya saya sedang belajar sekarang tetapi dalam perspektif dan sudut yang berbeza. Saya sedang belajar membina diri,” ujarnya yang memperoleh CGPA 3.83 secara keseluruhan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sebagai Pesakit Talasemia.. ” Naib Juara Bee Aishah Buka Cerita Pengsan Belakang Pentas Dewi Remaja 2022

Setiap anak muda pasti memiliki idola mereka sendiri. Begitu juga dengan Bee, namun begitu idolanya bukanlah orang terkenal, sebaliknya individu tersebut ialah ibunya sendiri.

“Ibu saya. Dia sentiasa menjadi orang yang saya hormati. Melihat bagaimana dia bertungkus-lumus membesarkan tiga orang anak seorang diri dan tidak pernah gagal memberikan anaknya kehidupan yang selesa membuatkan saya rasa bersyukur dan terinspirasi untuk menjadi seperti dia.

 “Saya tidak pernah melihat sesiapa yang bekerja keras seperti dia. Jadi saya cuba untuk menjadi seperti dirinya. Ibu mungkin tidak sempurna dari segala segi tetapi sekurang-kurangnya dia tidak pernah berputus asa dengan kami. Saya mahu menjadi seorang wanita yang boleh bergantung pada dirinya sendiri, berjaya dan dihormati oleh semua orang seperti ibu saya,” ujarnya mengakiri bicara kami.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply