Dalam masa travel, mesti antara perkara lain selain berjalan-jalan adalah shopping, kan? Lebih-lebih lagi pada golongan hawa ni. Memang tak akan lepaskan peluang membeli apa sahaja buah tangan untuk dibawa pulang.
Sama ada buah tangan tu untuk diri sendiri dan keluarga, atau dibagi-bagikan kepada sanak saudara dan sahabat handai. Jadi, untuk mereka yang nak ke negeri Darul Naim, entri ini Libur kongsikan 10 destinasi shopping yang menarik untuk anda membeli buah tangan atau cenderahati bagi dibawa pulang ke rumah.
Pasar Siti Khadijah
Gambar www.tokamanbali.com.my
Di sinilah tempat kaum wanita yang berkunjung ke Kelantan akan menghabiskan masa hampir setengah hari untuk shopping dan kadang-kala membuatkan muncung kaum adam jadi macam muncung itik. Nak buat macam mana? Harga yang ditawarkan di pasar ini sangat berpatutan dan koleksi pelbagai produk memberikan kepuasan kepada kaum hawa cuci mata di sini. Daripada barang basah, hingga ke barangan kering, spot ini seakan one stop center kepada kaki shopping – barang nak buat hantaran kahwin, barang solat, kraftangan, dan sebagainya. Selain daripada barang-barang, terdapat juga variasi juadah makanan tradisional masyarakat Kelantan yang boleh didapati di sini seperti kuih akok, nasi tumpang, etok salai, nasi kerabu, aneka kuih muih dan pelbagai lagi.
Waktu operasi: 07:00 – 18:00 setiap hari
Pasar Terapung Pulau Suri
Gambar mdrazali.blog
Pasar terapung ni kebiasaannya popular di Thailand, tapi jangan tak tahu yang pasar sedemikian juga boleh dilawati di Kelantan atau lebih tepatnya di Kampung Pulau Suri, Tumpat. Kepada sesiapa yang minat dengan juadah popular negeri Kelantan, boleh singgah ke sini sambil merasai pengalaman ala-ala bercuti ke Thailand. Selain daripada menikmati juadah makanan di sini, pengunjung juga akan berpeluang untuk bersiar-siar dan menikmati keindahan yang terdapat di pasar terapung Kampung Pulau Suri ini. Kepada anda yang ingin ke sini, beri perhatian bahawa pasar ini hanya di buka pada hujung minggu dan ada bayaran minimal yang dikenakan kepada anda iaitu tambang bot. Untuk ke sini, anda boleh datang melalui Jeti Kuala Besar yang terletak di Kota Bharu.
Waktu operasi: 10:30 – 12:30 setiap Sabtu sahaja
Pasar Malam Wakaf Che Yeh
Gambar pantaipcbhomestay.blogspot.com
Kalau anda nak ke sini, pastikan anda memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 3 jam kerana aktiviti cuci mata di Pasar Malam Wakaf Che Yeh ni pasti membuatkan itinerari anda drag berjam-jam lamanya. Dengan suasana yang meriah dari awal malam hingga dinihari keesokkannya, pasar ini memberikan pelbagai pilihan kepada anda yang ingin mencari pelbagai barang-barangan. Kalau anda orang KL yang tidak pernah ke Kelantan, ketahuilah bahawa tiada restoran mamak yang di buka 24 jam atau shopping complex besar di sana. Jadi, warga Kelantan akan datang ke sini bersosial dan membeli-belah. Oleh itu, Pasar Malam Wakaf Che Yeh ini adalah destinasi malam paling havoc di Kelantan.
Waktu operasi: 06:00 – 15:00 setiap hari
Bazar Tok Guru
Gambar keretasewakotabharu.com
Bazar tok guru ini tak perlu lagi diberi penjelasan yang panjang lebar. Memang cukup terkenal seantero negeri Kelantan. Bukan sahaja itu, bazar ini terkenal khususnya kaum hawa untuk membeli-belah barangan islamik seperti tudung, telekung solat, kelengkapan umrah dan juga haji dan sebagainya. Beruntungnya tempat ini kerana ianya terletak betul-betul di bandar Kota Bharu, membuatkan ianya mudah diakses kepada sesiapa yang bercuti atau berkunjung ke sana.
Waktu operasi: 09:00 – 18:00 setiap hari
Zon Bebas Cukai Rantau Panjang
Gambar mykensan.wordpress.com
Ada beberapa kawasan zon bebas cukai di Malaysia dan salah satu daripadanya adalah Zon Bebas Cukai Rantau Panjang. Spot destinasi ini sangat terkenal untuk anda yang nak shopping pinggan mangkuk, periuk belanga, kuali, kawah, sudu garfu, atau apa sahajalah yang terlintas di fikiran anda. Semuanya ada di sini. Ya, tempat-tempat lain juga mempunyai barangan yang sama dijual di sini tetapi perbezaan besarnya adalah harga yang ditawarkan – cukup kompetatif dan murah berbanding tempat-tempat lain. Selain itu, kedai dan pilihan barangan di sini juga boleh dikatakan besar dan lebih banyak berbanding kawasan Zon Bebas Cukai yang lain. Selain barangan, makanan tempatan dan makanan Thailand juga boleh didapati di sini.
Waktu operasi: 09:00 – 18:00 setiap hari
Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor
Gambar manpulau98.blogspot.com
Satu lagi kawasan Zon Bebas Cukai yang ada di Kelantan selain daripada Zon Bebas Cukai Rantau Panjang. Barangan yang sama juga seperti di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, cuma yang membezakan adalah suasana dan persekitaran yang berbeza berbanding Rantau Panjang. Kepada food hunters selain kaki shopping, di sini banyak gerai yang menjual mee celup, mee chambul, pulut ayam, pulut mangga, dan ais krim baba.
Waktu operasi: 09:00 – 17:30 setiap hari
Kampung Kraftangan
Gambar cooktelaria.com.br
Kampung ini sesuai untuk anda yang nak mencari songket, barangan perak, batik dan hasil seni kraftangan tempatan Kelantan. Untuk anda yang tak pernah merasa macam mana nak mencanting batik, boleh la cuba-cuba apabila berkunjung ke sini dengan bayaran hanya RM10 sahaja. Lagi satu benda yang best di sini, Kampung Kraftangan ini terletak berdekatan dengan tempat makan popular di Kelantan iaitu Nasi Ulam Cikgu. Lepas beli buah tangan di sini, terus sahaja makan tengah hari di restoran Nasi Ulam Cikgu.
Waktu operasi: 09:00 – 17:00 setiap hari kecuali Jumaat
Bazar Buluh Kubu
Gambar geocities.ws
Bazar ini popular dengan jualan pakaian dan kain seperti kain batik, songket dan produk kraftangan Kelantan. Kakak-kakak, makcik-makcik mesti suka untuk singgah ke sini sebab di sini penuh dengan pakaian harian wanita seperti baju kurung, selendang, tudung dan baju kelawar dan mempunyai seribu satu pilihan untuk di beli. Daripada yang murah dan berkualiti biasa hingga ke harga yang mahal dan berkualiti premium. Untuk kaum adam, jangan sedih. Kalau nak beli sesuatu untuk mak, mak mertua, bakal mak mertua, isteri, bakal isteri, atau isteri kedua, boleh singgah ke sini. Jangan terlondeh bahu nak pikul beg plastik sudah lah.
Waktu operasi: 09:00 – 21:00 setiap hari
Pasar Besar Siti Aishah Jelawat
Gambar diarisiketambatu.blogspot.com
Pasar ini popular di Bachok dan anda yang nak mencari ikan, makanan laut, sayur-sayuran segar, boleh mengunjungi pasar ini. Harga berpatutan berbanding tempat-tempat lain dan mempunyai banyak pilihan yang banyak. Jadi tak hairan pasar ini selalu sesak dengan kunjungan orang ramai yang nak mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan di sini. Untuk yang nak datang melancong, destinasi ini sesuai kalau nak cari makanan tradisional tempatan kerana banyak gerai-gerai yang menjual lauk-pauk dan kuih-muih.
Waktu operasi: 06:30 – 15:00 setiap hari
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.