Bagi yang ada anak kecil di rumah terapkan ajaran supaya sentiasa mendoakan ibu bapa. Ada sebab ibu bapa perlu mengajar anak kecil sedemikian. Ini kerana jiwa anak yang masih suci dan tiada dosa boleh jadi punca doa mudah makbul.
Perkara ini dikongsikan oleh Prof. Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.
Dalam catatan beliau, menurut al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali, Saidina Umar pernah meminta kanak-kanak agar mendoakan keampunan buat dirinya.
Jiwa kanak-kanak yang masih suci dan tidak berdosa itu menjadi rasional tindakan Saidina Umar. Kata Ibn Rajab:
كان عمر رضي الله عنه يطلب من الصبيان الاستغفار ويقول: ” إنكم لم تذنبوا”
“Sesungguhnya Saidina Umar RA pernah meminta kanak-kanak agar memohon keampunan buat dirinya dan dia berkata: Sesungguhnya (jiwa kamu suci) kamu masih tidak berdosa.”
Tindakan yang hampir sama pernah dilakukan oleh Saidina Abu Hurairah. Kata Ibn Rajab:
كان أبو هريرة رضي الله عنه يقول للغلمان: “قولوا: اللهم اغفر لأبي هريرة، ثم يؤمن على دعائهم”.
“Sesungguhnya Abu Hurairah pernah meminta kanak-kanak mengucapkan doa: Ya Allah, ampunkanlah (dosa-dosa) Abu Hurairah. (dan apabila kanak-kanak mengucapkan doa tersebut), Abu Hurairah mengaminkan doa tersebut.
Kesucian jiwa anak yang masih belum berdosa
Perhatikan bagaimana para sahabat melihat bahawa kesucian jiwa seseorang barangkali berupaya menjadi punca sesuatu doa itu mudah dimakbulkan. Dengan sebab itu mereka meminta kanak-kanak yang masih belum berdosa untuk mendoakan mereka.
Dengan itu adalah sangat wajar juga untuk kita mendidik anak-anak kecil kita yang masih suci hati mereka agar mendoakan kita. Mudah-mudahan berkat doa mereka, dengan keizinan Allah, kita memperoleh keampunan dan dipermudahkan urusan kita.
Sumber: Prof. Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.