Insiden Chernobyl, 3 Mile Island, dan Fukushima sering menjadi alasan mengapa tenaga nuklear tidak selamat untuk digunakan sedangkan ia lebih bersih berbanding sumber tenaga utama yang lain. Tetapi tahukah anda kali terakhir insiden nuklear berlaku adalah pada tahun 2011 dan reaktor nuklear generasi baharu telah direka untuk mengelakkan insiden teras lebur daripada berlaku? Kerana stigma yang buruk masih wujud di minda orang ramai, Deep Fission ingin membina reaktor nuklear yang 1 batu (1.6 km) di bawah tanah.
Deep Fission akan menggunakan reaktor air bertekanan (PWR) konvensional yang dimasukkan ke dalam lubang selebar 30″ (76 cm) sedalam hampir 2 kilometer. Kemudian terdapat paip untuk menyalurkan air untuk sistem penyejukan dan satu lagi paip akan membawa stim yang terhasil kembali ke permukaan untuk menggerakkan generator elektrik.
Kerana ia terletak jauh di bawah tanah, ia tidak memerlukan kebuk khas berdinding tebal yang diperbuat daripada plumbum untuk menghalang radiasi. Berat air dalam paip yang dibawa turun menggunakan graviti akan membekalkan tekaan kepada PWR secara semula jadi tanpa sistem pam yang kompleks. Apabila perlu diselenggara, PWR boleh dinaikkan semula ke permukaan untuk dibaiki atau menukar bahan api.
Reaktor akan dibina di kawasan dengan batu yang keras berjauhan daripada sumber air bawah tanah. Jika kemalangan berlaku, reaktor direka untuk menghentikan sendiri tindak balas sebelum berlaku peleburan teras. Sekiranya berlaku letupan sekalipun, ia jauh di bawah tanah dan lubang kemudiannya boleh dikambus.
Deep Fission pada ketika ini masih sekadar konsep dan dalam proses untuk mendapatkan kebenaran bagi melakukan ujian keberkesanannya di dunia sebenar.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.