Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu…
Itulah pepatah yang sesuai digambarkan buat anak muda seorang ini yang telah berjaya mengapai impiannya dalam dunia penerbangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Diuji Kehilangan Bapa Tercinta Sebulan Sebelum Peperiksaan, Gadis Ini Buktikan Berjaya Raih ‘Straight’ A SPM 2022
Baru berusia 24 tahun dan hanya berbekalkan segulung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak jati kelahiran Johor Darul Ta’zim ini berjaya membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila kini dapat bertugas dalam bidang yang diimpikan selama ini.
Pemilik nama Muhammad Farid Farok yang dahulunya bekerja sebagai kelindan lori, tidak menyangka kehidupannya berubah 360 darjah selepas mengikuti kursus Cabin Crew, Customer Service & Basic Ground Handling selama tiga bulan dari Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan.
Tekad untuk masa depan yang lebih cerah, jejaka yang lebih disapa Farid ini beralih bidang dan kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di bawah Malaysia Airlines.
Farid ketika masih bekerja sebagai kelindan lori
“Selepas habis SPM saya terus bekerja sebagai kelindan lori, waktu itu fikir hanya untuk mencari duit. Tetapi kesan jangka panjang bekerja sebagai kelindan lori adalah masalah kesihatan kerana perlu mengangkat barang berat selain terlalu banyak duduk di dalam lori.
“Jadi, apabila terlihat peluang untuk belajar selama tiga bulan, saya cuba walaupun ketika itu langsung tidak tahu tentang dunia penerbangan.
“Alhamdulillah, saya belajar pada 2018 dan pada 2019 saya telah bekerja bersama Malaysia Airlines sebagai Ground Staff. Saya masih menimba ilmu kerana pada masa yang sama saya juga mencuba untuk menjadi seorang pramugara,” tutur Farid kepada Remaja.
Tambahnya lagi, meskipun langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang penerbangan, namun pengambilan sijil di Kolej Meatech itu sangat membantu mempersiap dirinya untuk bekerja dalam bidang tersebut.
“Saya suka bekerja dalam bidang penerbangan kerana selain suka melancong, minda saya semakin terbuka apabila berjumpa pelbagai ragam pelanggan dari seluruh dunia,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi alumni Kolej Meatech, Ainun Darayani Omar atau Dara yang sebelum ini merupakan seorang pemandu pelancong dan juga pembantu klinik veterinar tidak menyangka percubaannya untuk terjun ke dunia penerbangan membuahkan hasil.
Sebaik sahaja menamatkan kursus selama tiga bulan, gadis berusia 28 tahun ini terus ditawarkan pekerjaan sebagai pramugari dan kini telah tujuh bulan terbang di awan biru.
“Sebelum ini saya bekerja di bidang pelancongan, tetapi kerana pandemik Covid-19 saya kehilangan kerja. Selepas itu, saya bekerja sebagai pembantu klinik veterinar. Walaupun pekerjaannya stabil tetapi saya kurang minat.
“Oleh itu, saya cuba mengambil kursus tiga bulan dan tidak sangka terus dapat kerja selepas itu. Sejak bekerja sebagai pramugari banyak perubahan positif pada diri saya terutamanya daripada aspek disiplin dan juga kemahiran komunikasi,” ujar Dara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, perkembangan agresif industri penerbangan pada masa kini telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Terutama selepas pandemik Covid-19, ramai pekerja mahir dalam bidang penerbangan memilih untuk tidak kembali bekerja kerana telah memiliki pekerjaan lain atau perniagaan sendiri.
Selain itu, Batik Air sendiri telah membuktikan perkembangan positif industri penerbangan kerana akan menambah 47 sehingga 50 pesawat pada tahun depan daripada 35 pesawat sedia ada.
“Ini baru Batik Air sahaja, belum syarikat penerbangan lain yang turut menambah pesawat masing-masing. Maksudnya lebih banyak perjalanan dibuka dan lebih ramai pekerja diperlukan.
“Jadi, dengan adanya kolej seperti Meatech ini memang sangat membantu kerana memudahkan syarikat penerbangan untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran,” kata Kapten Mushafiz yang ditemui pada Majlis Aviation Experience Day anjuran YEG Academy dengan kerjasama Kolej Meatech di Sama-Sama Hotel, Sepang, Selangor baru-baru ini.
Sekadar informasi, pada majlis Aviation Experience Day itu, sekitar 1,000 bakal pelajar telah menghadiri program tersebut yang turut memuatkan sesi perkongsian pengalaman bersama felo Kolej Maetech iaitu Zarul Umbrella dan juga pekerja-pekerja industri penerbangan.
Selain itu, Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech turut menawarkan program diploma untuk pelajar lepasan SPM seperti Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.