‘Chenta Hati Garden’ Lambang Cinta Laman Rumah Berkonsep English Mix & Match

Siapa sangka rumah jenis semi D dua tingkat ini mampu mewujudkan landskap laman yang cantik berkonsep Inggeris dengan gandingan suai padan (English Mix & Match). Istimewanya, pemilik Shahrul Ikram Ismail menamakan laman indah tersebut ‘Chenta Hati Garden’, sebagai lambang cinta pada laman rumahnya.
Lebih menarik, laman berkeluasan 1,000 kaki persegi ini hanya dihias sendiri oleh pemilik mengikut citarasa dan kreativiti sendiri tanpa melantik pereka landskap professional. Proses membina elemen seperti kolam, pergola, patio serta rumah burung pula dijalankan secara berperingkat dalam tempoh 7 tahun dengan anggaran kos RM35,000.

Keutamaan Laman Buat Pemilik
Setiap pemilik landskap kediaman mempunyai keutamaan yang tersendiri apabila menghias laman. Bagi pemilik laman seharusnya mempunyai fungsi tersendiri, pengaliran udara, cahaya dan ruang serta pokok-pokok yang mudah dijaga.

“Keutamaan diberikan kepada fungsi dan estetika. pertimbangan utama adalah pengaliran udara, cahaya, ruang dan pemilihan pokok-pokok tanaman ‘low maintenance’ serta keselesaan ruang santai tempat duduk,” jelas Shahrul.

Ini jelas dapat diperhatikan apabila tanam-tanaman dan pokok-pokok cukup subur, mendapat pencahayaan dan pengudaraan secukupnya. Begitu juga susun atur perletakan patio, meja taman dan kolam air yang sempurna memenuhi ruang laman.

Dari segi jenis-jenis tanaman yang mudah dijaga dan tahan panas, tidak hairanlah pemilik memilih pokok antaranya seperti Bunga Kertas (bougainvillea), bonsai, sepit ketam (Heliconia) dan Bromeliad sebagai penyeri landskap laman.

Patio Kawasan Kegemaran
Laman rumah ada definisi karakter bagi pemilik kediaman. Laman yang indah dikelilingi pepohon hijau, unggas berterbangan disamping percikan air di kolam pastinya mencetus ketenangan buat pemilik sekeluarga. Jadi tidak hairanlah kawasan patio atau anjung di tepi rumah menjadi tempat kegemaran pemilik sekeluarga untuk meluangkan masa santai bersama.

“Kawasan patio/ anjung tepi rumah merupakan ‘favorite spot’ kami. Kami sekeluarga boleh menikmati suasana teduh sejuk, privasi dan santai untuk membaca dan minum petang,”

“Landskap laman adalah citarasa kepuasan pemilik yang melibatkan aspek visual serta sesuai untuk bersantai bersama keluarga dan rakan serta dijadikan tempat menarik untuk OOTD,” ujar Shahrul.

Bercerita mengenai perancangan masa hadapan untuk konsep atau renovasi taman landskap rumah ini, pemilik secara ringkas merancang untuk membina sebuah gazebo bercirikan ‘English Garden’ pada masa akan datang.

IMPIANA doakan semoga segala perancangan untuk menambah baik laman dipermudahkan dan dapat direalisasikan pada masa hadapan. Semoga landskap laman berkonsep ‘English Mix & Match’ ini menjadi inspirasi buat pencinta laman yang lain.

INFO LAMAN:
Nama Pemilik: Shahrul Ikram bin Ismail
Jenis Kediaman: Semi D Dua Tingkat
Usia Taman Landskap: 7 tahun
Keluasan Taman Landskap: 1,000 kps
Spesifikasi Ruang Landskap:
Kolam Ikan, Water Feature, Rumah Burung, Meja Taman/ Edible Garden, Ruang BBQ
Konsep Landskap: English Mix & Match
Anggaran Kos: RM35,000

Mesti Baca: Nekad Pasang Sendiri 'Paver Block' Laman Depan Rumah, Buat Sikit-Sikit Siap Juga!
Baca Lagi Di Sini: Laman Cantik Berseri Pilih Pokok Senang Dijaga, Tak Perlu Siram Selalu
Artikel Menarik:3 Jenis Pokok Berfungsi Sebagai 'Pagar' Privasi Semulajadi, Penyeri Landskap Laman

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply