Pasangan pelakon, Beego dan Linda tidak mensia-siakan peluang yang ada, selepas berjaya menyelamatkan perkahwinan mereka selepas hampir musnah Mac lalu.
Kata Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 43, persefahaman antara kedua-dua pihak adalah punca utama hubungan mereka kembali pulih walaupun sudah berada dalam fasa perceraian.
Beego Dan Linda Tak Siakan Peluang
“Apabila dalam keberantakan, saya menjauhkan diri manakala Linda tidak ke mana-mana. Jadi, dia minta saya untuk kembali waktu itu.
“Bukan isu siapa menang, kalah atau ego. Linda ada cakap sesuatu membuatkan saya sedar untuk beri peluang kepada perkahwinan.
“Dua tangan kami pegang keluarga manakala anak-anak di tengah-tengah, jadi tiada sesiapa yang boleh pisahkan. Kalau kita tidak buat, siapa lagi mahu lakukan,” katanya.
Masalah Komunikasi Jadi Punca
Kongsinya lagi, punca perkahwinan mereka goyah bukan disebabkan konflik orang ketiga mahupun berhadapan kesulitan wang tetapi disebabkan masalah komunikasi.
“Dalam rumah tangga semua ada masalah. Saya pula dengan Linda berkahwin ketika berusia 33 tahun, tidak matang lagi dan sekarang baru 10 tahun berkahwin.
“Satu dekad pertama adalah cabaran dan Alhamdulillah kami lalui bersama, macam Linda cakap bukan orang ketiga atau masalah kewangan, mungkin ada benda terpendam,” ujarnya.
Ambil Iktibar Daripada Apa Yang Berlaku
Sementara itu, pelakon filem KL Menjerit 1 itu belajar banyak perkara sepanjang isu terbabit berlaku dalam rumah tangganya.
“Iktibar daripada kisah yang terjadi saya lebih banyak berkomunikasi dan menjadi lebih penyayang.
“Dua-dua mengalah dan tolak ego. Kami bagi peluang kepada masing-masing,” tuturnya.
Sebelum ini, pasangan tersebut pernah bercerai pada 27 Mac lalu namun jodoh masih panjang apabila mereka rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah pada 9 April.
Terdahulu, Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahata mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.
Perkahwinan pelakon dan penyanyi itu merupakan kali kedua buat Beego yang sebelum ini pernah bergelar suami kepada Intan Shahira Mohd. Shahru pada 2008.
Kredit gambar: Linda Hashim
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.