Mencipta Memori di Kota Melbourne, Semua Tempat Cantik!

Setelah dua hari berada di luar kota menjelajah keindahan luar kota Melbourne kami kembali menuju ke kota Melbourne. Pagi yang dingin, perut yang kenyang, membuatkan mata tak mampu menahan ngantuk. Memasuki kota Melbourne, kami memulakan langkah ke salah satu destinasi popular yang kalau tak singgah tidak lengkap kunjungan.

WARNA WARNI KEHIDUPAN DI PANTAI BRIGHTON

Brighton Bathing Boxes!  Destinasi dan lokasi wajib pergi. Deretan 82 pondok kayu yang dengan pelbagai warna dan corak menghiasi pemandangan sepanjang pantai. Pondok kayu yang dibina seawal tahun 1900 itu mengekalkan seni bina victoria yang terpelihara rapi. Seketika mata terpana. Cantik dan tersendiriI Tidak keterlaluan jika dikatakan lokasi OOTD yang pasti menjadikan percutian kita lebih bermakna dan meninggalkan seribu kenangan.  Terasa ingin sekali ambil gambar di setiap pondok.  Dengan angin yang bertiup dingin dan selesa, anda boleh lepak lama di sini. Hey, ambillah di mana-mana sudut pun, hasil gambar sangat cantik dan stylo. Walau berat mahu meninggalkan pantai yang cantik ini, namun Brighton Beach tetap kami tinggalkan untuk ke South Melbourne Market.

SERONOKNYA CUCI MATA DI SOUTH MELBOURNE MARKET

South Melbourne Market. Sudah berusia lebih 150 tahun, South Melbourne Market menjual pelbagai barangan, makanan, sayuran, bunga, buah-buahan, ikan , daging dan hasil laut yang segar. Bukan itu sahaja, di sini juga  menempatkan pelbagai restoran dan tempat makan termasuk makanan halal. Pilihan pakaian, cenderahati dan pelbagai hasil seni juga boleh didapati di sini.

Orang seperti saya memang sangat teruja kalau dibawa ke tempat seperti ni. Boleh leka menikmati barangan yang dijual. Seketika saya leka melihat deretan pelbagai jenis cheese yang dijual. Dan dalam kunjungan ini kami juga diberi peluang merasa pelbagai jenis cheese. Best sangat!  Kami juga diberi mencuba tiram segar. Sayangnya saya bukan penggemar tiram.  Kami juga menikmati makan tengah hari di salah satu restoran di sini. Dan semestinya halal untuk orang Muslim.

Dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang pada hari Rabu, pada hari Jumaat pula ditutup jam 6 petang manakala ditutup jam 4 petang pada hari bekerja yang lain. Jadi pastikan jadual percutian anda disusun dengan baik kerana market ditutup pada hari Isnin, Selasa dan Khamis.  Oh ya, saranan saya, jangan lupa mencuba croissant terbaik di Agathé Pâtisserie dan datang awal sebab kena beratur panjang. Sumpah sangat sedap!

LUME MELBOURNE

The Lume. Sebuah pameran digital yang sangat mengasyikkan. The Lume yang merupakan digital galeri pertama di Australia dan Southern Hemisphere. Bagi peminat seni galeri ini mampu membuatkan anda berlama-lamaan di sini. Apa tidaknya, menyaksikan pelbagai paparan lukisan yang silih berganti disetiap dinding dan lantai dengan diiringi musik dari orkestra memang mengasyikkan. Hilang segala keletihan. 

Terdapat juga pelbagai aktivit lain disediakan di sini. Anda boleh mengasah bakat dalam kelas lukisan kanvas.  Pun begitu harus mengikuti waktu yang telah ditetapkan. Setelah hampir beberapa jam di sini, kami akhirnya check in di hotel yang semestinya terletak ditengah kota Melboune untuk berehat seketika, mandi dan keluar lagi menikmati Melbourne di malam hari.

PENGINAPAN SELESA DI RENDEZVOUS HOTEL

Rendezvous Hotel. Terletak di tengah-tengah Melbourne’s CBD,  The Rendezvous Hotel terletak berhampiran dengan  Flinders Street Station, Dari hotel ini anda boleh berjalan kaki sahaja untuk akses ke pelbagai lokasi lain seperti ke lokasi Street Art yang popular, Mall popular juga ke lokasi yang menempatkan deretan butik-butik berjenama mewah.

Restoran dan pasaraya juga mudah diakses apa lagi jika anda kaki kopi dan suka lepak di kafe-kafe. Kawasan ini juga mudah untuk mencari makanan halal seperti kebab dan makanan Indonesia. Petang itu sebelum menyaksikan teater Harry Porter, kami semua makan malam di Restoran D’ Penytz di China Town. Restoran halal ini menghidangkan masakan Asia khususnya menu Indonesia. Apa lagi selepas tiga hari tidak menjamah makanan sebegitu, kami makan penuh berselera. Kami kemudianya berjalan menuju ke Princess Theater. Ya ,kalau berada di sini, kami lebih banyak berjalan. Cuaca yang sejuk memang selesa. Oh ya, pastikan kita membawa kasut yang sesuai.

MENYAKSIKAN PEMENTASAN

HARRY POTTER AND THE CURSED CHILD THEATRE

Buat peminat siri novel dan franchise filem popular Harry Potter, ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Hanya dipentaskan di London, ini merupakan pertama kali Harry Potter and The Cursed Child dipentaskan luar dari London iaitu di Princess Theatre, Melbourne.

Berkunjung ke dewan teater yang gah seperti Princess Theatre ini selalu menjadi impian saya. Apa lagi dapat turut menyaksikan pementasan  hebat Harry Potter yang  penuh dengan kesan efek berteknologi tinggi. Pementasan  ini mendapat paling banyak anugerah dalam sejarah Britain’s Oliver Awards dengan mendapat 9 anugerah termasuk Best New Play dan Best Director.  Tak terasa pementasan yang agak lama itu sudah sampai ke penghujungnya. Bila keluar pastilah wajah berbunga bahagia.

Malam itu kami pulang dengan hati yang gembira. Rasa puas hati. Bergambar sakan dengan Sempat juga saya singgah di pasaraya berhampiran hotel untuk membeli makanan ringan dan minuman. Esok hari kami akan bermula lagi dengan aktiviti yang semestinya lebih menarik. Menjelajah setiap inci Kota Melbourne

LANEWAYS & ARCARDES TOUR

Berkunjung ke negara orang, tentunya banyak perkara menarik serta lokasi tarikan yang boleh kita temui. Kami diberi kepada dua kumpulan, berjalan menyusuri, arcade dengan senibina victoria, melintasi kafe-kafe pinggir jalan yang menyajikan pelbagai menu serta menyusuri lorong-lorong seni. Satu  kumpulan lagi, berbasikal meneroka kota Melbourne.

Menyusuri sepanjangan jalan-jalan yang dihiasi bangunan dengan senibina sehinggalah ke lorong-lorong  yang menampilkan lukisan hebat dan luahan rasa anak-anak seni sehingga menjadi antara lokasi street art terbaik di dunia.  Lukisan seni ini juga menjadikan kota Melbourne penuh tarikan.

Leka berjalan dari satu lokasi ke satu lokasi tidak sedar hari sudah menghampiri waktu makan tengahari. Kami bertemu di Big Esso yang terletak di Fed Square yang terkenal dengan pelbagai aktiviti kebudayaan selain deretan kafe dan restoran.

Selesai makan tengahari kami, tiada aktiviti yang disusun. Free and Easy. Saya mengambil kesempatan bertemu sabahan, bekas editor yang telah berhijrah ke sana. Sempat juga kami ke factory Outlet dan memilih beberapa pasang baju dan sneakers.  Sayangnya masa terasa begitu singkat kerana mall di sana tutup lebih awal. Apa pun kesempatan beberapa jam itu dapat juga kami bertanya kabar, bercerita sakan sambil mengimbau cerita lama.

Kata orang teman travel yang tepat sangat penting untuk mewujudkan suasana ‘meriah’sepanjang percutian.  Carilah teman, rakan dan sahabat yang betul untuk percutian yang panjang apa lagi jika memerlukan kita travel dari satu tempat ke tempat yang jauh.

Terima kasih sahabat-sahabat media . Amzar dan Ariff  dari AirAsia, Yih Ling dari Go Communication dan paling sporting Jenny dari Visit Victoria yang menjadi teman travel paling best sepanjang percutian kami. Malam itu kumpulan kami menikmati hidangan makan malam dan kembali ke hotel untuk berehat kerana esoknya kami akan berangkat ke Philip Island sementara dua orang lagi pulang ke Malaysia.

Tempat-tempat menarik lain untuk dikunjungi di Kota Melbourne. Untuk dapatkan lebih maklumat, layari https://www.visitmelbourne.com/ 

  • Brighton Beach
  • China Town
  • Luna Park, Melbourne
  • Queen Victoria Market
  • Eureka Tower
  • Puffing Billy Railway
  • Flagstaff Garden
  • National Gallery of Victoria
  • Royal Botanic Garden Victoria
  • Yarra Valley
  • Melbourne Zoo
  • Sea Life Melbourne Aquarium
  • Sunny Ridge Strawberry Farm
  • Albert Park, Melbourne

#airasiax #visitmelbourne #visitvictoria

Catatan: Ida Abd Aziz


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply