Pi Penang Bukan Makan Saja, Ini 26 Tempat Masuk Percuma Je. Rugilah Tak Singgah!

Pulau Pinang memang terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang sering menjadi tumpuan para pelancong. Bukan hanya makanan sebagai daya penarik, malah banyak lagi tempat lain yang korang boleh kunjungi bila datang ke Penang.

Kat bawah ini disenaraikan 26 tempat menarik kat Penang yang korang boleh singgah secara PERCUMA sahaja! Sesuai untuk yang cuti-cuti bajet dengan kawan-kawan atau keluarga, sekurang-kurangnya bukan mai makan saja, boleh juga kenal-kenal tempat menarik yang ada kat Pulau Mutiara ni!

26 Tempat Menarik Percuma di Penang 

  • Penang Street Art, Jalan Seni Lebuh Armenia.

Ini tempat menarik di Penang yang free, mudah dicari dan jadi oksigen untuk yang tegar posting kat IG. Seni dinding di Penang ini unik. Sebabnya gambar di sini ialah kisah hidup seharian masyarakat Penang.

  • Bookexcess Penang

Ulat buku! Jom shopping buku dan bergambar dalam kedai buku Penang yang terbaru.Untuk peminat-peminat buku Bahasa Inggeris, adanya Bookexcess kat Malaysia umpama pucuk dicita ulam mendatang. Sebab harga bukunya murah tak boleh blah.

Dan untuk yang bukan kaki buku, tapi cuma nak bergaya untuk followers, terima kasih juga pada Bookexcess. Kedai-kedai bukunya semua hip hip. Dan yang kat Penang ini kemas dan cantik untuk snap gambar memori masa cuti.

  • Taman Belia

Kalau hotel tak ada pool, dan anak merengek nak main air holiday nanti, bawa sahaja dia ke sini. Ada 3 swimming pool kanak-kanak di sini. Boleh pilih yang mana suka, ikut anak besar mana.

Dan kalau cik abang rasa mahu berjogging, biarkan sahaja sebab tempat ini besar sangat. 67 hektar kak.Tak lama, mesti dia patah balik rehat tepi pool.

  • Padang Kota Lama

Padang Kota Lama merupakan lokasi bersejarah yang asalnya berfungsi sebagai padang perbarisan dan permainan yang dibuat oleh penjajah British.

Sekarang, Padang Kota Lama diberi nafas baru setelah diupgrade dan setiap petang penuh dengan umat manusia untuk bersantai sambil melihat lautan.

  • Saneen Goat Farm

Jom layan kambing baka Swiss kat Saneen Goat Farm dengan anak-anak, bagi depa happy masa cuti. Kalau anda nak tengok rupa kambing Swiss yang memang hebat keluarkan susu, ini tempatnya.

Nak bagi kambing makan. Boleh.Nak minum susu kambing segar bugar. Boleh. Nak belai-belai? Pun tiada masalah, cik adik.

Tempat ternak kambing Switzerland ini bukan saja ada susu. Tapi juga ada dadih, puding dan aiskrim. Pendek kata, puas layan produk kambing kalau dah sampai sini.

  • Rumah P Ramlee

Anda peminat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ? Singgahlah ke rumah kelahiran seniman agung negara ini.

Di sini anda akan dapat melihat rumah beliau dan basikal yang beliau gunakan sewaktu kecil.

Dikatakan, basikal ini terputus breknya kerana beliau kerap membrek sambil menyanyi.

Foto dan barangan beliau lain di letak di ruang utama manakala ruang yang lain di buat agar ia kelihatan seperti waktu beliau kecil.

  • Taman Negara Penang

taman negara terkecil di Malaysia ini ada 5 jenis habitat yang tidak ada pada mana-mana taman negara lain di negara ini. Woohaaa!

Anda boleh berjalan kaki di hutan ini dan melalui jambatan kanopi walk sejauh 250m dari pokok ke pokok. Selain mandi di pantai, anda boleh menaiki bot ke pantai Keracut dan melawat tempat pemuliharaan penyu di sana.

  • Pantai Batu Feringghi

Kawasan pantai paling popular kat Penang ini memang best ambil angin, dengar ombak atau cuci mata dengan member.

Jika anda datang pada waktu petang, tunggu sehingga malam. Selepas anda layan matahari terbenam, anda boleh terus ke pasar malam Batu Feringghi.

  • Gurney Drive

Juga dikenali sebagai The New Esplanade, kawasan tepi laut ini popular bukan sahaja kerana kawasan gerai makannya, akan tetapi kerana anda boleh berjalan di siar kakinya sambil merasa angin laut.

Nak shopping? Boleh. Sebab laluan Gurney ini ada Gurney Plaza dan Gurney Paragon Mall yang moden dan siap dengan panggung wayang.

  • Lorong Kulit

Singgah sekejap di Pasar Karat Penang ini kalau anda ingin buah-buah murah dan melihat barang terpakai.

Dipendekkan cerita, ini adalah pasar karat. Jadi tarikan utamanya ialah barang antik dan barang terpakai. Kata orang putih, pre-loved.

  • Masjid Kapitan Keling

Masjid yang lebih 200 tahun ini antara masjid wajib tuju kat Penang. Nama Kapitan Keling bunyinya kasar. Dan kalau anda memanggil seorang yang berbangsa India dengan nama Keling, anda mungkin boleh mula menempah gigi palsu dan bersedia untuk cetuskan rusuhan. Tapi 200 tahun dulu, ianya memang panggilan untuk orang India yang di bawa masuk oleh Inggeris ini.

  • Pasar Malam Batu Feringgi

Orang kata ini pasar malam terpanjang kat Malaysia. Betul ke? Pasar malam Feringgi ka Penang ini lain dari pasar malam biasa. Tak ada makanan atau bawang di sini. Yang ada — cenderamata, pakaian serta aksesori wanita.

  • Uptown Perda

Suka usya kasut, baju malam-malam? Jom terjah Uptown Perda. Ini uptown paling besar kat Seberang Prai, Penang. Dan peniaga yang ada lebih dari 150. Jadi memang panjanglah pasarnya.

Untuk anda yang memang suka ke pasar yang memang jual barang terpakai, memang mencari t-shirt dan jersi, tali pinggang dan minyak wangi murah, ini memang syurga cuti anda.

Muzium Negeri Pulau Pinang

Dulu inilah bangunan sekolah pertama dalam negara ini. Sekarang dah jadi muzium negeri. Muzium negeri Penang ini dibuat dalam bangunan yang sudah berusia lebih 200 tahun. Bangunan ini sebenarnya bangunan asal Penang Free School, iaitu sekolah pertama di Tanah Melayu.

Sekolah ini juga adalah sekolah yang mana Perdana Menteri Pertama kita, Tunku Abdul Rahman belajar. Begitu juga seniman Tan Sri P. Ramlee.

  • Muzium GohKaki

Nak tunjuk anak game yang anda main masa kecil-kecil dulu? Ini tarikan Penang khas untuk itu.

  • Straits Quay

Straits Quay mungkin satu tarikan yang kurang dikenali pelancong luar Penang.

Akan tetapi jika anda datang berbulan madu, jangan lepaskan peluang ke kawasan marina pusat beli belah ini untuk melihat pemandangan bot dan matahari terbenamnya. Bergambar pun nice juga.

  • Taman Botanikal Penang

Jom kita bersiar-siar di Penang Botanical Garden ataupun Taman Kebun Bunga untuk ubat hati yang lara.

Pada waktu dahulu, taman ini dibuat oleh penjajah British untuk mencari tumbuhan yang sesuai untuk dikomersilkan. Akan tetapi apabila Jepun menghalau Inggeris, tempat ini dijadikan mereka untuk mencari tumbuhan yang boleh dijadikan ubat.

  • Bazaar Chow Rasta

Bazaar di Chowrasta ini memang ideal untuk anda beli buku terpakai dan melihat suasana kedai Penang pada zaman dahulu.

Pasar usang ini terkenal kerana anda bukan sahaja boleh membeli pelbagai jenis jeruk segarnya, akan tetapi anda juga boleh membeli biskut, key chain dan t-shirt untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.

  • Chew Jetty

Ini antara kampung asal orang-orang Cina yang masih dikekalkan kat Penang ini.

Apa yang anda lihat sekarang di Chew Jetty ini hampir sama macam keadaan 100 tahun dulu. Cuma sekarang tak ramai lagi yang jadi nelayan. Kebanyakannya sudah jadi peniaga.

  • Aspen Central Park Batu Kawan

Jom ambil angin sat kat taman Aspen Central dengan bunga-bunga luar negara. Siap dengan tema 4 musim. Dan bila malam tempat ini ada lampu LED.

  • Tokong Ular

Dahulu tokong ini penuh dengan ular. Tapi sekarang sudah tidak lagi. 20 tahun dulu, tokong ular ini memang tempat wajib lawat kalau ke Penang. Tak kisah lah samada anda tidak tahan bau colok atau tak selesa masuk ke tokong.

Bukan apa. Semua orang mesti teruja melihat bermacam-macam jenis ular – berbisa dan tak berbisa berkeliaran di dalam tokong. Sayangnya, sekarang jumlah ular yang ada sangat sedikit. Ular berbisa seperti ular kapak pun hanya ada seekor dua.

  • Penang City Hall

Nak bergambar? Bangunan dekat tepi Padang Kota ini antara lokasi istimewa. Bangunan City Hall Penang yang serba putih ini memang cocok sangat kalau anda nak ber OOTD. Sebabnya tak ramai yang bergambar kat bangunan tua berseni Victoria ini.

  • Taman Rimba Teluk Bahang

sebuah pusat rekreasi yang berstatus hutan lipur kerana menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna. Taman ini menjadi lokasi perkelahan, bersantai dan mandi-manda penduduk berdekatan sambil menikmati kesegaran air terjunnya yang bersih.

  • Little India

Little India adalah sebuah kawasan perkampungan yang diberikan kepada para pendatang India. Paling menarik, kedai di sini semuanya berwarna-warni serta sepanjang anda berada di sini anda akan didendangkan dengan alunan muzik India seolah-olah anda berada di Delhi.

  • Pantai Monyet

Kalau dahulu dikenali dengan Teluk Duyung kini dipanggil dengan Pantai Monyet kerana kehadiran monyet yang berlegar-legar di kawasan itu.

Pantai memiliki teluk serta pemandangan yang indah dikelilingi oleh bukit dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau serta air laut berwarna biru.

  • Kilang Batik Penang

Kilang Batik Penang terletak di Teluk Bahang berdekatan Empangan Mengkuang menjadi lokasi persinggahan pelancong untuk mendalami ilmu penghasilan dari Pulau Pinang.

Mereka menyediakan perkhidmatan Free Tour sahaja dimana anda dapat melihat bagaimana batik dihasilkan. Selain itu, terdapat juga kedai untuk anda membeli batik asli dari Penang yang beraneka jenis pilihan dan corak .

Sumber: Tempat2 Percutian & Jln2 cari makan

 

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply