Melbourne Yang Penuh Mengujakan. Terbang Bercuti Bersama AirAsiaX & Visit Victoria

Jemputan daripada Visit Victoria untuk menyertai AirAsia X Rediscover Melbourne hujung tahun 2022,  awalnya seperti tidak dapat dipenuhi atas pelbagai perkara yang memerlukan saya untuk berada di pejabat.  Sementelah saya telah pernah berkunjung ke Melbourne dan tinggal hampir dua minggu di sana. Banyak tempat tarikan pelancong sudah dilawati. Tetapi seketika melihat itenarari yang diberikan, ternyata, majoriti lokasinya belum pernah saya kunjungi.

Teruja! Bukan sahaja kerana tidak sabar berada di sana, tetapi juga kerana sudah dua tahun tidak terbang akibat pendemik yang melanda dunia. Terbang dengan AirasiaX juga bukanlah kali pertama. Proses pendaftaran berjalan lancar sehinggalah berada di dalam perut pesawat. Sebagai orang media, sebentar sahaja, kami sudah dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain. Jadi dengan siapa kita duduk, bukan satu masalah. Bagai sudah kenal lama, sepanjang penerbangan ada sahaja cerita kami sambil menikmati hidangan yang telah dipesan sebelum berangkat. Nasi Lemak Pak Nasser menjadi pilihan saya. Mengubat rindu. Inilah antara menu kegemaran saya kala terbang bersama AirAsia. Kini AirAsiaX menyediakan penerbangan setiap hari ke Melbourne.

Aktiviti Penuh Mengujakan Bermula Seawal Hari Pertama.

Trip selama lapan hari tujuh ini jatuh pada penghujung musim bunga. Berada dalam suhu antara 11’c-22’c, kami sejak awal sudah diingatkan tentang keadaan cuaca yang tidak menentu. Agak sejuk dan berangin. Bagi anda yang ingin berkunjung ke Melbourne ketika musim begini amat digalakkan untuk membawa baju yang sedikit tebal.

Kami tiba di Melbourne waktu pagi. Setelah segala proses mengambil bagasi selesai, sehagian kami membeli sim kad telefon. Ya lebih murah untuk digunakan sepanjang berada di sana. Sambil menunggu kenderaan yang akan membawa kami, kami diberi secawan kopi . Aduhai, bagi pencinta kopi seperti saya, ini salah satu tarikan pertama untuk jatuh cinta dengan bumi Victoria.  Menghirup kopi dalam suasana dingin pagi memang memberi satu energi baru setelah berada lapan jam dalam penerbangan.

GEELONG & THE BELLARINE / GEELONG WATERFRONT

Keluar dari Airport, sudah sedia menanti kenderaan dari Explore Australia Tours. Kami terus berangkat menuju lokasi pertama di luar kota Melbourne. Kami berangkat ke Geelong. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 40 minit ini membawa kami ke kawasan santai dengan pemandangan replika seni yang dikenali sebagai ‘Bollards’, hasil seni dari pelukis terkenal Jan Mitchell.

Langit yang biru dan laut yang terbentang luas menyambut kedatangan kami. Jika ke sini kita boleh temui lebih dari 100 replika bollards dengan pelbagai warna dan corak. Kami menyusuri  Rippleside Park, Limeburners Point dan Botanic Gardens. Cuaca yang cantik dan cerah serta berangin tidak terasa meletihkan.  Apa Istimewanya Geelong Arts & Culture Trails ini? Di sini kita boleh memuat naik app yang disediakan untuk melihat replika bollards tersebut bergerak. Benarkah? Ya, dan tanpa sedar ia membuatkan kami leka. Terlupa seketika keletihan.

MINI GOLF DRIVING RANGE CHALLENGE AT CURLEWIS GOLF

Melihat iternari ini dalam list yang diberi. Sejak dari Malaysia lagi saya sudah teruja. Teruja ingin menghayun kayu golf penuh bergaya. Berangan sambil ketawa.  Kami kemudiannya dibawa ke Mini Golf Driving Range Challenge di Curlewis Golf. diiktiraf antara Top 50 Australian Golf Course terbaik , The Range @Curlewis ini mempunyai 18 laluan driving range dan akademi latihan golf lengkap dengan makanan.

Paling seronok kami juga diberi task untuk melakukan aktiviti di sini. Sebagai beginer kami semua sangat teruja penuh dengan ketawa dan jeritan apabila pukulan kami masuk tepat ke lubang yang dituju. Mana tidaknya kerana kami dibahagikan kepada grup dan pemenangnya akan mendapat hadiah. Jadi masing-masing cuba untuk membuat pukulan tepat dengan sekali pukulan.

Selesai beraktiviti kami dihidangkan dengan minuman segar serta sneks berupa roti dan kek. Buat kaki golf, ini antara lokasi yang patut anda tuju. Sebelum meninggalkan kawasan ini, kami juga dibawa ke lapangan golf yang turut disediakan hotel dan chalet penginapan yang sangat menarik. Jadi kepada kaki golf tempat ini pasti menjadi salah satu destinasi patut dituju.

MAKAN TENGAHARI DI JACK RABBIT VINEYARD

Kami kemudiannya dibawa makan tengahari diJack Rabbit Vineyard. Kawasan atas bukit yang mempunyai pemandangan indah menghadap laut lepas.

BELLARINE SMOKEHOUSE

Ikan Salmon tentunya tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Kalau melancong ke luar negara, mencuba variasi makanan laut adalah antara perkara yang selalu menjadi pilihan.  Kami dibawa ke Bellarine Smokehouse yang mengambil berada tidak jauh dari lokasi kami makan tengahari.  Bellarine Smoke house menyediakan ‘smoked fish’ secara tradisional dan kualiti rasanya sangat dijaga.

Kami juga diberi smoked salmon dan barramundi untuk dicuba. Ternyata rasanya sangat sedap. Buat penggemar salmon seperti saya, walaupun sudah kenyang tetap teruja mencuba. Apa lagi mereka sudah menyediakan hidangan untuk kami cuba.  Selain ikan salmon, Bellarine Smokehouse juga menyediakan ikan barramundi, NZ Ora King Salmon, King Fish, Victorian Rainbow Trout dan belut. Terbuk

R GEELONG HOTEL & MAKAN MALAM DI FISHERMAN’S PIER

Petang menjelang tiba, kami akhirnya dibawa mendaftar bilik di R Geelong Hotel. Setelah seharian ke sana dan ke sini, sememangnya tidak sabar untuk menyegarkan diri.  Kala pintu dibuka, teruja seketika. Apa tidaknya bukan sekadar bilik malah lebih seperti apartment satu bilik yang dilengkapi dengan dapur dan ruang makan dan ruang tamu yang luas.

Walau diberi masa yang singkat untuk berehat, tetapi cukup untuk saya merebahkan badan sebentar atas tilam yang empuk. Kemudiannya mandi dan bersiap untuk menikmati hidangan makan malam di Fisherman’s Pier. Restoran yang terletak berhampiran port boat ini rupanya adalah restoran yang telah mendapat Anugerah Restoran Seafood Terbaik selama 40 tahun berturut-turut!  Ah, memang teruja betul apa lagi setelah mandi, perut kembali lapar. Saya juga sudah berangan mahu memesan menu berasaskan ikan dan makanan laut.  Pasti segar dan enak. Kerana restoran ini tidak jauh dari hotel penginapan, kami berjalan kaki berama-ramai.

Santai dalam cuaca petang yang indah. Angin laut yang bertiup agak dingin tak terasa kami sudah menghampiri restoran yang dituju. Benarlah sesuai dengan gelarannya diterima, setiap ruang tempat duduk sudah penuh. Selesai menikmati makan malam, kami pulang ke bilik. Sambil menikmati hidangan

Banyak lagi tempat menarik yang akan kami kongsikan dalam story yang seterusnya. Jangan lupa nantikan part 2 ya.

SARAPAN DAN KE QUEENSCLIFF

Hari kedua sudah mula, kami bersarapan di kafe berhadpan hotel. Cafe’Go menyajikan hidangan sarapan ‘mat saleh’ yang tidak asing bagi orang Malaysia. Laju sahaja masing-masing membuat pesanan.

Dan kerana kami akan memulakan perjalanan yang agak jauh jadi setelah bersarapan kami bergerak untuk menaiki cruise menuju Seorrento.

Queenscliff-Sorrento Feri

Perjalanan selama 35 minit untuk ke jeti Queenscliff dan perjalanan di atas cruise selama 90 minit kami gunakan untuk melihat pemandangan indah Victoria. masa selama 45 minit perjalanan feri dari Queenscliff ke Sorrento, katanya kalau bernasib baik boleh nampak ikan lumba-lumba. Namun semuanya bergantung kepada nasib kerana mereka merupakan habitat liar dan bukan dipelihara. Walau apa pun pengalaman menaiki feri sememangnya cukup menarik sambil menikmati pemandangan indah Port Philip Bay.

MENYUSURI MILLIONAIRE’S WALK

Turun dari Cruise kami dibawa ke Sorrento. Kawasan elit yang menempatkan rumah-rumah serba mewah menghadap laut yang terkenal dengan nama Millionnaire’s Walk.  Menyusuri laluan ‘Millionnaire’s Walk’ melalui  kawasan belakang rumah-rumah mewah yang indah sambil melepaskan pandangan ke laut lepas memang melekakan. Bunga-bunga liar  yang menghiasi laluan menjadikan suasanan sangat indah.

ARTHURS SEAT EAGLE (GONDOLA RIDE)

Sorrento dan rumah mewah kami tinggalkan untuk ke Arthurs Seat Eagle,  salah satu lokasi perlancongan wajib datang di Melbourne.  Menaiki gondola berkonsep terbuka memang lain daripada yang lain. Dari ketinggian gondola bermula, kita akan dapat melihat pemandangan indah  Mornington Peninsula dan Port Philip. Oh ya dari gondola juga kita  boleh nampak sayup jauh di sana bandar Melbourne. Jika membawa keluarga dan anak-anak, pastinya pengalaman akan menjadi antara memori terindah buat mereka.

MEMANJA DIRI DI PENINSULA HOT SPRINGS

Hot Spring, Kolam air panas mungkin akan memberikan gambaran pertama yang biasa-biasa bagi orang kita. Tetapi segalanya amat berbeza di sini. Dalam  cuaca yang sejuk 11’C,  kami dibawa untuk memanjakan diri di Peninsula Hot Spring . Bukan kolam air panas biasa. Bagi saya ia sangat istimewa. Dengan lanskap yang indah, sangat berbaloi dikunjungi apa lagi kolam air panas ini telah memenangi anugerah ‘ Best Natural Hot Spring and Spa’ .

Menyediakan lebih 50 kemudahan dan pengalaman spa, anda boleh pilih kemudahan mandi dari kolam air panas, reflexology walk, Turkish hamam, dan kolam di atas bukit dengan pemandangan 360′ darjah Mornington Peninsula. Bukan itu sahaja,  ada juga kemudahan seperti geothermal pool, ice cave, sauna, kafe, pentas untuk majlis-majlis rasmi dan wellness centre.

Apa yang boleh saya katakan kawasan ini menjanjikan pengalaman paling istimwa dan kerana itulah walau hujan turun renyai-renyai, kami tetap tidak mahu melepaskan peluang menikmati pengalaman mandi di kolam air panas dan masuk ke gua ais. Jika berpeluang, anda juga patut mencuba kerana bakal menjanjikan pengalaman yang sangat best!

Penisular Hot Spring kami tinggalkan untuk ke penginapan seterusnya. Rye Hotel yang mengetengahkan konsep suites yang mengeliling kolam menyediakan bilik yang sangat luas dan selesa apa lagi bila perlu duduk sendirian.  Selesai mandi, kami bersiap lagi untuk makan malam. Kali ini kami dibawa ke Intercontinental, Soreento.

MAKAN MALAM DI DI THE ATRIUM   

 Masuk ke ruang dalam The Atrium at Intercontinental, Sorrento. yang serba mewah sememangnya sangat menarik.  Hiasan dalam yang moden memberikan mood yang lebih segar dan mengujakan.

Kami terus ke meja yang telah disediakan. Memilih menu dan makan dengan penuh khusyuk. Maklum sahaja kalau lepas berendam, perut pastilah menjerit kelaparan. Semua makanan sedap dan saya memilih hidangan ikan salmon. Segar dan sedap sekali.  Selesai makan malam kembali ke hotel untuk berehat.

Malam itu kami tidur cepat kerana awal pagi kami perlu bertolak ke Melbourne. Esoknya kami bersarapan di hotel. Segar selepas menghirup secawan kopi dan bersarapan ala-barat. Kami kemudian bergerak kembali ke Kota Melbourne.

Apa aktiviti dan lokasi kami seterusnya? Jangan lupa ikuti catatan siri ke-2 menampilkan keseronokan menjelajah kota Melbourne. Menyaksikan teater Harry Porter di Princess Theatre Melbourne. Juga menyusuri sepanjangan jalan-jalan yang dihiasi bangunan cantik sehinggalah ke lorong-lorong seni yang menampilkan lukisan hebat dan luahan rasa anak-anak seni sehingga menjadi antara lokasi street art terbaik di dunia.

#airasiax #visitmelbourne #visitvictoria

Catatan: Ida Abd Aziz

Baca: Melbourne Yang Penuh Mengujakan. Terbang Bercuti Bersama AirAsiaX & Visit Victoria


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply