Famili Duo Eratkan Hubungan Dua Beradik, Yaki & Yamani Sepakat Beri Wang Kemenangan Untuk Ibu!

Juara program Famili Duo musim kedua, Yamani Abdillah, 22, dan adiknya Zaki Yamani, 17, ingin menghadiahkan semua wang RM100,000 hasil kemenangan mereka kepada ibu masing-masing.

Menurut laporan Utusan Online, kedua-duanya mengakui mereka tidak mampu meraih kejayaan tersebut tanpa dorongan dan sokongan daripada ibu tersayang.

“Selama ini, ibu adalah antara penyokong utama dalam kerjaya seni. Tak putus-putus bagi semangat dan mendoakan kami.

“Jadi, kami mahu mendedikasikan kemenangan ini buat kedua-dua ibu kami termasuk semua wang kemenangan yang diraih.

“Kami percaya, jika kami buat begitu, rezeki buat kami akan lebih melimpah, Insya-Allah,” kata Yamani pada sidang media selepas tamat program tersebut di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Pada masa sama, kehadiran bapa mereka Jamal Abdillah di pentas akhir turut membuatkan kedua-duanya berasa terharu sekali gus bersemangat dalam menjayakan persembahan.

“Itu merupakan kali pertama babah datang tengok kami buat persembahan. Memang sebak dan terharu. Tetapi ia juga membuatkan kami rasa gementar sebab dia ada di depan mata.

“Kemenangan ini juga kami dedikasikan buat babah sebab sepanjang menyertai program ini, dia juga selalu titip pesanan dan semangat buat kami berdua.

“Malah, beberapa hari sebelum persembahan final semalam, dia berulang kali menyakat, ‘Man, kau dan Zaki kena menang kalau nak babah datang tengok di final’.

“Tak sangka, kami betul-betul menang jadi ada sebab untuk kami berasa bangga dengan kejayaan ini yang juga untuk dia,” ujarnya.

Sementara itu bagi Zaki, dia menyifatkan program terbitan TV3 itu menjadikan hubungan mereka kembali akrab berbanding sebelum ini.

“Kali terakhir saya rapat dengan abang ialah sewaktu berusia lapan tahun dan abang pula berusia 11 tahun. Terus-terang, saya pun dah lupa bagaimana cara abang melayan dan bergurau dengan saya waktu kecil dulu.

“Setelah lama tak berjumpa, kami dipertemukan dalam program ini. Bermula dari minggu pertama hingga sekarang, saya mulai ingat bagaimana rapatnya kami dahulu. Sekarang saya pula ‘buli’ dia,” guraunya.

Untuk makluman, Yamani merupakan hasil perkahwinan Jamal dengan Noraina Mohd Yusof, manakala Zaki pula adalah daripada perkahwinan ketiganya dengan Fatimatuzahrah Samad.

Sumber: Utusan Online (Siti Athirah Dzulkifly), Instagram Yamani Abdillah & Zaki Yamani


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply