Semangat kesukanan yang tinggi jelas dapat dirasai pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet kelainan upaya intelek (ID) yang berlepas ke Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023, semalam.
Bertempat di kampus Sunway University di Bandar Sunway, seramai 16 orang atlet kelainan upaya (OKU) telah diraikan dengan panji bendera dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan atlet, jurulatih dan para penaja mereka sebelum membawa cabaran negara ke temasya yang akan berlangsung dari 17 hingga 25 Jun itu.
Antara yang tersenyum riang ketika ditemui REMAJA di majlis tersebut termasuklah atlet remaja kelainan upaya pembelajaran, Nur Ameer Muqsiq yang bakal mewakili negara untuk kali pertama di peringkat antarabangsa.
Ameer, 19 akan bertanding dalam tiga acara olahraga termasuklah larian 100m, 4x100m dan lompat jauh. Jelas, remaja yang turut menghidap disleksia itu kini lebih bersemangat untuk bersaing; lebih-lebih lagi apabila mereka diberikan kata-kata semangat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri dalam majlis tersebut.
Nur Ameer Muqsiq. Sumber Foto: BERNAMA
“Saya rasa seronok dan gementar. Saya telah mula berlatih sejak tahun lepas, saya berlatih dua kali seminggu di rumah dan di Stadium Perak bersama jurulatih (S. Manogaran),” ujar remaja yang berasal dari Perak itu.
Jurulatihnya dalam pada itu menyifatkan Ameer sebagai seorang atlet yang amat mendengar kata dan memberikan sepenuh perhatian ketika melakukan latihan. Malah, Ameer amat teruja setiap kali S. Manogaran membawanya melihat perlawanan di stadium dan ia sedikit sebanyak menaikkan semangatnya untuk mewakili Malaysia.
Sebagai info, Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 akan mempertandingkan 26 acara. Persaingan tentu sengit apabila atlet Malaysia bakal disertai oleh 7,000 atlet lain dari 190 negara. Selain Ameer, seramai 15 lagi atlet OKU Malaysia yang lain akan membawa cabaran negara dalam enam acara sukan termasuklah olahraga, renang, badminton, pingpong, boling dan bocce.
Selain dana sebanyak RM160,000 yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan kontinjen negara ke Berlin, kontinjen Malaysia juga mendapat sokongan daripada beberapa rakan penaja termasuklah penaja utama, U Mobile.
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian tampil mengucapkan selamat bertanding kepada pasukan Malaysia pada temasya kali ini dan berharap agar kerjasama yang terjalin ini akan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai atlet kurang upaya intelek (ID) yang mempunyai keupayaan luar biasa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.