Cemerlang SPM 9A+, Alumni Kolej Tunku Kurshiah Ditawarkan Ke Oxford University & Cornell University

Inspiring…

Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Adriana Syahmina Karim Mohamad Fuad baru-baru ini menjadi tular di laman Twitter apabila perkongsiannya yang telah mendapat tawaran dari dua universiti berprestij mendapat perhatian ramai.

Cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan memperoleh keputusan 9A+, anak jati Sarawak ini mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Kolej Seni & Sains, Cornell University yang terletak di New York dan dalam bidang Sains Bumi di Oxford University, United Kingdom.

Menariknya, kedua-dua tawaran tersebut diterimanya berselang kurang sebulan di antara satu sama lain.

Adriana yang merupakan bekas penerima Biasiswa Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak menulis dalam satu hantaran di Twitter, “Adakah saya benar-benar masuk ke oxford selepas mendapat ivy? Tidak percaya, memang tak percaya walau bagaimanapun saya sangat bersyukur. Alhamdulillah.”

Mengikut maklumat di laman linkedin miliknya, Adriana kini sedang mengikuti pengajian peringkat A levels di Kolej Yayasan UEM dan merupakan seorang pemegang biasiswa Shell.

ARTIKEL BERKAITAN: Raih Sarjana Muda Undang-Undang UM. Pembaca Berita & Naib Juara Dewi Remaja 2019 Tampil Cemerlang

Ketika dibangku persekolahan, selain cemerlang akademik dia sangat aktif dalam bidang kokurikulum. Atas kecemerlangannya itu, gadis berusia 20 tahun ini dinobatkan sebagai penerima anugerah Tan Sri Datuk Rafiah Salim dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2020. Kedua-duanya dianugerahkan kepadanya oleh pengurusan Kolej Tunku Kushiah.

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Cornell University merupakan sebuah university di Amerika Syarikat yang tersenarai dalam kelompok university bertaraf Ivy League menandakan institusi pendidikan itu merupakan salah sebuah institusi terbaik. Manakala Oxford University pula tersenarai sebagai sebuah universiti terbaik dunia.

Kolej Tunku Kurshiah merupakan antara sebuah sekolah berasrama penuh khusus untuk pelajar-pelajar wanita bumiputera di Malaysia. Saban tahun pelajar-pelajarnya cemerlang dalam bidang akademik serta kokurikulum, dan institusi gah ini menjadi saksi lahirnya ramai tokoh terbilang yang mencorak negara.

Antara alumni terkenal sekolah ini seperti Datin Seri Dr Wan Azizah, Prof Datuk Dr Mazlan Othman, Datin Marina Mahathir dan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply