Setiap kali menjalani apa-apa pembedahan atau pun wanita selepas bersalin, kita disarankan untuk makan ikan haruan, pati ikan haruan dan minum pati gamat. Semuanya untuk memastikan luka cepat sembuh. Sejauh manakah kebenaran ini harus dipercayai?
‘Kepercayaan’ ini terus-menerus ‘diperturunkan’ daripada satu generasi ke generasi yang lain. Akhirnya ia terus menjadi satu ‘kepercayaan’ yang terus melekat dalam minda masyarakat kita.
Kredit foto: Freepik
Diet Untuk Penyembuhan Luka
Penjagaan pemakanan yang betul selepas pembedahan dan kebakaran adalah penting untuk penyembuhan luka. Penjagaan pemakanan yang tidak betul akan menyebabkan luka lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan melambatkan proses penyembuhan.
Adalah penting untuk mendapatkan fakta yang betul dan terbukti secara saintifik supaya pesakit dapat sembuh dengan cepat tanpa komplikasi teruk.
Berikut adalah beberapa mitos yang dipercayai turun-temurun dan fakta yang perlu diketahui:
Ikan haruan dan ikan linang/belut sangat digalakkan supaya luka cepat sembuh
Kredit foto: Freepik
• Ikan haruan dan ikan linang / belut adalah sumber utama protein sama dengan ikan-ikan lain. Protein adalah sangat penting untuk penyembuhan luka.
• Makan semua jenis sumber protein yang mencukupi setiap hari seperti ikan, ayam, daging dan kekacang supaya luka cepat sembuh.
• Jangan hadkan pada ikan haruan dan ikan linang / belut sahaja.
• Jumlah protein yang mencukupi bukan jenis protein yang menentukan penyembuhan luka.
• Jika anda mengamalkan diet vegetarian, pastikan makan cukup sumber makanan jenis kacang, kekacang seperti tauhu dan tempe serta susu setiap hari.
Telur akan menyebabkan luka menjadi gatal, bernanah dan lambat sembuh
Kredit foto: Freepik
• Telur adalah salah satu sumber protein yang kaya dengan vitamin dan mineral. Tiada kajian yang menunjukkan pengambilan telur akan menyebabkan luka menjadi gatal, bernanah atau lambat sembuh.
• Elakkan telur jika anda alah padanya sahaja.
Elakkan daging ayam betina selepas pembedahan
Kredit foto: Freepik
• Daging ayam adalah salah satu sumber protein dan tiada larangan untuk mengambilnya selepas pembedahan supaya luka cepat sembuh. Jantina ayam tidak mempengaruhi kualiti protein.
Minum pati gamat atau sapu minyak gamat pada luka akan menggalakkan luka cepat sembuh
• Tiada kajian yang menyokong pernyataan ini.
• Kebanyakan pati-pati seperti pati ayam dan pati ikan haruan adalah tinggi kandungan garam dan tidak digalakkan untuk pengambilan seharian. Tidak sesuai untuk pesakit tekanan darah tinggi.
Buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digalakkan selepas pembedahan kerana dikhuatiri elemen sejuk di dalamnya akan melambatkan proses penyembuhan luka
Kredit foto: Freepik
• Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan vitamin dan garam mineral yang membantu mempercepat proses penyembuhan luka.
• Buah limau, jambu batu, anggur dan kiwi yang kaya dengan vitamin C membantu dalam penyerapan zat besi.
• Manakala sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam dan sawi yang kaya dengan vitamin K membantu proses pembekuan darah.
• Tiada unsur ‘sejuk’ di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Dapatkan maklumat yang sahih sebelum mempercayai sesuatu perkara. Dengan cara ini, barulah anda mendapat info dan panduan yang tepat.
Sumber kredit: FKN Pharmacy Kuala Nerang/www.myhealth.gov.my
Top image: Alimi Kayla
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.