Sejak tahun 2001, masih tiada pemain skuasy remaja dari Malaysia yang pernah melangkah ke pusingan akhir kejohanan Skuasy Remaja Dunia. Kali terakhir pemain dari Malaysia melakukannya adalah menerusi Datuk Nicol Ann David. Lama kan!
Namun semua itu berubah apabila pemain pelapis skuasy kebangsaan, Aira Azman menjadi pemain Malaysia pertama menamatkan kemarau 22 tahun negara itu kelmarin.
Aira, 19 berjaya mara ke pusingan akhir setelah mengejutkan pemain pilihan kedua dari Mesir, Fayrouz Abouelkheir di Melbourne, Australia.
Kemenangan 12-10, 11-7, 11-8 dalam masa 28 minit di peringkat separuh akhir itu sekaligus membolehkan Aira yang berada di ranking ke-60 dunia itu bagi membawa cabaran negara.
Begitupun semalam, Aira terkandas di pusingan akhir kepada juara bertahan, Amina Orfi dalam straight set dengan keputusan 11-8, 11-5, 11-1 dalam masa 31 minit.
Biarpun terlepas peluang untuk melakukan kejutan kali kedua pada kejohanan terbabit, Aira masih berpuas hati dengan persembahannya pada pusingan akhir itu dan menganggap ia merupakan prestasi terbaiknya sepanjang bertemu dengan Amina.
“Saya rasa permainan Amina sangat mantap hari ini, dia bermain dengan sangat baik. Memang agak mengecewakan dengan kekalahan ini, tetapi semoga ia menjadi lebih baik dari sini,” ujarnya kepada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM). Untuk pengetahuan, edisi kali ini merupakan penyertaan keempat dan terakhir Aira pada Kejohanan Remaja Dunia.
Aira bagaimanapun enggan mudah mengalah dan menganggap kejayaan di kejohanan Skuasy Remaja Dunia ini sebagai katalis untuknya terus melaungkan saingan di peringkat antarabangsa.
“Mungkin tidak mendapat gelaran juara tetapi saya gembira dapat mara ke final dan menjadi pemain pertama ke final selepas 22 tahun sejak kejayaan Datuk Nicol.
“Rasanya permainan saya bertambah baik tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Saya juga berharap dapat meningkatkan prestasinya dalam Sukan Asia di Hangzhou, China,” katanya merujuk kepada kejohanan terbesar di Asia yang akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober.
All the best girl!
SUMBER: (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.