‘Suami tak pernah halang.’ Waheeda lama menyepi, ambil masa dalami ilmu agama dan fahami Al-Quran. Itulah punca utama dia “diam’ seketika dari bidang nyayian.
Namun begitu bukanlah berhenti terus, sebaliknya dia lebih menumpukan perhatian kepada kerja-kerja di belakang tabir kerana bidang muzik adalah minatnya.
Artikel Berkaitan: Berkat Hargai & Sayang Isteri Tanpa Jemu, Azmi Caliph Buskers Terus Dilimpahkan Rezeki Tanpa Henti
Suami Tak Pernah Halang
Biarpun sudah lebih 10 tahun menjauhkan diri dari muzik, penyanyi Wassini, Waheeda mengaku sukar melakukannya disebabkan muzik sudah menjadi sebahagian daripada fitrah diri.
Sehubungan itu, Waheeda atau nama sebenar, Norwahidah Abdul Wahab, 44, masih berkecimpung dalam dunia muzik, namun, lebih kepada aktiviti belakang tabir.
“Pada asalnya, saya mahu meletakkan noktah kepada dunia nyanyian. Namun, macam mana pun, saya rasa tidak boleh.
“Bagi saya, ini kerja Allah. Walau macam mana saya tolak, ia tetap kembali. Lebih-lebih lagi apabila saya berkahwin dengan seseorang yang berkecimpung dalam industri seni.
Waheeda Lama Menyepi
“Saya sebenarnya pemuzik di hati. Lima tahun saya dihantar ke kelas muzik, sampai sekarang, tetap muzik dalam hati saya. Muzik tidak salah kerana ia sebahagian daripada fitrah manusia.
“Namun, saya meletakkan diri sebagai pemuzik, bukan penyanyi. Jadi, apabila anda pemuzik, anda tidak akan berhenti.
“Ini yang saya mahu buat dari dulu lagu, iaitu bergerak di sebalik tabir, bukannya di hadapan,” katanya.
Waheeda kini aktif sebagai penerbit dan komposer serta pada masa sama, menjadi orang tengah bagi memperkenalkan bakat baharu.
Ambil Masa
“Saya fokus sebagai karier komposer dan penerbit di bawah syarikat saya, Clef Empire yang ditubuhkan bersama adik saya, Januari lalu.
“Tujuan kami tubuhkan syarikat ini adalah sebagai platform untuk bakat baharu menghasilkan lagu.
“Antara lagu baharu yang diterbitkan adalah single duet Ustaz Akhil Hayy dan Mawi. Insya-Allah saya akan keluarkan pula lagu-lagu yang sudah dirakamkan sebelum ini,” katanya.
Tambah Waheeda, baru-baru ini, dia melancarkan lagu sempena Aidilfitri iaitu Marhaba Eid di YouTube dan Spotify.
“Lagu itu dirakamkan pada 2007, sengaja saya lancarkan dan berkongsi dengan peminat.
“Insyallah, selepas ini saya mahu keluarkan single lain yang banyak dirakamkan pada 2007,” katanya.
Baca Di Sini:
Tak Salah Berbeza Agama. ‘Berpeluk Cium, Tak Tutup Aurat Secara Terbuka Itu Membimbangkan’
Dalami Ilmu Agama
Bertanya mengenai tindakannya menyepi lebih sedekad, Waheeda jelaskan dia mengambil masa untuk mendalami ilmu agama dan tidak menghiraukan perkara lain.
“Dahulu saya mahu berhenti sebab mahu tahu kenapa saya Islam. Apabila berhenti, saya ambil masa untuk belajar dan fahami al-Quran.
“Hendak faham mengenai Islam, pertamanya, kita kena kenal buku kita. Jadi, saya cuba fahami al-Quran.
“Sudah 10 tahun sampai sekarang, saya tak habis belajar lagi. Sekarang, apabila saya sertai semula industri muzik, saya masuk dengan ilmu al-Quran,” katanya.
Fahami Al-Quran
Jelas Waheeda, suaminya, Ustaz Akhil tidak pernah menghalang minatnya dan bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami.
“Suami pernah cakap tak kongkong dan halang saya, asalkan saya tahu tempat saya. Saya berusaha hendak kekal di jalan Allah, iaitu mahu datang dengan Allah dan balik dengan Allah.
“Saya bersyukur ada suami sepertinya. Suami juga pemuzik dan kami minat kepada muzik rock,” katanya.
Belum Ada Rezeki
Bertanya mengenai kehidupan berkeluarga, Waheeda mengaku masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata.
“Isteri pertama Ustaz Akhil ada empat anak. Saya tiada lagi (anak). Alhamdulillah, setakat ini saya okay sahaja. Saya sudah 44 tahun, tidak mengapalah.
“Saya dan suami bersyukur sebab sudah lebih 10 tahun besarkan anak-anak sepanjang 13 tahun berkahwin.
“Jadi, sekarang baru hendak mula untuk diri sendiri. Itulah sebab saya buat muzik sekarang ini.
“Bagi saya, kalau ada anak, Alhamdullilah, tiada anak pun Alhamdulillah,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Ustaz Akhil pada 2009.
DiBeri Peluang
Waheeda bersyukur diberi peluang membesarkan empat anak tiri yang berusia antara 13 tahun hingga 26 tahun.
Waheeda pernah memenangi kategori Album Pop Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) menerusi album Melodi Ahlan pada 2008.
Sebelum itu, Waheeda muncul juara kategori Irama Malaysia melalui lagu Wassini pada Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 2003.
Kashoorga : Sekali bergelar pemuzik, selamanya bergelar pemuzik.
Sumber : Berita Harian
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.