“”Saya Tidak Kisah Dengan Cakap Netizen..”-Ibu Ni Lebih Gembira & Bahagia Lepas Tukar Nama Anak!

Dalam pemilihan nama anak-anak diakui ianya bukanlah kerja mudah. Bahkan sejak dalam kandungan hingga lahir, nama yang ingin diberikan kepada anak tersayang belum juga menemui kata putus.

Maklumlah kita mahu buat pilihan  nama yang terbaik, kerana nama itu yang akan menjadi lambang identiti si kecil dan dipanggil dengan nama tersebut sepanjang hayat.

Berkongsi tentang pemilihan nama, seorang ibu ini ada kisahnya yang tersendiri di mana membuat keputusan meskipun telah memberikan nama terbaik untuk anaknya namun perlu mengambil keputusan menukar nama tersebut.

Hal ini telah dikongsikan olehnya di media sosial dan siapa sangka mendapat respon yang pelbagai di kalangan warganet.

“Saya tidak kisah dengan cakap netizen dan komen positif atau negatif semua saya terima dengan hati terbuka. Pada saya menukar nama anak adalah keputusan tepat dan ia adalah hak kami sebagai ibu bapa,” kata Nur Anisa Khalil.

Nur Anisa, 29, adalah ibu kepada tiga anak termasuk seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang mendapat perhatian di TikTok apabila berkongsi pengalaman menukar nama bayinya itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Penjawat awam itu berkata, dia mengambil keputusan menukar nama bayinya, Muhammad Ayden Wafi Abdul Wafi kepada Muhammad Ariq Wafi yang mana permohonan berkenaan diluluskan oleh JPN pada 21 Ogos lalu.

Memetik perkongsiannya di Harian Metro, alasan itu dibuat kerana nama Ayden mempunyai banyak sebutan dan ramai yang tidak menyebut nama anaknya mengikut sebutan dimahukannya, malah ada juga yang salah menulis nama anaknya dengan ejaan berbeza.

“Mungkin orang berpandangan saya agak melebih atau mengada-ngada, anggap ia perkara kecil dan sepatutnya tidak perlu diperbesarkan tetapi sebagai ibu sudah pasti kita mahu orang sebut nama anak dengan betul. Ramai yang sebut namanya Aiden dan Aidan.

“Malah, nama juga doa untuk anak kita jadi saya gembira kalau namanya disebut dengan betul tetapi saya faham saya tak boleh marah orang selain tiada istilah salah atau betul sebab tak tahu sebutan tepat cuma saya ada sebutan sendiri.

“Sebab itu saya ambil keputusan untuk tukar nama Ayden kepada Ariq jadi lebih mudah disebut dan saya juga lebih gembira,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, sebelum permohonan penukaran nama itu dibuat dia sudah mendapat pandangan dan keizinan suami, Abdul Wafi Yusuf, 31, selain turut menghubungi JPN.

“Suami cuma minta kekalkan nama Wafi kerana dua anak perempuan kami juga mempunyai nama itu. Adik ipar menyarankan nama Ariq dan saya juga suka selain ia turut mempunyai maksud yang baik, malah mudah disebut termasuk orang berusia.

“Proses penukaran nama memerlukan persetujuan suami isteri mudah dan kami perlu membuat akuan sumpah dan ia selesai pada hari sama. JPN kemudiannya mengambil sijil kelahiran lama dan beri sijil yang baharu,” katanya.

Menurut Nur Anisa, perkongsiannya di TikTok hanya untuk simpanannya dan ia boleh dijadikan rujukan untuk orang lain yang mahu menukar nama selain rujukan sendiri, namun penting untuk mendapatkan maklumat daripada JPN dulu.

“Selain komen negatif banyak juga komen positif yang faham apa saya lakukan selain ada juga berkongsi cerita sama serta baru tahu rupanya boleh tukar nama, malah ada juga yang tanya saya tukar nama Ayden kerana maksud namanya.

“Saya tegaskan maksud nama Ayden adalah baik iaitu cerdas dan tiada masalah dengan maksud namanya cuma bila sudah banyak sangat sebutan berbeza saya pilih untuk tukar saja

“Manakala nama Ariq pula membawa maksud baik budi, mulia asalnya dan bijaksana. Sekarang semua boleh sebut nama anak dengan betul dengan satu sebutan saja dan saya harap Ariq akan membesar dengan baik seperti namanya,” katanya.

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply