Nama Azeem fahmi cukup mekar dalam arena olahraga negara. Kejayaan anak jati Perak Darul Ridzuan dalam bidang pendidikan dan sukan menjadi inspirasi terbaik untuk anak muda negara.
Berjaya memperoleh 6A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan disokong dengan prestasi yang hebat dalam bidang sukan, Azeem menjadi buruan beberapa universiti terkemuka Amerika Syarikat yang menyaksikan dia memilih Auburn University yang terletak di Alabama sebagai pilihan.
Terbaharu, jejaka berusia 19 tahun ini berjaya merangkul pingat emas dalam acara 100-meter pada kejohanan Florida State University (FSU) Relays yang diadakan di Tallahassee, Florida, Amerika Syarikat hari ini.
Dia mencatat masa 10.32-saat jauh meninggalkan pesaing yang berada di tempat kedua iaitu Andre Ewers yang mencatat masa 10.49-saat dan Trei Thorogood yang mencatat masa 10.51-saat dari Syracuse University.
Azeem mula mencipta namanya apabila dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100-meter dengan melakar catatan masa 10.09-saat pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun yang diadakan di Cali, Colombia.
Selain itu dia juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 60 meter yang dipegang Watson Nyambek hampir 24 tahun dengan catatan masa 6.63m di Kejohanan Texas Tech Open&Multi di Texas yang berlangsung awal tahun ini.
Imbas kembali, Azeem Fahmi sebelum ini pernah bersekolah di sekolah berasrama penuh Sekolah Tuanku Abdul Rahman sebelum berhijrah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat yang merupakan sebuah Sekolah Kluster Sukan bagi menumpukan perhatian dalam bidang Olahraga.
Kini di Auburn University, Azeem mengambil kursus dalam bidang Fisiologi Senaman dan Kinesiologi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.