Haram Kerat Pokok Bunga Tepi Jalan Untuk Buat Benih Tanam Di Rumah Sendiri

Soalan

Apakah hukum mengerat sedikit ranting dan tunas atau mengambil anak yang tumbuh dari pokok bunga yang hidup di tepi jalan raya atau di taman. Tujuannya adalah untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut. Cara mengerat dibuat dengan baik dan tidak merosakkan tumbuhan tersebut.

Jawapan

Hukum asal adalah haram mengambil atau mengerat walaupun sedikit ranting atau tunas pada pokok di tepi jalan atau taman kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya.

Perkara ini termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firmannya:

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah.”

(Surah al-Baqarah: 188)

Namun syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil dan memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya sahaja.

Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang yang menguruskannya.

Hal ini juga termasuk tanah milik kerajaan atau kawasan rizab yang telah ditentukan, maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu. Demikianlah adab-adab yang dititik beratkan dalam Islam. Moga kita dapat mempraktikkannya, insya Allah.

Wallahu’aklam.

Sumber: Mufti Pulau Pinang


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply