Siapa sangka hanya dengan menggunakan kenderaan kompak seperti Perodua Kelisa dapat menjelajah hampir ke serata dunia.
Hal tersebut dibuktikan oleh Nursulhi Rahim, 41 dan anak lelakinya Muhammad Aidil yang berusia 17 tahun mengembara ke serata dunia dengan kelisa mereka yang diberi nama ‘Wheely’.
Menggunakan nama Aimpro Samudra di Facebook, lelaki ini berkongsi pengembaraan mereka yang sebenarnya telah bermula sejak November 2019.
Dari Malaysia sehingga ke negara Eropah, Asia dan ke Timur Tengah, pelbagai rintangan dan dugaan yang perlu dihadapi oleh dua beranak ini.
Terpaksa menangguhkan kembara mereka kerana virus Covid-19 yang melanda, ayah dan anak ini sempat pulang ke Malaysia seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020.
Terpaksa meninggalkan kenderaan mereka Di Turki, Nursulhi kembali menyambung perjalanan pada 15 September 2022 dan pulang kembali ke tanah air sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.
Namun disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan, ‘Wheely’ masih belum berjaya pulang bersama Nursulhi namun lelaki ini berhasrat untuk membawa pulang kelisa yang digunakan itu kelak.
Ikuti perkongsiannya:
Kembara serata dunia dengan Kelisa
Dari Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turkey, Bulgaria, Romania, Hungary, Crotia, Germany, Netherland, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, France, Italy, Switzerland, Greece etc.
Ini lah ‘kediaman’ dan kenderaan rasmi, “Wheely” @ Kelisa yang bertuah menemani sepanjang pengembaraan kami dua beranak sekitar Europe dan Asia (Euroasia) sejak November 2019.
Minggu lalu cadang nak buka khemah di kawasan yang dikatakan antara highway tertinggi di dunia tetapi suasana sejuk tidak mengizinkan. Khemah “Wheely” jua tempat kami berteduh.
Port tak semestinya di kawasan yang cantik, kadang tepi pam minyak, surau dan tempat parking lori pun dah memadai. Paling penting ada bilik air.
Dari Taftan, Quetta, Dera Ismail Khan membawa ke Islamabad, suasana berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain seterusnya ke utara Pakistan iaitu Naran, Gilgit, Hunza dan ke sempadan Khunjerab.
Aku cuma orang kampung yang mahu keluar melihat dunia bersama anak jantan ku mengembara sekadar yang termampu.
Berkat doa semua serta izin dariNya sahaja lah yang memberikan aku kekuatan untuk terus melangkah.
Lain orang, lain caranya. Apa yang penting kita bahagia mengembara dengan cara masing-masing. Tahniah buat semua!
Dimana bumi dipijak, di situ lah kami ber’camping’.
Sumber: Aimpro Samudra & Paultan
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.