Ini Waktu Sesuai Latih Anak Tidur, Barulah Tak Meragam Masa Bangun Nanti

Sedang merancang untuk melatih anak tidur sendiri? Tetapi tidak pasti batas usia anak yang sesuai untuk memulakannya? Umumnya, masa yang sesuai untuk setiap anak adalah berbeza. Pun begitu berikut beberapa cadangan yang mungkin boleh dijadikan panduan.

Perlukah melatih anak tidur sendiri?

Tidak dinafikan, ia kedengaran agak pelik apabila wujud keperluan untuk melatih anak tidur sendiri. Mesti ada di antara anda terfikir, bukankah melelapkan mata itu satu kemahiran semula jadi?

Bagi sesetengah individu dewasa, masa untuk tidur dianggap perkara yang mudah. Malahan, untuk mereka yang baharu bergelar ibu bapa, kepenatan menjaga si kecil mungkin membuatkan anda terus tertidur sebaik sahaja berbaring.

Tetapi keadaan itu berbeza bagi bayi kecil. Mereka masih belum mempunyai kemahiran yang sama. Latihan tidur adalah satu proses untuk membantu bayi belajar melelapkan mata dan kekal tidur sepanjang malam.

Kebanyakan bayi dapat mengadaptasi kemahiran ini dengan mudah dan cepat. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah anak yang berdepan kesukaran untuk tidur atau kembali melelapkan mata selepas terjaga.

Latihan tidur: Fahami batas usia anak yang sesuai

Adakah anda tahu bilakah masa yang sesuai untuk melatih anak tidur sendiri?

Pakar mengesyorkan waktu yang sesuai untuk memulakan latihan tidur ketika bayi berusia 4 hingga 6 bulan. Di bawah ada penjelasan lebih lanjut mengenai kesesuaian batas usia anak:

# Baru lahir hingga 2.5 bulan

Bayi yang baru lahir tidak dapat membezakan antara malam dan siang kerana mereka tidak menghasilkan cukup melatonin. Mereka juga memerlukan penyusuan pada waktu malam yang kerap. Jadi buat masa ini, ia bukanlah masa sesuai untuk melatih anak tidur sendiri.

# 3 hingga 4 bulan

Menjelang usia 3 hingga 4 bulan, bayi mula membentuk kitaran tidur malam. Mereka mudah bergaul, tidak mengalami kegelisahan perpisahan dan dapat melelapkan mata dengan lebih baik.

Pun begitu, kebanyakan kanak-kanak pada usia ini, masih belum bersedia untuk menenangkan diri sendiri. Jadi wujud sedikit kesukaran untuk melatih si kecil tidur.

# 4.5 hingga 5.5 bulan

Kebanyakan pakar mencadangkan untuk memulakan latihan tidur anak pada sekitar usia ini. Ia disebabkan oleh keadaan bayi yang boleh melelapkan mata sehingga tempoh 6 hingga 8 jam tanpa perlu melakukan penyusuan pada waktu malam.

Seperkara harus diingatkan pada batas usia anak ini, mereka sudah mula belajar bahawa tangisan akan mendapat tindak balas segera daripada anda. Jadi bersedialah untuk mendengar rengekan si manja nanti apabila anda melangkah meninggalkan mereka!

# 6 hingga 8 bulan

Pada usia ini, bayi dikatakan lebih berminat untuk mencari mainan daripada memerhatikan anda. Jadi sekiranya anda sedang merancang untuk melatih anak tidur sendiri, inilah masa yang sesuai untuk melakukannya!

Bayi juga dikatakan kurang cerewet sekiranya terjaga pada waktu malam.

# 9 hingga 11 bulan

Bayi mula memahami bahawa ibu bapa masih ada walaupun setelah meninggalkan mereka. Jadi si kecil akan menggunakan senjata terhebat mereka – tangisan – untuk memanggil anda kembali.

Pada tempoh ini, latihan tidur mungkin boleh mewujudkan rasa penat dan kecewa pada diri anda. Pun begitu, tiada apa yang boleh menghalang anda jika mahu terus mencuba latihan tidur ini.

# 12 hingga 16 bulan (1 tahun 4 bulan)

Dalam batas usia anak ini, mereka mula menumpukan perhatian untuk mengembangkan kemahiran pertuturan dan fizikal, jadi anak akan ‘kurang melekat’ dengan ibu ayah.

Jadi gunakanlah tempoh ini untuk melakukan latihan tidur.

# 17 hingga 21 bulan (1 tahun 5 bulan hingga 1 tahun 9 bulan)

Agak pelik tetapi pada usia ini anak sedang dalam proses untuk berdikari dan mereka mungkin akan lebih memerlukan sokongan anda. Jadi hentikan dulu rancangan untuk melatih anak tidur sendiri.

Melatih anak tidur sendiri: 5 petua untuk berjaya

Anda sudah tahu batas usia anak yang sesuai untuk memulakan latihan tidur tetapi ada rasa khuatir jika tidak berjaya? Usah bimbang, apa kata cuba 5 petua berikut:

1. Wujudkan rutin waktu tidur

Setiap malam, lakukan rutin tidur yang boleh menenangkan fikiran dan mempersiapkan tubuh mereka untuk melelapkan mata. Ia melibatkan teknik menenangkan seperti mandi, membaca buku atau pun menyanyikan lagu dengan irama mengasyikkan seperti ‘Twinkle-twinkle Little Star’.

Pastikan rutin ini dilakukan secara konsisten untuk memberitahu bayi bahawa ia adalah masa tidur. Teknik ini juga dapat mengembangkan jam dalaman mereka.

2. Tetapkan tarikh efektif untuk melakukannya

Walaupun pada hakikatnya tidak ada masa yang tepat untuk melatih anak tidur sendiri, tetapi elakkan memilih waktu hampir dengan perkara-perkara penting lain dalam kehidupan anak.

Antaranya seperti masa untuk berjumpa pengasuh baharu atau minggu pertama memperkenalkannya dengan mainan gigi (teething toys). Kebanyakan ibu bapa memilih untuk memulakan latihan tidur pada hari Jumaat dan menggunakan kelebihan waktu hujung minggu.

Ada juga yang mengambil cuti daripada tugasan kerja bagi mengelakkan isu mengantuk sewaktu bekerja.

3. Waktu siang untuk bermain

Bercakap dan bermain dengan bayi pada siang hari akan dapat memanjangkan waktu si kecil berjaga.

4. Letakkan bayi di katil tidur ketika masih terjaga

Berapa ramai ibu bapa yang memilih untuk meletakkan si kecil di katil mereka saat sudah melelapkan mata? Tindakan anda itu mungkin akan menyukarkannya untuk kembali tidur apabila terbangun pada waktu malam. Langkah terbaik, apabila si kecil tampak mengantuk tetapi masih lagi berjaga, ia merupakan waktu sesuai untuk meletakkan mereka di katil tidur.

5. Fahami isyarat bayi letih

Perhatikan jika si kecil menguap, menggosok mata atau mula merengek. Ia adalah isyarat mereka sudah letih dan biasanya akan berlaku pada waktu yang sama setiap malam.

Penting untuk meletakkan bayi di tempat tidur ketika mereka mengantuk tetapi tidak terlalu letih.

Ini kerana jika bayi terlalu penat, mereka lebih sukar untuk tidur dan cenderung untuk bangun lebih awal.

Berjumpa doktor

Sekiranya anda memerlukan lebih panduan dan bimbingan untuk melatih anak tidur sendiri, dapatkan rundingan daripada pakar pediatrik. Jika anda mencuba kaedah latihan tidur secara konsisten tetapi tidak berjaya, berjumpalah doktor untuk mengetahui cara penyelesaian terbaik.

Kredit: Hello Doktor

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply