Catat Rekod Dunia Pada Raya Ke-3! Jurulatih Malaysia ‘Helok’ Berbaju Melayu Tamatkan London Marathon

Misi memartabatkan pakaian tradisional Baju Melayu di peringkat dunia telahpun direalisasikan pada hari sambutan Aidilfitri ketiga.

Berlangsung di kota London semalam, jurulatih kecergasan dan pelari profesional dari Malaysia, Edan Syah berjaya menamatkan larian London Marathon sejauh 42 kilometer dengan catatan masa 2 jam 49 minit dan 22 saat.

Apa yang menjadi momen tersebut istimewa adalah apabila Edan menyahut cabaran untuk menamatkan larian dengan catatan masa terpantas sambil berpakaian tradisional lelaki lengkap (yakni baju Melayu).

Penyertaan Edan itu turut diperhatikan oleh pihak Guinness World Records dan setelah beliau menamatkan larian di bawah catatan masa 3 jam, rekod tersebut terus dianugerahkan buatnya.

Menurut Edan dalam catatan di hantaran Instagram, penyertaannya kali ini adalah sebahagian daripada misi beliau bersama kempen Bulan Bintang Road to London: Make Baju Melayu Great Again di mana jenama pakaian tradisional popular tersebut memberikan sokongan sepenuhnya di sebalik idea menyahut cabaran ini.

“Terima kasih sekali lagi kepada Bulan Bintang HQ dan Meri Pergi Bulat atas kepercayaan, peluang dan menerima idea ‘luar kotak’ saya untuk projek ini.

“Anda berani mencipta satu aras baharu untuk perkara yang tidak mustahil. Terima kasih kepada pengurus saya, Jolene Hong di atas kepercayaan dan kesemua penyusuna jadual dengan Guinness World Records dan pasukan Bulan Bintang HQ.”

“Kami telah melakukan yang terbaik untuk memartabatkan semula Baju Melayu di London Marathon 2023! Apa pula selepas ini?” kata Edan yang turut berterima kasih kepada kesemua warga Malaysia di London yang setia memberikan sokongan buatnya di sepanjang laluan maraton.

Kongsinya lagi, ini merupakan kali pertama sepanjang 12 tahun pembabitannya dalam acara maraton yang memerlukannya merakam momen bersejarah ini menggunakan kamera 360.

Beliau turut sempat memuat naik beberapa hantaran klip daripada rakamannya itu ke Instagram untuk tontonan pengikutnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Edan Syah | SACRun.Coach (@edansyah)

Terdahulu, Edan Syah sempat berkunjung di bangunan kedutaan Malaysia di London bagi bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom – Great Britain & Nothern Island, Dato’ Zakri Jaafar. Di sana, beliau telah menyatakan hasrat dan impiannya untuk mencatatkan rekod baharu di kota London.

Wah! Tahniah Edan Syah! Tak sabar hendak nantikan dokumentari penuh Guiness World Record Bulan Bintang Road To London: Make Baju Melayu Great Again, tidak lama lagi.

Sebelum ini, REMAJA pernah merakamkan detik jenama Bulan Bintang HQ mencatatkan kejayaan dalam Malaysia’s Book of Records menerusi persembahan dron terbanyak dalam satu-satu masa sewaktu persembahan fesyen koleksi Raya 2023, tempoh hari.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply