Sesekali singgah Wang Kelian di Perlis, ini sudah cukup memuaskan hati. Dapat tenang-tenang layan pemandangan cantik dari atas.
Biasanya pencinta alam semula jadi, akan singgah Wang Kelian View Point untuk melihat sendiri keindahan negeri Perlis.
Singgah Wang Kelian Di Perlis
Di Wang Kelian View Point, anda akan dapat menyaksikan pemandangan dan lanskap indah di ketinggian 303 meter dari aras laut.
Dapat Lihat Awan Karpet
Tetapi tarikan paling popular yang ramai orang idamkan di sini adalah untuk menyaksikan sendiri panorama menakjubkan dan jarang-jarang sekali dilihat iaitu ‘Fenomena Awan Karpet’ atau kejadian gumpalan awan yang terbentang luas bak permaidani melewati dua puncak Bukit Chabang.
Menurut penduduk tempatan, tips untuk melihat ‘Awan Karpet’ adalah malam sebelum anda naik mestilah cuaca mendung dan hujan, barulah awal pagi esoknya dapat enjoy fenomena luar biasa itu.
Gumpalan corak awan terbentang dapat dilihat sehingga Empangan Timah Tasoh yang terletak 16.2 kilometer dari kawasan itu.
Disebabkan Perlis tiada banyak bangunan pencakar langit dan amat kurang pencemaran udara, jadi awan karpet ini mudah terbentuk.
Harga Bayaran Masuk
Terbaharu Wang Kelian View Point ini mengenakan caj kepada pengunjung dewasa sebanyak RM2 dan kanak-kanak seringgit yang korang kena bayar di pintu gerbang berpalang sebelum mendaki ke puncaknya.
Walau ada sedikit trek mendaki tetapi korang jangan risau kerana laluannya adalah jalan bertar dan tidaklah sesukar mana, asalkan memakai kasut yang bersesuaian untuk lebih keselesaan.
Selepas mendaki sekitar 5 hingga 10 minit mengikut kelajuan masing-masing, mesti penat korang akan terus hilang bila melihat pemandangan indah yang boleh nampak satu Perlis.
Walaupun cuaca masa pergi nanti panas terik, tapi jangan risau angin yang bertiup di puncak Wang Kelian itu pasti dapat menyejukkan badan.
Banyak Port Bergambar
Di sana ada banyak port untuk bergambar cantik seperti papan tanda besar, pelantar tertera tulisan ‘Wang Kelian’ di lantainya serta buaian dengan panorama mempesonakan.
Owh ya, kalau rasa lapar, di puncak Wang Kelian View Point itu tersedia gerai-gerai makanan, minuman dan kopi pun ada untuk dibeli sambil menjamu selera dengan view mahal kat sana.
Jadi, kalau betul nak tenangan emosi yang stress, boleh lah singgah Wang Kelian di Perlis ini. Confirm, puas hati!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.