Sarawak atau turut dikenali dengan nama Bumi Kenyalang, negeri yang sangat menarik untuk diterokai kerana bukan sahaja memiliki sejarah yang unik malah kaya dengan alam semula jadi, budaya dan berbilang bangsa termasuk kaum peribumi.
Selain berkunjung ke ibu negeri Sarawak yang bertempat di Kuching, anda dicadangkan untuk teroka daerah Mukah.
- Jika anda tiba melalui penerbangan udara dari Sibu, sambung percutian ke pekan Mukah dengan menaiki bot ekspres yang mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam dan rasai keenakan mi udang galah di pekan Oya dan Dalat dengan harga yang sangat berpatutan.
- Tiba di Kampung Telian, seeloknya menginap di Lamin Dana Cultural Boutique Lodge untuk merasai pengalaman menarik tinggal di rumah tradisional kaum Melanau yang dipanggil Rumah Tinggi.
- Sudah sampai di Mukah, wajib ke Sungai Misan dengan sampan untuk melawat kebun sagu dan melihat bagaimana pohon sagu dikeluarkan dari hutan dan seterusnya ditolak ke dalam sungai, lalu di bawa ke tempat pemprosesan. Sagu adalah makanan ruji di kawasan itu dan selepas diproses ia menjadi tepung, bebola serta banyak lagi yang menjadi sumber pendapatan bagi penduduk.
- Dari Sungai Misan, selusuri pula Batang Mukah hingga sampai ke Pasar Ikan Mukah untuk membeli beberapa makanan kampung seperti pucuk paku, tepung sagu (untuk dibuat linut), umai (kerabu ikan mentah segar) dan ulat sagu.
- Disebabkan kedudukannya di muara sungai, Mukah juga kaya dengan hutan bakau seperti Taman Tanjung Pedada berhampiran jeti Mukah.
- Jangan lupa bergambar di Jambatan Batang Mukah berukuran 243 meter yang siap dibina pada 2006 merentasi Sungai Gigis.
- Tidak jauh dari situ, lawati juga Boulevard Setia Raja iaitu taman hijau dengan air pancut yang tersedia tempat untuk membeli-belah.
- Sebelum pulang, singgah di Kilang Memproses Kuih Asli Kampung Judan yang terkenal dengan pembuatan Kuih Sepit dan Kuih Gunting untuk rasai keenakannya selain boleh dibeli sebagai ole-ole.
Jom cuti-cuti Malaysia, terokai Bumi Kenyalang!
Foto: sarawaktourism.com | Sumber: HMOnline
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.