Isteri Yang Bakal Hidup Bermadu, Ini Tip & Panduan Yang Perlu Dihadam

Isteri yang bakal hidup bermadu, berusahalah untuk berdamai dengan takdir. Usah dilayan perasaan yang remuk redam kerana ‘diduakan’ oleh suami. Memang apabila menyebut tentang poligami semua wanita tidak menginginkannya.

Isteri Yang Bakal Hidup Bermadu

Tiada wanita yang sanggup berkongsi suami. Namun, kalau itu sudah ditakdirkan, kita tidak mampu untuk menolaknya. Bagi suami, mungkin ‘seronok’ tambah-tambah bila bercakap tentang poligami. Itu kelebihan lelaki yang memang tak boleh nak sangkal. Cumanya, kalau dah poligami, kenalah adil dalam memberi tanggungjawab pada isteri-isteri yang ada.

Begitu juga dengan isteri-isteri, kalau sudah ditakdirkan bermadu, terimalah dengan reda, DIA yang merancang sebaik-baiknya. Tak perlu merasakan diri kekurangan atau silap sampai suami cari yang lain tetapi percayalah semua ini ada rahmatNya.

Perkongsian daripada Khazatul Atiqah Abu Seman yang turut mempunyai ‘madu’ ini boleh dijadikan panduan terutamanya buat isteri-isteri yang bakal bermadu.

Ini Tip & Panduan Yang Perlu Dihadam

LIMA TIP UNTUK BAKAL BERMADU/BERPOLIGAMI 

Berikut dikongsikan lima ringkas untuk yang bakal berpoligami. Tip ini untuk para isteri, tidak kiralah isteri nombor berapa mahupun bakal madu. Buat suami yang berhajat, buatlah dengan cara yang baik dan bantu isteri kalian juga ya. Tip ini diharap mampu memberi manfaat kepada isteri di luar sana. Bukan untuk sarankan suami berpoligami ye, tapi sekadar tip untuk bakal madu.

1. Cari ilmu yang betul

Poligami ada ilmunya. Kena fahami dan tak boleh sembarangan. Bukan seperti yang selalu kita nampak dalam drama sinetron. Memang banyak yang gagal, namun tak kurang banyak juga yang berjaya. Carilah pengamalnya yang berjaya mengamalkan dan tuntut ilmu dari mereka. Bukan ilmu yang pelik dan guna-guna, bukan juga untuk suka-suka. Besar padahnya jika tak betul caranya. Poligami yang baik adalah sepertimana yang Nabi ajar.

2. Berkawan dengan orang yang positif dan bukan anti poligami

Kebanyakan yang ini orang buat. Jika rasa tak kuat, kena kurang bergaul dengan orang yang anti. Bagi yang nak poligami tu, kita. Maka, kita jaga lingkungan kita untuk membantu diri kita lebih positif. Biasanya di peringkat awal, ujian perasaan jadi haru bila kita dengar pandangan yang negatif dari golongan sebegini. Lagi bila tersembang masalah, makin negatif jadinya.

3. Elakkan layan perasaan

Perasaan kalau dilayan makin menjadi. Pulak tu, tengok cerita romantik dan sebagainya, kita letakkan diri kita dalam cerita tu. Sedangkan dalam Islam, romantik adalah cinta sampai Syurga. Walau monogami, nanti kita juga berMadu dengan bidadari di sana. Maka, bantu diri dengan jaga perasaan dan jangan berperasaan yang bukan-bukan. Bila mana Suami tengah baik, malah cuba menjadi lebih baik dan bertanggungjawab, jangan hambur dan tuduh yang bukan-bukan pada suami. Perasaan perlu dipandu. Rujuk dan tanya, betul ke perasaan demikian dan demikian jika perlu. Kalau sekadar kita sorang berperasaan, jangan diikut sangat. Nanti kelaut jadinya.

4. Elak periksa telefon suami

Ini sangat crucial. Kata orang, jangan cari penyakit dan cari punca bergaduh. Kena belajar letak boundary. Tak kira pada isteri mana-mana isteri pun. Ia baik buat isteri terutamanya yang mudah beremosi dan berperasaan. Letakkan hormat pada barang suami, sekalipun isteri yang dah bertahun, apatah lagi isteri baru akad nikah. Buang prasangka bukan-bukan kerana suami berhubung dengan yang halal dan yang berhak. Bukanlah kepada yang bukan muhrim. Ia sebahagian dari tanggungjawab Suami untuk berhubung dengan yang berada di bawah tanggungannya.

5. Jangan saja meninggalkan kesan pada suami dengan sengaja

Ini untuk yang dah berkahwin. Bila mana suami mendatangi mana-mana isteri, kemudian sengaja meninggalkan Love Bite pada uami dan kemudiannya ditonton pada isteri lain.

Tips 4 dan 5 adalah tip yang saya dapat dari seorang sahabat sebulan sebelum saya berjumpa calon dan menginjak alam poligami.

5 tip ini adalah teknikal sahaja sebenarnya. Atau bahasa lainnya, fancy tip. Namun yang sebenarnya, poligami mengajar kita untuk bergantung lebih pada Allah. Dari poligami kita belajar kenal diri dan kenal Pencipta kita. Kalau dulu sandaran hati adalah suami, bila berpoligami, kita belajar tawakal yang lebih tinggi dari itu, namun tetap tidak menidakkan kedudukan suami selagi mana dalam syariat. Belajar taat pada suami walau kita tidak setuju pada beberapa perkara.

Maka ada tambahan LIMA tip Ektra ‘Special’ lagi iaitu:

1. Belajar bangun malam. Ia ubat buat hati. Keajaibannya sukar untuk digambarkan.

2. Belajar merintih dan mengadu pada Allah, bukan pada sembarangan orang. Nak menangis, masa itu jugalah.

3. Belajar perbaiki solat, perhalusi cara berdoa. Nak Allah bantu memang tiada cara lain melainkan kita betulkan solat kita. Ia adalah talian hayat utama kita.

4. Tiba-tiba timbul rasa sunyi dan keseorangan, kata pada diri, nanti aku mati juga seorang diri. Tetaplah suami juga tak masuk kubur sekali. Kalau sebelum ni suami boleh outstation atas dasar kerja duniawi, kenapa tidak atas sebab tanggungjawab yang membawa kepada akhirat, kita gundah gulana pula.

Perbanyakkanlah selawat dan zikir. Isi masa dengan perkara berfaedah. Kalau sebelum ini teringin nak ikut kelas mengaji, atau nak buat kerja sukarelawan, inilah masanya. Tengok youtube, banyakkan menonton video yang membangkitkan hati kepada ilmu Agama, perihal akhir zaman dan sebagainya. Perkara yang lagha boleh mematikan Hati. Maka, berhati-hatilah.

5. Sebelum persoal orang lain, persoal diri sendiri dulu. Ia membantu kita untuk kenal diri kita. Aku nak kahwin atas niat apa sebenarnya. Suami itu jambatan menuju akhirat. Suami juga pinjaman dari Allah. Apa jua kesenangan mahupun kesusahan, penghujungnya Allah mahu kita dekat dan ingat padaNya sebelum kita menghadapNya. Allah nak kita sedar, di sebalik semua ini, Allah jualah semuanya.

Maka, ujian dari suami atau madu, susah mahupun senang, jangan lepaskan Allah. Manusia takkan pernah sempurna, semua dari kita adalah hamba. Maka santuni satu persatu dengan penuh sabar dan berhikmah selagi ada umur Allah pinjamkan di dunia.

Perkahwinan itu satu ibadah dan satu bentuk kasih sayang. Ia adalah separuh kesempurnaan dalam beragama. Suburkan rasa kasih, cinta dan sayang. Jangan letakkan perasaan yang tidak sihat di dalamnya. Bagi yang nampak salah dan kurang suami, doakan kesalahannya.

Perkahwinan monogami juga boleh bertolak ansur dan berlebih kurang, maka poligami juga sama. Semoga bermanfaat buat yang memerlukan.

NOTA: Jika ditakdirkan oleh kita untuk hidup bermadu, boleh guna tip ini sebagai panduan.

Sumber: TiQa Ummimerahjambu (Khazatul Atiqah Abu Seman)

Artikel ini diolah daripada artikel asal Mingguan Wanita

Artikel berkaitan: Poligami, Isteri Bukan Takut Atau Ego Tapi Ada Sebabnya ‘Tak Mahu’

Berpoligami Kemudian Jandakan Isteri

‘Isteri Pun Perlu Hadir Ke Mahkamah’ Peruntukan Baru Dalam Permohonan Poligami Suami


Posted

in

, ,

by

Comments

Leave a Reply