Pengaruh Media Sosial, Adakah ‘Influencer’ Ada Tanggungjawab Terhadap Masyarakat?

Cuba tanya golongan remaja yang kini berada di bangku persekolahan pada masa kini tentang apakah cita-cita mereka apabila meningkat dewasa. Jangan terkejut jika ada yang memberi jawapan ingin menjadi seorang influencer atau pempengaruh.

Pendedahan dengan dunia digital atau lebih tepat laman media sosial pada usia yang muda menjadikan kewujudan seseorang influencer itu mempunyai impak yang semakin hari semakin besar dalam masyarakat.

Dalam era dunia digital masa kini, salah satu perkara yang tidak dapat kita nafikan ialah pengaruh dari laman media sosial.

Image by Freepik

Influencer dengan jumlah pengikut yang besar sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam membentuk pandangan dan tingkah laku masyarakat. Jadi tidak hairanlah mengapa jenama-jenama produk berpusu-pusu ‘memburu’ mereka kerana inginkan pendedahan di platform besar boleh mereka tawarkan.

Namun, timbul persoalan, adakah influencer mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat?

IMPAK INFLUENCER

Pertama seseorang influencer harus sedar tentang impak mereka terhadap masyarakat. Apabila dianggap sebagai influencer mereka tidak dapat lari dari menjadi tumpuan ramai.

Mereka bukan sekadar individu yang berkongsi kandungan untuk hiburan tetapi dianggap sebagai role model kepada ramai terutamanya generasi muda. Apa yang mereka kongsi boleh mempengaruhi nilai, norma dan keputusan orang lain.

Oleh itu, mereka harus bertindak dengan penuh tanggungjawab, memastikan bahawa kandungan yang dikongsi adalah bermanfaat, positif dan tidak mengandungi unsur-unsur negatif.

Selain itu menjadi seseorang yang ada sifat transparansi dan kejujuran adalah kunci. Percayalah mereka yang hidup dalam pembohongan tidak akan bertahan lama. Lihat sahaja sejarah yang tidak pernah membohongi kita.

Dalam dunia yang penuh dengan iklan dan pemasaran, penting bagi seseorang influencer untuk jujur tentang apa yang mereka promosikan. Mereka harus jelas membezakan antara kandungan yang dibayar dan pendapat peribadi mereka. Ini tidak hanya memupuk kepercayaan dengan pengikut tetapi juga memelihara integriti dalam industri.

PENGARUH BESAR

Dari segi mempromosikan perkara-perkara positif juga mereka boleh menjadi ‘pemain utama’. Influencer boleh bertindak sebagai agen perubahan positif.

Dengan menggunakan platform yang luas mereka berada dalam kedudukan unik untuk mengadvokasi isu-isu penting seperti kesihatan mental, kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial seperti mana yang sedang berlaku di Palestin sekarang.

Mereka boleh menggunakan pengaruh mereka untuk mendorong perubahan positif, memberikan kesedaran, dan mendorong tindakan dalam kalangan pengikut mereka.

Seterusnya aspek kesihatan mental diri sendiri juga sangat penting. Tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna dan keperluan untuk terus relevan boleh mempengaruhi kesihatan mental influencer.

Image by DCStudio on Freepik

Mereka harus mengutamakan kesejahteraan diri dan tidak ragu untuk mengambil rehat atau mencari bantuan profesional apabila perlu.

Akhirnya, influencer harus ingat bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat. Mereka harus menggunakan pengaruh mereka untuk membina masyarakat yang lebih baik, bukan hanya untuk keuntungan peribadi. Dengan kekuatan media sosial, mereka mempunyai peluang unik untuk membuat perbezaan yang positif.

Jadi mahu atau tidak, influencer mempunyai tanggungjawab besar terhadap masyarakat. Mereka harus menggunakan pengaruh mereka dengan bijak, menjaga integriti, dan menjadi suara untuk perubahan positif.

Dengan cara ini, mereka bukan hanya membina jenama yang berjaya, tetapi juga membantu membentuk masyarakat yang lebih baik dan lebih sihat.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah!


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply