Bilateral Tubal Ligation adalah prosedur ikat salur peranakan merupakan satu cara merancang yang kekal – bermaksud wanita tidak akan dapat mengandung lagi.
Ia boleh dilakukan secara :
1) laparotomy – open surgery, bukaan kecil pada abdomen sekitar sejengkal
2) laparoscopy – bukaan sekecil 1cm pada bahagian pusat dan satu lagi di bukaan kecil di bahagian tepi abdomen
Ia boleh dilakukan menggunakan kaedah :
1) klip
2) potong dan ikat
3) bakar (cauter)
4) buang keseluruhan tiub
Keberkesanan kaedah BTL ialah sekitar 99.95%. Jika 1000 wanita menjalani prosedur BTL, dalam 10 tahun kemungkinan 2-5 akan mengandung. Jadi ianya amat berkesan sebagai satu kaedah perancangan keluarga.
Rata – rata doktor mencadangkan kaedah ini kerana ia mudah, murah, cepat, tidak perlu makan ubat setiap hari, tidak mengganggu kitaran haid dan hormon badan serta kekal seumur hidup (perlu ingat selagi belum menopause wanita masih boleh mengandung).
Jangan sangka sudah cecah usia 40 – an sudah tidak boleh mengandung. Saya pernah jumpa wanita mengandung pada usia 47 tahun !
Ramai wanita dan suami yang risau, kerana salah fahaman. Mereka bimbang ia akan menganggu kitaran haid wanita dan hubungan seksual suami isteri. Sebenarnya kedua perkara ini berkaitan dengan ovari yang mengeluarkan hormon wanita dan tiada kaitan lansung dengan salur peranakan. Jadi pasangan tidak perlu berasa bimbang.
BILATERAL TUBAL LIGATION (BTL) – IKAT SALUR PERANAKAN
” Puan, disebabkan ini bakal jadi kali ke – 3 kamu bersalin secara caesar, saya sarankan kita ikat sekali salur peranakan, supaya selepas ini tidak mengandung lagi. Risiko tinggi jika mengandung. ”
” Eh doktor. Tak tahu ke ikat salur peranakan ni HARAM ? Mengubah ciptaan tuhan tau. ”
” Jadi, kalau sengaja campakkan diri ke kebinasaan tak HARAM ke Puan (Quran, Al – Baqarah : 195) ? ”
Ini adalah dialog antara pesakit dan doktor yang mungkin berlaku kerana kesalah fahaman dan kurang pendedahan tentang hukum Islam yang fleksible.
Mengapa doktor mencadangkan ikat salur peranakan bagi ibu yang telah bersalin secara caesar lebih 3 kali ?
Ini kerana secara am nya, mana – mana ibu yang menjalani caesarean section bagi pertama kali sahaja sudah berisiko mendapat komplikasi berikut :
Komplikasi Serius
1) Pembedahan buang rahim disebabkan pendarahan melampau, 7 – 8 bagi setiap 1000
2) Keperluan pembedahan lain selepas caesar, contoh : cuci rahim, pembedahan mengeluarkan darah beku daripada caesar sebelum itu, 5 dalam setiap 1000
3) Keperluan pemerhatian di ICU (bagi kes berisiko tinggi dan terdapat komplikasi), 9 dalam 1000
4) Darah beku, boleh mengakibatkan kematian jika menyumbat salur darah di paru – paru, 4 – 16 dalam 10,000
5) Koyak pundi kencing, 1 dalam 1000
6) Cedera salur kencing, 3 dalam 10,000
7) Kematian, 1 dalam 12,000
8) Rahim pecah semasa kandungan seterusnya, 2 – 7 dalam setiap 1000
9) Risiko bayi mati dalam kandungan, 1 – 4 dalam 1000
10) Uri bawah dan lekat, 4 – 8 dalam 1000
Komplikasi Kerap Berlaku
1) Tidak selesa pada perut dan luka selepas bersalin, 9 dalam 100 Ibu
2) Risiko gagal VBAC untuk kandungan seterusnya, 1 dalam setiap 4 ibu
3) Pendarahan, 5 dalam 1000
4) Jangkitan kuman, 6 dalam 100
5) Cedera / luka pada bayi, 2 dalam 100
Risiko – risiko ini semakin bertambah jika semakin banyak caesar dilakukan pada seorang ibu. Contohnya : risiko rahim pecah untuk ibu yang pernah caesar sekali ialah sekitar 0.5% (1 dalam 200), manakala untuk yang pernah caesar dua kali menjadi 1.36% (4 dalam 300) dan bertambah lagi jika pernah caesar tiga, empat dan seterusnya.
Ia juga boleh menjadi berlipat kali ganda jika ibu itu sendiri mempunyai masalah seperti : obesiti, pernah dibedah sebelum ini, mempunyai masalah kesihatan (kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan lain – lain), atau jika caesar dilakukan secara kecemasan atau semasa bukaan pangkal rahim telah besar 9 – 10cm.
Ada juga yang tidak mahu BTL kerana faktor hukum Islam. Sebenarnya, hukum asal BTL ialah haram (jika tidak bersebab). Tetapi perlu diingati bahawa Islam adalah agama rahmat yang sentiasa fleksibel dan tidak kejam. BTL diharuskan dengan syarat digalakkan oleh doktor disebabkan indikasi masalah perubatan.
Jadi, hukum ini berbeza mengikut profail pesakit. Tidak boleh disapu rata satu hukum untuk semua wanita.
Jika tak mahu juga BTL ? Boleh tiada masalah, dengan syarat ibu perlulah merancang dengan berdisiplin menggunakan kaedah LARC (long acting reversible contraception) – contohnya : IUCD, Implanon. Ibu juga perlu sedar risiko tinggi yang perlu dihadapi jika mengandung sekali lagi.
Nasihat Saya :
1) Jaga kesihatan anda – setiap masalah kesihatan meninggikan risiko semasa mengandung
2) Jangan bersalin secara caesar melainkan jika ada indikasi perubatan – Trend semasa yang merisaukan bila ibu memilih bersalin caesar di pusat bersalin bukan kerajaan kerana bimbang sakit dan mahu cepat
3) Bincanglah dengan doktor anda sepuas – puasnya apa kaedah perancangan yang terbaik untuk diri anda. Perlu ingat, lain orang lain lah kaedahnya. Jangan bimbang, kami doktor sentiasa sedia membantu.
Kredit:Dr Rafiuddin Hamizan
Jom, kongsikan foto comel si manja anda bertemakan Jungle Cuties di SINI! Ada hadiah menarik menanti.(https://www.majalahpama.my/pencarian-bayi-pilihan-pama/)
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.