Kaki Bengkak Ketika Hamil, Mama Boleh Cuba Cara Ini Untuk Legakan Kesakitan

Kaki Bengkak Ketika Hamil, Boleh Cuba Cara Ini Untuk Legakan Kesakitan

Wanita hamil sering mengalami pelbagai masalah berkaitan dengan kesihatan tubuh badan dek kerana perubahan hormon. Antara masalah yang sering dihadapi oleh wanita hamil adalah alahan kepada makanan dan juga bengkak kaki.

Bengkak kaki memang dihadapi oleh kebanyakan wanita mengandung. Keadaan ini berlaku kesan daripada  berat badan bertambah, berdiri terlalu lama dan sebagainya. Ia adalah perkara normal jika wanita hamil diserang bengkak kaki.

Kajian menunjukkan, kehamilan boleh menyebabkan kaki ibu menjadi semakin panjang, lebih-lebih lagi selepas kehamilan pertama. Semasa hamil, badan kita akan menghasilkan sejenis hormon yang dikenali sebagai relaxin. Hormon ini akan membantu otot, tendon, ligamen dan sendi untuk lebih relaks dan memudahkan proses kehamilan.

Kredit foto: Pexels

Pada masa yang sama, ligamen dan tendon pada kawasan kaki juga akan menjadi semakin longgar. Dengan kombinasi berat badan yang bertambah dan hormon kehamilan, tapak kaki bukan sahaja akan semakin melebar, ia juga akan meleper dan memanjang.

Memang agak menyakitkan namun mama perlu sabar melalui ‘ujian’ ini sepanjang tempoh kehamilan. Jangan terlalu stres. Hadapi dengan tenang dan lakukan rawatan seperti di bawah agar bengkak kaki anda boleh surut.

10 CARA RAWAT BENGKAK KAKI KETIKA HAMIL

1. ELAKKAN BERDIRI STATIK TERLALU LAMA

Semasa melakukan aktiviti harian seperti memasak, menjemur pakaian ataupun bekerja di ofis, jika boleh elakkan berdiri statik dengan kadar yang lama. Aktifkan pergerakan bagi mengelak pengumpulan darah pada kaki untuk melancarkan peredaran darah.

2. ANGKAT KAKI SETINGGI MUNGKIN DARI LANTAI KETIKA DUDUK 

Tujuannya juga untuk membantu kelancaran peredaran darah dan mengelakkan kebas kaki. Apabila duduk di kerusi semasa bekerja, letakkan kaki di atas bangku rendah, kotak kecil atau susunan buku di bawah meja. Elakkan tabiat menyilangkan kaki ketika duduk, boleh menyebabkan kekejangan.

3. LAKUKAN AKTIVITI REGANGAN RINGAN KETIKA DUDUK LAMA

Jika melakukan kerja yang memerlukan posisi duduk yang agak lama, rajinkan diri melakukan aktivi regangan pada kaki. Caranya mudah:

*Julurkan kaki ke arah luar dan angkatkan sedikit sebelah tumit kaki dari lantai
*Regangkan bahagian hujung kaki (jari) ke arah atas dalam kiraan 8
*Regangkan bahagian hujung kaki (jari) ke arah bawah dalam kiraan 8
*Pusingkan pergelangan kaki ikut arah jam dalam kiraan 8 pusingan
*Pusingkan pergelangan kaki lawan arah jam dalam kiraan 8 pusingan
*Ulangi cara yang sama untuk sebelah kaki yang lain.

Senaman regangan kaki mampu meningkatkan suhu otot betis dan meningkatkan fleksibiliti sendi serta memperbaiki aliran darah. oleh itu, lakukan dengan penuh keselesaan bukan untuk kesakitan.

Kredit foto: Pexels

4. POSISI BARING MENGIRING

Ibu mengandung perlu mengamalkan posisi tidur terbaik bagi wanita hamil iaitu berbaring secara mengiring.

Selaras dengan ajaran baginda Rasulullah S.A.W, kita dianjurkan supaya berbaring di atas lambung kanan (mengiring ke kanan) secara umumnya ketika berbaring untuk tidur kerana ia mengandungi hikmah yang tersendiri.

Bagi ibu mengandung, elakkan berbaring secara terlentang dan off-course tidak meniarap (kalau la boleh) lebih-lebih lagi apabila fasa kehamilan masuk ke trimester ke-3.

5. PAKAI KASUT YANG SESUAI

Ketika melakukan aktiviti luar, ibu mengandung atau hamil perlu bijak memilih kasut yang bersesuaian. Elakan memakai kasut bertumit tinggi atau yang terlalu ketat kerana boleh mengganggu kestabilan dan menambahkan tekanan pada kaki.

6. PILIH SARUNG KAKI YANG LEMBUT 

Elakkan memakai stokin yang mempunyai gelang getah yang ketat. Selain boleh menambah kesan bengkak kaki akibat gangguan aliran darah sekitar pergelangan kaki, ia juga boleh menyebabkan kekejangan.

Pilih stokin yang lembut dan bersesuaian dengan ibu hamil. Selain baik untuk bengkak kaki, ia juga baik untuk mengurangkan kesejukan ketika waktu malam, lantai simen atau waktu musim hujan.

7. BANYAKKAN MINUM AIR KOSONG

Air kosong banyak membantu proses dehidrasi tubuh. Menjadikan tubuh segar disamping membantu proses perkumuhan dalam badan. Jangan khuatir, ia tidak menyebabkan pertambahan berat tubuh badan ibu mengandung.

8. AKTIF DENGAN SENAMAN

Ibu mengandung tidak boleh bergerak aktif adalah mitos!. Di awal proses kehamilan ibu mengandung digalakkan melakukan senaman ringan seperti berjalan, berbasikal, berenang atau aerobik. Aktiviti air seperti merendam kaki atau berendam separas bahu baik untuk melegakan bengkak kaki bagi ibu mengandung.

Kredit foto: Pexels

9. AMALKAN PEMAKANAN SIHAT 

Tidak dinafikan seiring dengan keperluan tubuh ibu dan bayi dalam kandungan, ibu mengandung memerlukan pemakanan yang sihat. Kurangkan atau jauhi makanan segera dalam tin atau yang tersedia proses lain.

Kebanyakkannya mengandungi lebih kalori dan lemak berbanding nutrisi vitamin yang baik untuk ibu dan bayi. Malah boleh menyebabkan pertambahan berat badan (obesiti) dan kehilangan air dalam badan.

Gantikan makanan segera dengan pengambilan snek sihat untuk ibu mangandung seperti bijirin, yogurt, minuman berjus,salad dan buah-buahan. Pengambilan makanan tambahan berasaskan suplemen juga amat baik bagi menyokong keperluan nutrisi sepanjang kehamilan.

Pengambilan suplemen vitamin C, vitamin B Complex, kalsium dan zat besi sangat baik untuk membantu kesihatan ibu dan tumbesaran bayi yang sihat. Jangan abaikan nutrisi sepanjang kehamilan. Pastikan yang semulajadi dan bukan datang dari kejuruteraan sintetik.

10.MINTA SUAMI URUTKAN KAKI

Alangkah bahagianya jika suami dapat mengurut kaki anda yang bengkak. Selain mengurut badan, kaki bengkak pun boleh juga. Gunakan minyak urut yang sesuai bagi melegakan ketegangan urat akibat kaki bengkak. Urutan juga boleh membantu keluarkan angin dalam badan wanita hamil, yang ternyata banyak angin dalam badan.

Kredit foto: Pexels

Moga dengan tip ini dapat membantu mama-mama yang sering mengalami masalah kaki bengkak sepanjang proses kehamilan.

Kredit foto (top image): Freepik


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply