‘Tular Video Kak Ning Berbahasa Jepun.’ Mak Cik Cleaner Masjid Negara Fasih Empat Bahasa

‘Tular video Kak Ning berbahasa Jepun.’ Mak Cik cleaner Masjid Negara fasih empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Arab dan Jerman selain daripada bahasa Jepun.

Siapa sangka seorang cleaner fasih dalam empat bahasa, bukan setakat Inggeris tetapi beberapa bahasa asing yang lain.

Tular Video Kak Ning

“Ada aura di sini (masjid) yang tiada di tempat lain,” kata ibu lima anak, Nirmaningsih Mawi atau mesra disapa Kak Ning.

Kak Ning, 59, yang juga tukang cuci menarik perhatian netizen baru-baru ini selepas tular video di laman sosial menunjukkan kefasihannya bertutur dalam bahasa Jepun dengan delegasi negara matahari terbit itu yang datang ke Masjid Negara.

Bukan setakat itu, Kak Ning yang menetap di Batu Caves, Selangor turut mengajar delegasi terbabit cara penggunaan bahasa Melayu dengan mudah sebelum melakukan tunduk hormat mengikut budaya Jepun pada akhir perbualan.

Artikel Berkaitan:

Yatt Hamzah Kongsikan Perasaan Luar Biasa Jadi Tukang Cuci Bersihkan Masjid Nabawi

Berbahasa Jepun

Berkongsi kisahnya, menurut Kak Ning, dia bukan pensyarah seperti yang didakwa segelintir netizen dan sekadar insan biasa cuma pernah bekerja selama 30 tahun sebagai pemandu pelancong namun beralih menjadi tukang cuci kerana penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19.

“Kali terakhir saya bawa pelancong ke negara ini (sebelum PKP) adalah pada 13 Mac lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengubah hidup saya.

“Empat bulan saya tidak bekerja sebelum ambil tawaran bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat.

“Saya bekerja di situ selama enam bulan sebelum beralih ke syarikat sanitasi dan kini di sini (Masjid Negara) bersama suami yang juga bekerja sebagai tukang cuci.

“Satu pengalaman baru kerana dulu, saya bawa pelancong ke masjid tetapi kini bekerja di sini pula,” katanya.

Mak Cik Cleaner

Bercerita lanjut, jelas Kak Ning, peluang bekerja sebagai tukang cuci di masjid memberinya banyak pengalaman baru yang menyeronokkan.

“Di sini, saya dapat jumpa pelancong setiap hari, jumpa dan makan tengah hari dengan suami, solat dan baca al-Quran.

“Selain itu, ada banyak kelas agama seperti tadarus jadi itu yang menarik malah saya sudah anggap masjid ini seperti ‘heart of the city.

“Cuma, anak ada minta saya cari kerja lain tapi bagi bagi saya ia (tukang cuci) tetap satu pekerjaan malah beri peluang saya bersama suami,” katanya.

Masjid Negara

Mengimbas kenangan sebagai pemandu pelancong, dia memulakan kerjaya pada tahun 1990 bermula dengan bekerja di bawah syarikat agensi pelancongan selama empat tahun sebelum bergerak secara bebas.

Berikutan itu, Kak Ning mengambil kursus bahasa bermula dengan bahasa Inggeris pada tahun yang sama (1990), diikuti Jepun (1991-1992), Arab (2010) dan Jerman pada 2011.

Katanya, tamat kursus, dia perlu melalui ujian penilaian pula sebelum mendapat lesen bahasa daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Kiranya, saya boleh bertutur dalam lima bahasa cuma banyak berurusan dengan pelancong dari Jepun.

“Saya belajar bahasa Jepun ketika mengikuti kursus intensif Dasar Pandang Ke Timur selama enam bulan di Wisma Belia, Jalan Syed Putra, di sini selepas mendapat tajaan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Tamat kursus, saya bekerja sambil menjalani latihan pula di syarikat agensi pelancongan dekat Tokyo, Jepun dan di situlah saya praktikkan cara bercakap selain belajar etika kerja di sana.

“Kalau tidak ke sana, boleh jadi saya tidak boleh cakap Jepun seperti sekarang cuma pengorbanannya apabila perlu meninggalkan anak sulung yang ketika itu berumur 11 bulan,” katanya.

Baca Di Sini:

Penatnya Kaum Wanita Uruskan Macam-Macam Kerja, Redakannya Dengan Amalan Zikir Fatimah Sebelum Tidur

Wanita Kongsi Travel Umrah Secara Solo. Bab Duit No 2, Pertama Keyakinan Pada Allah Kena Tinggi

Fasih Empat Bahasa

Meskipun sudah terikat dengan komitmen kerja sebagai tukang cuci di masjid, Kak Ning belum meninggalkan sepenuhnya kerjaya sebagai pemandu pelancong.

Ia kerana dia masih menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong pada hujung minggu.

Kak Ning juga tiada masalah menyesuaikan diri daripada awal dengan kerja sebagai tukang cuci walaupun datang daripada bidang berbeza kerana mengikut garis panduan pembersihan ditetapkan.

“Waktu kerja saya di sini adalah daripada jam 7 pagi hingga 4 petang manakala cuti pada Ahad.

“Jadi, waktu hujung minggu saya gunakan untuk ambil tawaran kerja sebagai pemandu pelancong dan kiranya masih boleh buat kerja seperti dulu,” katanya yang dilahirkan di Sumatera, Indonesia sebelum berhijrah ke negara ini mengikut ibunya ketika berumur tiga tahun dan masih fasih berbahasa Minangkabau.

Tak Sangka Tular

Berhubung kisahnya yang tular, Kak Ning tidak menyangka videonya itu akan tular.

“Hari berkenaan, saya sedang mop lantai dan apabila nampak tiga profesor dari Jepun itu lalu, saya terus tegur kerana teruja.

“Mereka terkejut dan kebetulan ada seorang lelaki tempatan bersama jadi dia yang ambil video dan perbualan kami kasual saja.

“Cuma, tak sangka ia tular sebegitu rupa, hakikatnya saya orang biasa saja namun terima kasih kepada semua yang mendoakan.

“Diharap ia memberi semangat kepada anak muda di luar sana untuk tidak memilih kerja dan cuba belajar bahasa yang mereka minat,” katanya.

Kashoorga : Kagum dengan Kak Ning, dia menjalankan kerja bukan sekadar mencari rezeki tetapi dalam masa yang sama dia fikirkan soal ibadat dan dapat bersama suami sepanjang masa.

Sumber : myMetro

Comments

Leave a Reply