‘Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri’, petikan lagi Tan Sri P Ramlee ini begitu menggambarkan kehidupan sebenar suami isteri.
Perbalahan kecil, perselisihan faham adalah lumrah kehidupan berumah tangga. Walau bagaimanapun, hal yang dianggap kecil jika diperbesarkan boleh membawa kepada masalah besar dan seterusnya mencetuskan bibit-bibit pergaduhan sekaligus perceraian.
Bagi mengelakkan pertengkaran, tip yang disediakan ini mungkin dapat membantu anda dalam menangani pertengkaran yang kerap berulang.
1. Jangan bangkitkan lagi kemarahan pasangan anda
Sekiranya perselisihan faham atau perbualan anda dan pasangan sudah menunjukkan ke arah pertengkaran, berhenti seketika dan bertindak menjadi pendengar. Elakkan daripada menambahkan kemarahan pasangan anda dengan ayat-ayat yang berunsurkan emosi atau negatif. Kadang kala perkataan yang diutarakan ketika pergaduhan berlaku adalah di luar kawalan fikiran.
2.Bertolak ansur dalam pertengkaran
Beri ruang kepada pasangan untuk menyuarakan luahan atau pendapatnya agar anda dapat mengetahui keadaan sebenar dengan lebih jelas lagi. Sabda Rasulullah s.a.w, “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.” Justeru itu, beralah tidak bermaksud bahawa anda sebaliknya, anda menjadi penyelamat kepada perhubungan anda.
3.Banyakkan bersabar
Sudah pasti ketika pertengkaran berlaku, tahap kesabaran anda diuji dalam menangani masalah yang timbul. Berkorban demi kebaikan adalah wajar dilakukan demi kesejahteraan rumah tangga bersama. Ketika anda dan pasangan dalam keadaan tegang, cuba anda beristighfar supaya hati yang membara boleh sejukkan kemarahan tersebut. Sesungguhnya, syaitan sentiasa menjadi orang tengah yang berusaha untuk menjatuhkan masjid yang terbina bagi menyesatkan lagi umat Islam.
4.Panggilan manja
Kadang kala pertengkaran yang berlaku boleh menjadi tenang andai anda menggunakan panggilan manja kepada pasangan anda. Jika sebelum ini anda membiasakan panggilan ‘sayang’ ‘manja’ atau ‘baby’, kekalkan panggilan tersebut ketika pertengkaran.
Hindari sikap yang mementingkan diri sendiri sehingga tergamak untuk membahasakan diri dengan ‘aku’ atau ‘kau’ kepada pasangan anda. ini hanya meningkatkan lagi kemarahan pasangan kepada anda.
5.Jangan melibatkan orang ketiga
Kadang kala ada sesetengah pasangan menggunakan khidmat orang ketiga dalam membantu menyelesaikan masalah rumah tangga mereka. Namun, perlu diinginkan bahawa segala rahsia rumah tangga haruslah terkunci rapi dalam ‘peti besi’ kerana isi hati manusia adalah berbeza-beza.
Mungkin pihak ketiga tersebut hanya ingin mengambil kesempatan terhadap pergolakan yang berlaku dan penyelesaian yang ingin dicari hanya membawa kemudaratan kepada hubungan suami isteri.
6.Selesaikan masalah sebelum meninggalkan pasangan anda
Jangan sesekali meninggalkan pasangan anda tanpa sebarang kata putus atau penyelesaian kerana ia akan membuatkan pasangan anda keliru akan situasi yang berlaku. Lazimnya, ada yang berpendapat bahawa meninggalkan pasangan sendirian adalah jalan penyelesaian daripada membiarkan ia berterusan.
Ini akan menyebabkan masalah anda tidak akan tamat dan berkemungkinan ia akan menjadi isu pada masa akan datang. Cuba bertindak secara profesional dan cari jalan penyelesaian bersama kerana kehidupan berumah tangga adalah tanggungjawab anda dan pasangan untuk mengemudikannya.
7.Mohon kemaafan dan perdamaian
Setelah kedua-dua belah pihak kembali bertenang, ambillah langkah segera dengan memohon kemaafan daripada pasangan anda. Peluk pasangan anda dan ungkapkan kemaafan dengan keikhlasan agar pasangan anda dapat melihatkan kesungguhan anda untuk berdamai.
Berjanjilah kepada pasangan anda bahawa kejadian tersebut tidak akan berulang lagi dan anda akan berusaha untuk mempertahankan hubungan tersebut sehingga ke akhir hayat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.