Kepelbagaian Diraikan: REMAJA Tampilkan 5 Personaliti Bagi Laungan Kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’ Edisi Ke-5 – Isu Digital Ogos 2023

Semakin hari semakin jelas kesedaran masyarakat Malaysia terhadap penggunaan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu secara meluas. Menerusi platform media sosial dalam dunia digital dewasa kini, telah muncul golongan pejuang-pejuang bahasa yang tanpa keluh terus cuba memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan kelompok anak muda.

2023 menandakan ulang tahun kelima penganjuran kempen Saya #RemajaMalaysia yang diterajui syarikat media Nu Ideaktiv menerusi jenama REMAJA. Jujurnya, kami sendiri tidak menyangka penerimaan memberangsangkan akan hadir dari tahun ke tahun daripada para pembaca dan pengikut kami setiap kali kempen ia kembali dianjurkan bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Khas buat bacaan dan tontonan anda semua, REMAJA menampilkan lima personaliti baharu bagi meraikan kepelbagaian kempen Saya #RemajaMalaysia. Diterajui oleh Cikgu Zack Kirana, Farees Asri, Kimberly Chuah, Adam Shamil dan Malle Christian; diharap diversiti pada pola pemilihan personaliti kali ini mampu menyuntik rasa akrab dan harmoni yang terjalin dalam kalangan masyarakat majmuk di luar sana.

penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN  pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan ANN KARIM, CHE WAN & AYANG KAMELL persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR

Cikgu Zack Kirana

Statusnya sebagai seorang guru di pusat tuisyen swasta amat berlainan dengan persona guru-guru lain di luar sana. Riang, mudah mesra dan tidak lokek ilmu; tidak keterlaluan jika ramai berpendapat bahawa Cikgu Zack Kirana lebih menonjol berbanding yang lain.  Bagi Cikgu Zack atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim, peluang memartabatkan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah satu tanggungjawab yang digalas melebihi sekadar pekerjaan hakiki bagi meraih pendapatan. ‘Cikgu Ranggi’ ini selesa menyantuni anak murid berbilang bangsa dan sentiasa cuba menarik minat mereka agar terus lapar mengejar ilmu melebihi apa yang tercatat pada buku teks.

Farees Asri

Rancak menari di platform media sosial, siapa sangka minat Farees Asri, 25 berubah menjadi ‘DNA’ dan sumber pendapatannya dek minat mendalam terhadap seni tarian tradisional Melayu. Dalam dunia hiburan masa kini yang berpaksikan kepada lagu-lagu K-pop dan Barat, alunan irama tradisional yang mengiringi skil dan kelembutan gaya tarian guru lelaki ini pasti akan membuatkan ramai terpegun.

Kimberly Chuah

Gelaran pemenang tempat ketiga pencarian Dewi Remaja 2022 yang disandang Kimberly Chuah bukan satu tiket mudah untuknya menempa nama sebagai seorang pelakon versatil. Usaha dan kegigihan tetap disemat agar namanya terus mekar. Kimberly terlebih dahulu menarik minat warganet disebabkan penguasaan bahasa Melayunya amat mengagumkan. Inilah representasi sebenar seorang anak Malaysia yang dilahirkan di bumi Malaysia dan mencintai asal-usul keperibadian sebagai seorang remaja Malaysia.

(Dari Kiri): Farees Asri, Malle Christian, Cikgu Zack Kirana, Kimberly Chuah dan Adam Shamil menyarungkan jaket daripada SUPERDRY.

Adam Shamil

Wajahnya tidak asing lagi dalam kalangan pengguna laman sosial seperti TikTok dan YouTube. Keletahnya dalam menghasilkan video-video cukup menghiburkan namun masih punya inti pati bermanfaat. Petah bercakap, bersuara lunak dan mempunyai pakej fizikal yang disenangi ramai adalah sebahagian daripada kelebihan yang dimiliki oleh remaja kelahiran Sabah ini. Jelas, Adam Shamil mempunyai potensi untuk melangkah jauh berbekalkan bakat dan kebolehan menyanyi, pencipta kandungan dan pengacara yang dimilikinya.

Malle Christian

Menempa populariti terlebih dahulu sebagai bekas peserta pertandingan Unduk Ngadau di Sabah, aura yang diwarisi pemilik nama penuh Malle Christian Anderson Barlus ini tidak boleh disangkal. Sebaik membuka langkahan berani ke Semenanjung Malaysia bagi bertanding dalam pencarian Dewi Remaja 2022, corak pemikiran Malle lebih terbentang luas; selari dengan peluang yang ada ditawarkan di sini. Misi Malle mudah, untuk memberikan versi terbaik dirinya dalam apa jua yang diperjuangkan dan dipersembahkan; baik dalam aliran seni lakonan, peragaan atau sebagai seorang pencipta kandungan.

***

Terdahulu, REMAJA pernah membawakan penghias wajah hadapan berbeza sejak tahun 2019 sempena kempen Saya #RemajaMalaysia.

2019

2020

2021

2022

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply