Kasihnya seorang abang. ‘Tak sanggup lihat adik derita dialisis seumur hidup, abang derma buah pinggang demi melihat adik kembali sihat.
Utuhnya ikatan adik-beradik ini apabila abangnya sanggup mendermakan sebelah buah pinggangnya buat adik tercinta setelah adiknya menjalani rawatan dialisis sejak enam tahun lalu.
Artikel Berkaitan:
Kasihnya Seorang Abang
“Terima kasih abang sebab abang dermakan buah pinggang abang pada Nana. Nana akan jaga buah pinggang ini sebaik mungkin.”
Demikian luahan hiba Maslyana Mohd Yusof, 34, yang lebih mesra disapa Nana selepas menerima buah pinggang yang didermakan abang kandung, Mohd Nazri, 37, melalui satu pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 11 April lalu.
Maslyana merupakan pesakit buah pinggang kronik tahap lima, kini seperti mendapatkan ‘kehidupan’ baharu dengan pengorbanan dan kasih sayang seorang abang yang tidak sanggup melihat adiknya menderita dan menjalani rawatan dialisis seumur hidupnya.
Tak Sanggup Lihat Adik
Lebih meruntun hati, niat murni Mohd Nazri yang mahu mendermakan buah pinggangnya kepada Nana tetap diteruskan selepas lelaki itu kembali pulih daripada menjalani pembedahan membuang tumor dalam jantungnya pada 2019.
Berkongsi kisahnya, Nana yang juga ibu tunggal kepada dua anak lelaki itu disahkan sebagai pesakit buah pinggang sejak Oktober 2017 ketika sedang hamil anak ketiganya.
Menurutnya, sebulan selepas itu, dia menjalani dialisis, namun bayinya meninggal dunia ketika kandungan berusia 21 minggu pada hari kedua dia menjalani rawatan berkenaan.
Dialisis Seumur Hidup
“Abang beritahu mahu mendermakan sebelah buah pinggangnya sejak 2018, demi masa depan saya dan anak. Jika saya menjalani pembedahan buah pinggang saya sudah tidak perlu menjalani dialisis dan dapat menjalani kehidupan normal.
“Kami kemudiannya menjalani beberapa prosedur dan pemeriksaan berkaitan dan dimaklumkan buah pinggang sepadan sepenuhnya seperti kembar seiras,” katanya yang menetap di Kampung Ladang Semabok, Melaka.
Bagaimanapun, dua beradik itu diuji apabila Mohd Nazri disahkan mempunyai tumor pada jantungnya sebelum lelaki itu menjalani pembedahan membuang tumor di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, selepas kembali pulih, abangnya tetap meneruskan niat mendermakan buah pinggang sebelum mereka menjalani pemeriksaan semula.
Abang Derma
“Kami dimaklumkan pembedahan itu juga berisiko antaranya risiko kematian tiga peratus, pendarahan dan ada juga yang buat transplan buah pinggang tetapi organ itu tidak berfungsi pada penerima.
“Tetapi abang tetap teruskan niat murni dia yang membuatkan saya terharu sangat. Alhamdulillah, setakat ini keadaan kami baik dan doktor beritahu pembedahan itu amat berjaya tetapi saya masih perlu makan ubat anti penolakan untuk kekalkan penerimaan badan pada buah pinggang itu,” kata penolong guru Tabika Perpaduan itu.
Tambah anak bongsu daripada tiga beradik ini, hubungan mereka sangat rapat, malah dia turut mengakui pengorbanan abang kesayangannya itu membawa sinar baru dalam hidupnya dan anak.
“Saya menitiskan air mata ketika membuang air kecil dengan banyak selepas pembedahan itu kerana sebelum ini urin saya hanya setitik dua saja.
“Bacaan ‘creatinine’ saya menurun daripada 1,000 ke 68 dan semua makanan sudah boleh dimakan tanpa rasa takut selain saya juga boleh minum air lebih kerana sebelum ini hanya boleh minum 500 mililiter sehari.
“Terima kasih abang, kini buah pinggang kiri abang berada di pinggang kanan saya. Rezeki saya dapat abang dan keluarga yang sangat baik,” katanya.
Buah Pinggang
Sementara itu, jelas Mohd Nazri, hatinya luluh setiap kali melihat keadaan adiknya yang lemah selepas membuat rawatan dialisis, malah terpaksa mengehadkan pergerakan serta menahan keinginan untuk minum dan makan setiap hari.
“Adik melakukan dialisis tiga kali seminggu dan selepas itu dia berasa tidak sihat dan akan rehat atau tidur hingga esok pagi sehingga adik tiada masa bersama anaknya dan keluarga.
“Saya juga mula mencari dan membaca maklumat berkaitan transplan buah pinggang dan mulanya adik tak mahu mungkin dia bimbang keadaan saya.
“Malah ibu dan kakak juga berbelah bahagi dengan hasrat itu kerana ia berisiko tetapi selepas dipujuk mereka menerimanya,” katanya.
Syukur Semua Berjalan Lancar
Penolong pengurus sumber manusia itu berkata, tiada apa yang melegakannya apabila pembedahan berjalan dilakukan dan mengakui ia dilakukan atas kasih sayang seorang abang kerana Allah SWT.
“Kami tiga beradik memang rapat, ayah kami sudah meninggal dunia sejak saya berusia empat tahun dan kami memang selalu bersama jadi saya mahu buat sesuatu untuk adik supaya dia kembali sihat.
“Saya bersyukur pembedahan berjalan lancar dan awal daripada jangkaan kerana sebelum ini saya diberitahu saluran arteri (di bahagian buah pinggang) agak pendek dan mungkin mengambil lebih sedikit masa. Kami kini dalam proses pulih,” katanya.
Baca Di Sini:
Cinta Sampai Syurga, Suami Derma Sebelah Buah Pinggang Untuk Isteri
Kashoorga: Semoga kita semua dikurniakan adik-beradik sebegini, sanggup susah senang bersama.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.