Elakkan Makanan & Minuman Ini Ketika Nak Bersalin, Bahaya Untuk Kandungan

Melahirkan anak adalah proses yang memerlukan tenaga. Jadi adalah penting untuk bakal ibu makan dan minum sebelum bersalin. Apa pilihan makanan yang sesuai ya?

Makan & minum sebelum melahirkan anak

Pengambilan makanan dan minuman sebelum bersalin, terutamanya pada fasa awal kelahiran penting untuk membekalkan anda dengan tenaga yang diperlukan dan menjadikan diri lebih selesa dalam menghadapi kontraksi.

Proses kelahiran bukanlah perkara yang mudah dan tidak dinafikan anda mungkin akan berasa gementar.

Namun tindakan anda memilih untuk tidak makan dan minum boleh menyebabkan diri berdepan tekanan, mengalami rasa mual, muntah dan sakit kepala.

Memastikan diri mendapat bekalan makanan berkhasiat dan terhidrat bantu mengelakkan anda daripada mengalami keletihan. Ini kerana keletihan tersebut boleh mengakibatkan proses bersalin menjadi lama dan kontraksi yang kurang efektif.

Jika anda akan melalui kelahiran caesarean, bertanyalah kepada doktor mengenai panduan pengambilan makanan dan minuman yang sesuai dengan prosedur tersebut.

Pilihan makanan sebelum bersalin (Fasa pertama)

Fasa pertama ini adalah tempoh paling baik untuk mengumpul bekalan tenaga yang akan digunakan nanti.

Sama seperti penjagaan sepanjang tempoh kehamilan, anda disarankan untuk mengekalkan pengambilan makanan seimbang yang dapat memberikan tubuh tenaga serta nutrien diperlukan semasa melahirkan anak.

Anda juga dinasihatkan untuk makan dan minum dalam kuantiti kecil tetapi kerap bagi memudahkan proses pencernaan.

Pilih makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks, sedikit protein dan lemak sihat untuk menstabilkan gula dalam darah dan tenaga, seperti:

  • Spageti bolognese
  • Roti gandum dengan sapuan mentega kacang
  • Buah-buah kering dan kacang
  • Bar granola
  • Buah anggur atau beri sejuk beku

Makanan untuk dimakan (Fasa kedua)

Apabila memasuki fasa kedua dalam peringkat melahirkan anak, selera anda pastinya akan semakin berkurangan, lebih-lebih lagi jika kontraksi lebih kuat dari masa ke masa.

Sekiranya boleh, kunyahlah sedikit makanan ringan atau yang mudah dicerna bagi mengekalkan kekuatan.

Sediakan beberapa pilihan makanan seperti buah-buahan atau bar granola dengan campuran buahan kering.

Elakkan makanan ini sebelum bersalin

Secara mudahnya walaupun makanan yang dipilih haruslah berkhasiat dan seimbang, ia mestilah mengikut selera anda.

Pun begitu, ada juga makanan yang harus dielakkan pengambilannya, seperti:

Buah atau jus oren. Keasidan buah ini boleh menyebabkan anda sakit perut atau mengalami sensasi terbakar jika muntah selepas memakannya
Gabungan protein dan lemak. Ini melambatkan kadar otot menggunakan tenaga yang dibekalkan daripada gula. Elakkan makanan seperti stik, kentang goreng atau burger
Makanan tinggi gula dan lemak. Pengambilan makanan jenis ini boleh memberikan anda tenaga pantas tetapi menyebabkan keletihan dan mual apabila tenaga meningkat.
Hindari makanan seperti donut, pastri atau kek
Minuman sesuai diambil sebelum bersalin

Seperti melakukan aktiviti fizikal yang kuat, anda juga perlu kekal terhidrat semasa melahirkan anak.

Anda mungkin tidak mempunyai selera makan, tetapi pastikan terus minum air antara tempoh kontraksi.

Fasa pertama: Air putih membantu anda kekal hidrat, air rebusan (bone broth) kaya nutrien dan membantu mengatasi loya. Manakala air kelapa mengandungi magnesium, kalium dan elektrolit – pilihan terbaik untuk mengekalkan hidrasi
Fasa aktif: Air minuman campuran limau nipis membekalkan elektrolit yang diperlukan bagi pengecutan otot rahim
sebelum bersalin

Amalan minum air selusuh sebelum bersalin

Bagi ibu hamil berbangsa Melayu, pastinya pernah mendengar saranan mengenai pengambilan air selusuh. Namun, adakah ia amalan yang sesuai untuk diamalkan?

Bagi anda yang pertama kali mendengar mengenai air selusuh, ia merupakan air yang dipercayai dapat memudahkan dan mempercepatkan proses bersalin selepas ibu mula mengalami tanda-tanda nak bersalin atau kontraksi.

Air ini bukan sahaja diminum tetapi juga disapu pada perut.

Secara amnya, air selusuh ini adalah minuman yang telah dibacakan ayat suci Al-Quran dan kemudiannya diberikan kepada ibu hamil dengan bertujuan untuk memudahkan proses bersalin.

Selain itu, ada juga amalan penyediaan air selusuh dengan merendam akar Fatimah (rose of jericho) – biasanya diperolehi dari Mekah, air zam-zam, minyak kelapa dara serta minyak zaitun.

Tidak digalakkan

Buat masa ini masih tiada kajian atau penyelidikan yang dapat membuktikan bahawa air selusuh ini membantu mempermudahkan proses melahirkan anak.

Proses penyediaan air seluruh yang menggunakan bahan seperti akar Fatima atau akar kayu serta herba lain menyebabkan terhasilnya campuran bahan kimia aktif.

Akar Fatimah (Rose of Jericho)

Campuran tersebut menyebabkan hormon oksitosin – hormon yang berkaitan dengan kontraksi rahim – muncul, dan membuatkan proses bersalin itu lebih cepat.

Walau bagaimanapun, pengambilan air ini tidak digalakkan kerana meningkatkan risiko kepada ibu hamil seperti:

Penggunaan air ini sebenarnya seperti memaksa pintu rahim untuk terbuka sedangkan ia belum tiba waktunya untuk melahirkan anak

Meminum air selusuh boleh sebabkan kesakitan kontraksi yang teramat sangat, sedangkan pintu rahim masih belum terbuka

Tingkatkan risiko komplikasi, bukan sahaja kepada ibu yang mengandung tetapi juga kepada bayi dalam kandungan

Jika anda tidak pasti mengenai makanan atau minuman yang sesuai diambil sebelum bersalin, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

Kredit: Hello Doktor

 

Pelajari ilmu penyusuan untuk menjayakan bf journey mama bersama pakar-pakar bertauliah di webinar Mama Nak Susukan Anak. Daftar sini : https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-nak-susukan-anak/

 

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

 

 


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply