Boleh Ke Makan Makanan Dimasak Oleh Bukan Islam & Makan Di Kafe Jual Alkohol?

Bila tular kafe atau kedai makanan yang sedap, ramai yang ingin mencuba. Termasuklah di kafe yang makanannya dimasak oleh bukan Islam malah ada yang menjual arak sekali.

Timbul persoalan adakah boleh kita makan di kedai tersebut atau bagaimana? Berikut adalah penjelasan yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan.

Tiada menjadi kesalahan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim dari susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.

Telah berkata Qatadah Rahimahullah:

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihan. Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10155)

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar selain dari sembelihan mereka.[1]

Kesimpulan

Dibolehkan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya dari hasil sembelihan mereka.
Maka, tidak ada masalah buat seseorang muslim itu sekiranya diajak untuk bertandang ke rumah rakannya yang bukan non-muslim lalu dihidangkan makanan untuk dimakan selagi mana ianya halalan toyyiba.

Berkaitan membeli makanan yang ada menjual arak di premis mereka, ini penjelasannya?

Hukum asalnya adalah dibenarkan jika diyakini makanan berkenaan tidak bercampur dengan arak atau perkakasnya telah disucikan. Namun begitu bagi seorang Muslim adalah perlu baginya untuk menghindari sebaik mungkin kedai makanan yang bercampur antara halal dan haram.

Ini untuk mengelakkan fitnah. Kaedah yang masyhur mengatakan:

اِتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَم

Maksudnya: Takutilah kalian tempat-tempat yang boleh mendatangkan tohmahan orang.

Walaupun begitu, ini tidaklah menafikan keafdhalan bersikap warak dalam mengambil suatu makan. Adalah afdhal makanan kita itu diperolehi daripada orang yang bertaqwa dan disediakan juga dengan taqwa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda memberi peringatan kepada umatnya:

لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ

Maksudnya: Janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertaqwa. Riwayat Abu Daud (4832)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply