Kalau sebut Kluang, Johor mesti korang teringat kopi yang pekat dan melekat tu kan? sebenarnya bukan sahaja kopi yang sedap ada kat Kluang, malah banyak lagi tarikan lain yang korang boleh singgah bila berkunjung ke sini.
10 tempat ini antara yang menarik boleh korang lawati bila datang ke Kluang, Johor.
UK Farm Agro Resort
Hanya 18km dari bandar Kluang, yang nak feeling macam bercuti ke luar negara seperti NZ, ini tempatnya. Merupakan ladang penternakan dan pertanian yang setanding dengan ladang berstatus antarabangsa, kawasan ini sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga. Ada mini zoo dan pelbagai tanaman segar yang boleh korang lihat di sini.
Kluang Mall
Kat Kluang pun ada mall yang tak kurang hebatnya. Terletak di tengah pusat bandar Kluang, mall ini turut mempunyai store jenama terkenal seperti H&M, Uniqlo dan banyak lagi. Nak tengok wayang atau bermain boling pun ada kat sini.
Galeri Terompah Mastor
Galeri yang terdiri dari pelbagai bentuk dan warna terompah. Dengan tujuh bentuk reka bentuk terompah, masing-masing menggunakan cat terang dan berwarna-warni untuk membangkitkan perasaan gembira pemakainya. Lebih dari seribu terompah dibuat setiap bulan untuk memenuhi keperluan pelanggan di dalam dan luar negara. Galeri Terompah Mastor amat digemari peminat terompah dan mereka yang suka untuk memiliki barangan bercirikan Jawa Klasik.
Gunung Lambak
Merupakan salah satu lokasi pendakian yang terkenal di Kluang, kalau dapat sampai ke puncak, korang mesti teruja sebab korang boleh tengok seluruh bandar Kluang dari puncak tersebut.
Gunung belumut
Hutan Rekreasi Gunung Belumut terletak 32 km dari Bandar Kluang iaitu melalui jalanraya Kluang – Mersing, 137 km dari Bandar Johor Bahru. Korang yang nak sampai ke puncak perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau berjalan melalui denai. Kat kaki gunung ini terdapat aliran air terjun yang sederhana tinggi dan airnya memang sejuk dan nyaman.
Kluang Rail Coffee
Kalau datang Kluang tak singgah sini memang tak lengkap. Kopitiam yang terkenal dengan bancuhan istimewa kopinya membuatkan korang teringat-ingat. Selain kopi ada juga makanan lain yang turut dijual kat sini. suasana juga sangat menarik untuk diabadikan bersama yang tersayang.
ZenXin Organic Park
Buat penggemar sayuran organik, tempat ini untuk korang. Merupakan ladang organik pertama di Malaysia, ladang ini turut menawarkan lawatan taman dan perkhidmatan pemandu pelancong untuk pengunjung.
Kluang Street Art
Terletak di Lorong belakang Jalan Teo Siew Khor, terdapat lebih kurang 24 mural yang dilukis pada sekitar 100 meter dinding bangunan. Ini juga salah satu tempat yang korang kena singgah kalau datang ke Kluang.
Laman Kreatif Kluang
Terletak tak jauh dari Kluang Rail Coffee, tempat ini terkenal dengan hasil kreatif lukisan mural untuk tatapan umum. Dah sampai sini jangan lupa untuk OOTD tau!
Kredit: Daily Johor
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.