Cara orang lama ikat pasangan memang paling sederhana, cukup jaga makan minum dan jaga bab solat berjemaah, inshaa Allah bahagia itu akan dirasa.
Namun itu sebahagian, banyak petua orang dulu-dulu bukan menggunakan duit tetapi lebih kepada menjaga adat dalam rumahtangga.
Ini bergantung kepada kebijaksanaan suami isteri dalam mengemudi rumahtangga yang dibina.
Cara Orang Lama Ikat Pasangan, Cukup Bahagia Walau Tak Kaya
Jika dilihat orang dulu-dulu, zaman nenek moyang kita ramai yang mempunyai ikatan perkahwinan yang bahagia dan berkekalan hingga ke hujung usia. Padahal tiada pun zaman suai kenal dan bercinta-cinta, kebanyakannya berkahwin atas pilihan keluarga.
Namun kebanyakan usia perkahwinan mereka mampu menjangkau berpuluh tahun dan hanya ajal yang dapat memisahkan.
Sebenarnya, ini antara amalan dan tip kebahagiaan rumahtangga yang diamalkan oleh orang dulu-dulu agar hubungan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.
1. Tidur Sekatil
Suami isteri kena tidur sekatil tak kiralah apa juga alasan, walaupun tengah bergaduh dan sedang merajuk. Jangan biasakan diri berpisah tempat tidur dengan pasangan, sorang dalam bilik sorang diruang tamu atau seorang atas katil sorang tidur di lantai.
Secara logiknya, tidur keadaan pasangan berhampiran diantara satu sama lain, mampu cetus rasa bahagia dalam diri sekali gus mengeratkan hubungan.
Waktu berdua-duaan di atas katil inilah juga peluang terbaik suami isteri untuk berkomunikasi dan saling meluahkan apa yang terbuku dihati. Kalau tak puas hati tentang sesuatu pun, cakap. Masa inilah nak meluah dari hati ke hati.
2.Gaduh Jangan Lebih 3 hari
Macam dalam lagu Allahyarham P. Ramlee tu “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Selisih faham, bergaduh dan merajuk adat dalam rumahtangga. Tapi perlu ingat bagi suami isteri sebaiknya, selesai urusan ‘pergaduhan’ ini secepatnya, elakkan berpanjangan dan tidak lebih daripada 3 hari.
Perselisihan yang panjang boleh mengakibatkan pelbagai konflik lain yang timbul. Berfikiran bukan-bukan dan syak wasangka pada pasangan.
3.Peluk Cium Pasangan Sebelum Berpisah
Magis kuasa pelukan dan ciuman pada pasangan mampu merembeskan hormon oksitosin yang memberikan rasa tenang dan bahagia malah meningkatkan kepercayaan dalam diri.
Jadikan amalan sebelum berpisah baik ke tempat kerja atau kemana-mana, biasakan salam, peluk dan cium pasangan dahulu. Percaya lah ini mampu ‘mengikat hati’ pasangan walaupun dimana dia berada.
4.Temankan Suami Makan
Temankan suami makan adalah suatu perkara yang simple tapi beri makna yang besar buat pasangan. Jaga perut suami bukan sekadar memasak dan sediakan makanan untuk suami malah turut temankannya ketika makan.
Jika perasan nenek mahupun mak kita dulu, walaupun tak nak makan tetap temankan suami makan, cedukkan nasi, lauk mahupun sekadar teman berborak ketika makan. Ini buat pasangan rindu dengan rasa prihatin dan ambil berat seorang isteri pada suami.
Begitu juga ketika masih sedang ‘bergaduh’ dan ‘perselihan faham’, tetaplah tunaikan tanggungjawab dan kewajipan masing-masing. Pesanan buat isteri, tetaplah sediakan keperluan suami, hidangkan makan minumnya, walaupun dalam hati masih menjeruk rasa. Ini buat suami rasa tetap disayangi dan dihormati, sekaligus dapat melenturkan ‘ego’ suami.
5. Lakukan Amal Ibadat Bersama-sama
Ini yang paling penting, apabila meletakkan agama sebagai tiang dalam rumahtangga. Suami perlu luangkan masa mengimamkan solat di rumah bersama-sama dengan isteri. Lakukan sekurang-kurangnya solat Maghrib atau Subuh secara berjemaah. Sama-sama melakukan ibadah puasa sunat, solat tahajud, mengaji, ta’alim dan sebagainya.
Ini akan menambahkan keberkatan dalam perkahwinan dan keredhaan Allah di dalam kehidupan. Apabila kesemua perkara ini dilakukan, insya-Allah kehidupan kedua-dua suami isteri akan bahagia dan diredhai oleh Allah.
Semoga cara orang lama ini sampai ke lubuk hati pasangan muda, sama-sama amalkan dalam mewujudkan perkahwinan yang sakinah, mawaddah dan rahmat berkekalan hingga ke akhir hayat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.