Karnival MIRC 2024 Hidupkan Kembali Kehebatan Rali Di Malaysia

Setelah lima tahun menyaksikan keheningan dalam arena sukan rali di Malaysia, kini kembalinya kegemilangan acara perlumbaan rali yang akan bergema pada tahun 2024.

Litar perlumbaan di ladang sawit yang mencabar di Malaysia dan sejarah gemilang sukan rally negara, yang membuahkan juara PWRC seperti Karamjit Singh, telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama dalam kalangan penganjur dan tempat perlumbaan di Asia Pasifik.

Acara besar dalam bentuk karnival sukan lumba rali bakal berlangsung pada bulan Mac 2024 di Kawasan Parlimen Paya Besar, menampilkan ladang sawit Felda Panching dan kecantikan Bandar Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Perlumbaan besar MIRC ini diusahakan oleh Millennium Motorsport Adventure Club (MMAC) dan dikelola oleh Semenyih Eco-Ventures Resort & Recreation bersama Pejabat Parlimen Paya Besar, Majlis Bandaraya Kuantan, Kerajaan Negeri Pahang, dan Pahang Corporation. Sokongan turut diterima dari Motorsports Association of Malaysia (MAM) dan Kementerian Belia & Sukan Malaysia.

Menurut Dato’ Seri Mohamad Khafey Ikhwan Abdul Latif, Pengarah Acara, MIRC kali ini adalah acara yang unik dan penuh berbeza. Perlumbaan utama akan menampilkan pelumba rali serta jentera terkini dari China, Thailand, dan Indonesia.

Selain perlumbaan, terdapat karnival dan makanan di Tapak Karnival Felda Panching dan Tapak Karnival Bandar Kuantan. Acara tambahan seperti konsert artis terkini dan ceramah agama juga akan diselitkan dalam acara ini.

Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah, menyambut baik kedatangan acara sukan rally dan karnival terbesar ini, sambil memberi penekanan terhadap keunikan litar perlumbaan di Felda Panching yang menjadi tumpuan selepas lima tahun.

Penganjur berharap untuk terus berkolaborasi dengan sektor swasta dan korporat sebagai rakan penaja untuk memperkukuhkan lagi kedudukan sukan lumba rali di Malaysia. Bagi maklumat lanjut dan pertanyaan berkenaan perlumbaan dan karnival, sila hubungi Dato’ Seri Mohamad Khafey Ikhwan Abdul Latif di talian 011-10885311 atau Tn Hj Sutan Mustaffa Salihin di 0162285784.

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Comments

Leave a Reply