Sebelum berakhirnya Aidilfitri tahun ini, jom serang rumah terbuka di Airbnb yang dihoskan oleh tidak lain tidak bukan, selebriti Malaysia tersohor, Neelofa.
Neelofa Ajak Datang Rumah Terbuka Di Airbnb, Tepi Sungai Dan Ada Sudut OOTD
Haaa… kediaman tersebut bukanlah milik peribadinya tetapi ia merupakan sebuah penginapan Airbnb yang paling digemarinya di kawasan luar bandar Selangor.
Neelofa juga akan menjadi ‘tuan rumah’ untuk melayan tetamu di penginapan bernama Sekebun Bunga ini bersama dua Superhos Airbnb tempatan, Susean dan Izu.
Sekali imbas, para tetamu akan berpeluang menghayati keindahan alam semula jadi dan keramahan hos-hos mereka, termasuk sesi memasak yang mengujakan bersama Neelofa. Selalu tengok beliau memasak di Instagram Story saja kan? Haa, kali ini homecook berbakat ini akan berkongsi cara menyediakan sebuah hidangan Raya yang lazat yang diilhamkan daripada salah satu resipi keluarganya.
Kongsi Neelofa, “Raya merupakan masa yang paling penting dan bermakna buat saya dan keluarga. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya amat berbesar hati untuk menjadi Hos Airbnb dan mengehos Rumah Terbuka Airbnb yang pertama di salah satu penginapan Superhos kegemaran saya di luar bandar.
“Saya tidak sabar untuk berkongsi dengan tetamu suasana penuh kemesraan dan keramahan yang merupakan bahagian penting dalam perayaan keluarga saya sendiri, serta memasak bersama mereka,” katanya.
Sedikit info mengenai Sekebun Bunga, lokasi Airbnb yang dikelilingi dengan alam sekitar ini terletak kurang dari satu jam dari Kuala Lumpur.
Sekebun Bunga menawarkan percutian bertemakan alam semula jadi yang indah untuk tetamu beristirahat dan mengeratkan silaturahim dengan orang tersayang. Vila ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur yang selesa dan satu dapur yang serba lengkap, dikelilingi hutan yang subur dan aliran sungai yang mendamaikan.
Bagi korang yang berminat untuk bertandang ke Rumah Terbuka Airbnb bersama Neelofa ini, ia akan berlangsung selama dua malam dari 20 hingga 22 Mei 2023.
Penginapan sekali sahaja (one-off) ini boleh memuatkan sehingga tujuh orang tetamu, and boleh ditempah pada harga istimewa RM100 sahaja.
Harga ini akan dipaparkan di penyenaraian(listing) tersebut apabila tempahan dibuka di airbnb.com/rayawithneelofa pada Isnin depan, 15 Mei 2023, tepat pada jam 9 pagi.
Yang penting, kena reserve awal okay!
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.